اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Rabiah Basri atau lebih dikenali sebagai Rabiah al-Adwiyah
atau Rabiatul Adawiyah adalah antara salah seorang wanita yang awal
memeluk agama Islam. Beliau telah meninggalkan segala-galanya yang
bersifat duniawi dan mengabadikan sepenuhnya dirinya kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Rabiatul
Adawiyah telah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Mempunyai
empat orang adik beradik. Kelahirannya telah diliputi bermacam-macam
cerita yang pelik.Pada malam
beliau dilahirkan, di rumahnya tidak mempunyai apa-apa bahkan minyak
untuk menyalakan lampu pun tiada. Malahan sehelai kain untuk membalut
dirinya apabila dilahirkan kelak juga tidak ada.
Ibu
Rabiah meminta ayahnya supaya meminjam pelita minyak daripada jiran
mereka. Ini merupakan cubaan bagi si ayah yang malang itu.
Sebelum
itu ayahnya telah berjanji kepada Allah سبحانه وتعالى untuk tidak
meminta pertolongan dari sesiapa. Oleh kerana keadaan terdesak maka
ayahnya pun terpaksa pergi juga ke rumah jirannya.
Sebaik
saja tiba di rumah jirannya, ayahnya terus mengetuk pintu rumah
jirannya itu. Malangnya tiada jawapan pun dari dalam rumah itu. ayahnya
berasa lega dan mengucap syukur kepada Allah سبحانه وتعالى kerana tidak
ingkar pada janjinya. Kemudian ayahnya pun pulang ke rumahnya dan terus
tidur dipembaringan.
Pada malam itu ayahnya bermimpi bertemu Nabi Muhammad ﷺ. Dalam mimpinya itu Nabi Muhammad ﷺ
telah memberikan tanda kepadanya dengan menyatakan bahawa anaknya yang
bakal dilahirkan itu telah ditakdirkan akan menduduki tempat paling
tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى.
Tidak
berapa lama selepas Rabiatul Adawiyah dilahirkan kedua-dua ibu bapanya
telah meninggal dunia, manakala ketiga-tiga orang kakaknya turut
meninggal dunia akibat kelaparan yang melanda Basra ketika itu. Rabiatul
kemudiannya dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam.
Seterusnya
Rabiah telah dijual sebagai hamba dengan harga yang rendah kepada
majikan yang sangat bengis. Dalam usia yang masih muda, beliau telah
menghabiskan waktunya dengan melaksanakan segala perintah tuannya.
Manakala sebelah malamnya beliau sentiasa berdoa ke hadrat IIiahi.
Pada suatu malam, majikannya telah melihat tanda kebesaran rohani Rabiatul Adawiyah iaitu ketika Rabiah berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى katanya:
“Ya
Allah! Dikau telah menjadikan aku budak belian seorang manusia sehingga
aku terpaksa mengabadikan diriku kepadanya. Seandainya aku bebas, pasti
aku akan persembahkan seluruh waktu dalam hidupku ini untuk berdoa
kepada-Mu”.
Tiba-tiba
sebaik saja Beliau selesai berdoa, ternampak satu cahaya mendekati
kepalanya. Melihat kejadian itu majikannya menjadi terlalu takut.
Keesokan harinya Rabiah telah dimerdekakan.
.
Memperhambakan Diri
Setelah dibebaskan, Rabiatul Adawiyah
pergi ke tempat-tempat sunyi untuk menjalani hidup dengan bertawaduk
kepada Tuhan. Akhirnya beliau sampai ke sebuah pondok berdekatan Kota
Basra. Di situ beliau hidup seperti bertapa. Segulung tikar, sebuah
kendi diperbuat daripada tanah, seketul batu bata. Semuanya itu
merupakan harta yang dimilikinya.
Di
pondok itu keseluruhan waktunya digunakan untuk mengabdikan diri
berdoa. Pada suatu hari beliau telah didatangi oleh sekumpulan orang
bertujuan untuk meminangnya. Orang ramai itu adalah wakil kepada Gabenor
Basra. Oleh kerana Rabiah terlalu sibuk mengabadikan dirinya kepada
Allah سبحانه وتعالى maka beliaupun menolak pinangan itu dengan baik.
Pada masa yang lain, Sufian Suri seorang soleh dan dihormati datang menemui Rabiah. Sebaik saja Beliau sampai, Rabiah terus berdoa: “Ya Allah! Tuhan Yang Maha Kuasa, daku mohon harta duniawi dariMu”.
Mendengar isi doa itu, Rabiah pun menangis. Lantas Sufian Suri pun bertanya kenapa beliau menangis, maka Rabiah pun berkata : “Harta
itu sesungguhnya didapati setelah meninggalkan segala yang bersifat
duniawi ini, dan aku melihat anda hanya mencarinya di dunia ini saja”.
.
Empat Puluh Dinar
Menurut satu riwayat, ada seorang insan telah mengirim wang sebanyak empat puluh dinar kepada Rabiah, lantas beliau pun menangis sambil mengangkat tangannya berdoa : “Dikau
tahu Ya Allah! Aku tidak pernah meminta harta dunia dari Mu, meskipun
Dikau pencipta dunia ini. Lalu bagaimana aku dapat menerima wang dari
seseorang, sedangkan wang itu sesungguhnya bukan kepunyaannya”.
Setiap
kali Rabiah mengajar muridnya beliau sentiasa menasihati mereka agar
jangan menunjukkan perbuatan baik itu kepada sesiapa pun, malahan mereka
diharuskan menutup perbuatan baik itu sebagaimana mereka menutupi
perbuatan jahat mereka.
Segala
penyakit datangnya adalah atas kehendak Allah سبحانه وتعالى kerana itu
Rabiah selalu menghadapinya dengan hati yang tabah dan berani. Rasa
sakit yang bagaimanapun tidak pernah mengganggunya. Beliau seringkali
tidak menyedari ada bahagian tubuhnya yang terluka sampai beliau
diberitahu oleh orang lain.
Suatu hari Rabiatul Adawiyah telah terlanggar pokok yang menyebabkan kepalanya berdarah, kemudian seseorang telah bertanya : “Apakah anda tidak berasa sakit?”.
Jawab Rabiah, “Aku
dengan seluruh jiwa ragaku mengabdikan diri kepada Allah سبحانه وتعالى.
Aku berhubung erat dengan-Nya, aku disibukkan-Nya dengan hal-hal lain
daripada apa yang kamu rasakan”, jawabnya lembut.
Semasa
hayatnya, banyak keajaiban telah dikaitkan dengan Rabiah. Antaranya,
beliau mendapat makanan daripada tetamunya melalui jalan yang
pelik-pelik. Diriwayatkan bahawa, ketika beliau sedang menghadapi
sakaratul maut, Rabiah meminta teman-temannya meninggalkan beliau
seorang diri. Kemudian beliau mempersilakan para utusan Allah سبحانه
وتعالى datang kepadanya.
Sewaktu teman-temannya berjalan keluar mereka terdengar Rabiah mengucapkan syahadah, dan ada pula suara yang menjawab: “Jiwa,
tenanglah, kembalilah kepada Tuhanmu, legalah, kembalilah kepada
Tuhanmu, legalah hatimu pada-Nya, ini akan memberikan kepuasan
kepadanya”.
Di antara doa-doa yang tercatat berasal dari Rabiah ialah doa yang dipanjatkannya pada waktu malam di atas bumbung rumahnya, katanya: “Oh…Tuhanku!
Bintang-bintang bersinar bergemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan
raja-raja telah menutup pintunya, tiap orang bercinta sedang asyik
dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersamaMu”.
Manakala doa lainnya : “Ya
Allah! Apabila aku menyembahMu kerana takutkan neraka, bakarlah diriku
di dalamnya. Bila aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga jauhkan aku
dari sana. Namun jika aku menyembah Mu hanya keranaMu, maka janganlah
Dikau tutup keindahan abadiMu”.
Rabiatul Adawiyah
telah meninggal dunia di Basra pada tahun 801 Masihi. Beliau telah
dimakamkan di rumah tempat beliau tinggal. Ketika jenazahnya diusung ke
perkuburan, orang-orang soleh, para sufi dan orang-orang Islam turut
mengiringinya dalam jumlah yang luar biasa ramainya.
Cintailah
Allah سبحانه وتعالى kerana Dia mencintai kita, tunaikanlah perintah
Allah سبحانه وتعالى kerana Dia akan mengadili kita, buatlah sesuatu yang
dituntut semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى sebab yang akan
menilai setiap amal adalah Allah سبحانه وتعالى.
Apabila
kita rapat dengan Allah سبحانه وتعالى maka sudah semestinya kita akan
menjadi orang kesayangan Allah سبحانه وتعالى dan semua makhluknya, dan
pada hari pengadilan nanti sudah tentu Allah سبحانه وتعالى tidak akan
memberatkan pertanyaan ke atas hamba-Nya yang sangat takut kepada-Nya.
“Ya
Allah! Jauhkanlah kami daripada fahaman-fahaman Yahudi, Nasrani dan
fahaman-fahaman karut yang dapat menyesatkan kami, dan selamatkanlah
kamu semua di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya akhirat itulaah tempat
kami dann tujuan hidup kami”.
No comments:
Post a Comment