Adalah penting bagi kita untuk mengetahui
kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dalam bab kaifiat dan
fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi
jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber
motivasi buat orang-orang yang beriman.
Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah
sallAllahu `alaihi wa sallam yang menerangkan kepada kita bagaimana
untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah
memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam an-Nawawi dan kitab
Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat
mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.”(HR al-Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu `anhu berkata:
“Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.”(HR al-Bukhari & Muslim)
Dari `Amr bin `Ash radhiAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.”(HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa`d radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.”(HR al-Bukhari & Muslim)
Dari Salman bin `Amir adh-Dhabiy as-Sahabi radhiAllahu `anhu dari Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian berbuka puasa maka berbukalah dengan tamar, jika tidak memperolehinya maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu dapat membersihkan.”(HR Abu Daud dan At-Turmudzi. Kata at-Turmudzi hadith ini hasan sahih)
3. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””.(HR al-Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka ALLAH tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.”(HR al-Bukhari)
4. Bersiwak atau menggosok gigi.
Abu Hurairah radhiAllahu `anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali hendak solat.”(HR al-Bukhari)
Bersiwak atau menggosok gigi adalah
sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sepanjang masa dan Nabi gemar
melakukannya. Sunnah ini disenaraikan sekali dalam amalan sunnah ketika
puasa kerana terdapat anggapan masyarakat bahawa kita tidak boleh
bersiwak atau menggosok gigi ketika berpuasa. Anggapan ini tidak tepat.
5. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”(HR al-Bukhari)
6. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan
bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bertadarus (mempelajari
al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa
ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan
betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan
Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan
kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni
mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
7. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”(HR At-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan sahih)
8. Mendirikan malam dengan solat sunat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”(HR al-Bukhari & Muslim)
9. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
`A’isyah radhiAllahu `anha berkata:
“Bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”(HR al-Bukhari & Muslim)
10. Beri`tikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu `Umar radhiAllahu `anhuma berkata:
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam selalu beri`tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”(HR al-Bukhari & Muslim)
Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata:“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam selalu beri`tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam dipanggil ALLAH Ta`ala, kemudian setelah Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Baginda itu.”(HR al-Bukhari & Muslim)
Itulah sebahagian sunnah-sunnah Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam yang khusus ketika berpuasa sunat dan
fardhu. Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari
hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di atas. Janganlah
dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha
kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan
di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah
sallAllahu `alaihi wa sallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di
masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah,
merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq
menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita
semua akan nilai besar Taqwa, amin.
No comments:
Post a Comment