Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana
membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan
seluruh kehidupan lahirnya.
Di antara cara-cara memimpin hati ialah:
Pertama:
Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat
hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya,
sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk
ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat
dikesan untuk disuburkan.
Kedua:
Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
a. Mujahadatunnafsi
b. Istiqamah
c. Tafakur
d. Bergaul dengan orang yang baik-baik
e. Pimpinan mursyid
A. MUJAHADATUNNAFSI
Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menem-puh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyu-cikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli – mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan
latihan yang dinamakan riadatunnafsi( Yakni latihan melawan atau
memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh
hawa nafsu. Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak
kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah
seperti berikut:
1. TAKHALLI
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa
terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan
dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci,
memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita,
selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan
kita.
Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)
Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan
diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada
diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya: “Apakah engkau tidak
perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia
dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)
Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada
tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah,
Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu
usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan.
Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada
Sahabat-Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan
peperangan:“Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil
untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya:
“Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di
luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan
membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita,
mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia
menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus
(jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang
sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan
semahu-mahunya.
Untuk lebih jelas, disenaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia.
Sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu.
Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu
yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu
benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah.
Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu yang saya senaraikan mengikut aturan tingkatannya:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah
Orang yang imannya di taraf iman ilmu, nafsunya berada di taraf yang
kedua iaitu nafsu lawwamah. Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga
ia mahu tunduk sepenuhnya pada perintah Allah iaitu paling minima,
nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah ada pada orang yang memiliki iman
ayan. Di peringkat inilah sahaja kita akan dapat menyelamatkan diri
daripada seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan
firman-Nya:“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah
pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke
dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (Al Fajr: 27-30)
Di sini diperpanjangkan lagi, bagaimana mahu membersihkan sifat-sifat
mazmumah yang melekat pada hati itu. Sifat-sifat mazmumah yang melekat
pada hati sepertilah daki yang melekat di badan. Kalau kita malas
menggosoknya, akan bertambah menebal dan kuatlah ia bertapak di badan.
Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan menggosoknya, maka akan
bersihlah badan. Begitulah mazmumah (daki) hati. Jika kita rajin
meneliti dan membersihkannya dengan zikrullah, maka bersihlah hati itu,
malah ia bercahaya.
Bagaimanakah cara membuang sifat-sifat mazmumah dari hati? Tentulah
tidak sesenang membuang daki di badan. Ia memerlukan latihan jiwa yang
sungguh-sungguh, didikan yang berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan
dari guru mursyid. Yakni guru yang dapat membaca dan menyelami hati
muridnya sehingga dia tahu apakah kekurangan dan kelebihan muridnya itu.
Malangnya di akhir zaman ini kita ketiadaan guru mursyid. Ini
dinyatakan sendiri oleh baginda Rasulullah bahawa di akhir zaman yang
banyak adalah mubaligh tetapi sukar mencari guru mursyid. Maka berdoalah
kita moga dipertemukan dengan guru yang mursyid
Nasib kita hari ini umpama anak ayam kehilangan ibu. Tiada yang akan
memandu kita melalui jalan kebaikan yang ingin kita tempuhi.
Meraba-rabalah kita. Tetapi bagi orang yang mempunyai keazaman yang kuat
untuk membersihkan jiwanya, dia tidak akan kecewa hanya kerana tiada
orang yang boleh mendidik dan memimpinnya. Ia akan sanggup berusaha
sendiri demi kesempurnaan diri dan hidupnya, sekadar yang termampu.
Untuk jelasnya dibuat beberapa contoh, cara membersihkan hati yang jahat ini:
Contoh 1: Rasa Bakhil
Biasanya nafsu mendorong kita bersifat bakhil. Sedangkan bakhil itu
dikeji dan dibenci oleh Allah. Kerana Allah mahu kita jadi pemurah.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil
lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Riwayat Al
Khatib)
Oleh itu kita mesti melawan kemahuan nafsu itu. Paksalah hati memberi
atau menderma selalu, terutamanya waktu rasa bakhil itu menguasai diri.
Yang paling baik, waktu duit tinggal sedikit, waktu itulah kita latih
berkorban kerana waktu itulah nafsu rasa paling tercabar. Itulah waktu
yang sebaik-baiknya untuk menundukkan nafsu. Sedangkan waktu kita kaya,
fungsi menderma tidaklah sebagai riadah melawan nafsu tetapi perbuatan
itu sekadar dapat pahala.
Katakanlah kita sedar bahawa pada diri kita ada sifat bakhil. Kita pun
tahu bahawa Allah tidak suka pada orang yang bakhil. Kerana itu kita
berazam untuk mengikis sifat yang terkutuk itu. Maka kita perlu cuba
membiasakan dan membanyakkan sedekah, memberi hadiah dan lain-lain
amalan yang berupa pemberian hak kita kepada orang lain. Agar sifat
pemurah menjadi subur dan sebati seterusnya menjadi tabiat kita. Sebagai
pendorongnya, kita hendaklah selalu membaca firman-firman Allah dan
Hadis-Hadis yang banyak menganjurkan kita berkorban. Di sini dipetik
beberapa ayat Al Quran dan Hadis untuk menunjukkan Allah dan Rasul-Nya
sangat menganjurkan sifat pemurah itu.
Firman Allah SWT: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan
nafkahkan sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu
menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan
menafkahkan sebahagian dari hartamu, memperolehi pahala yang besar.” (Al Hadid: 7)
Firman Allah SWT: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah
pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman
itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Bersabda Rasulullah SAW: “Orang yang membantu perempuan janda
dan orang miskin, samalah seperti berjihad di jalan Allah dan seperti
bersolat malam tanpa letih, dan seperti berpuasa siang hari tanpa
berbuka.” (Riwayat Bukhari)
Sebenarnya sifat bakhil bukan sahaja ada pada orang kaya dan berharta
bahkan orang miskin pun tidak mustahil dihinggapi penyakit ini. Kerana
itu dalam Islam bukan sahaja sedekah itu boleh dilakukan dengan harta
benda tetapi boleh juga dilakukan dengan cara yang lain. Cara-cara ini
dapat mendidik akhlak mulia bagi semua orang, memberi peluang pada orang
miskin mengikis sifat bakhil selain turut mendapat pahala sedekah.
Allah SWT berfirman: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik
dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan
penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263)
Rasulullah SAW pernah memberikan garis-garis panduan berikut dalam satu
riwayat Hadisnya: “Segala perbuatan yang baik itu sedekah.” (Riwayat
Ahmad dan Bukhari dari Jabir)
Sabda Rasulullah SAW: “Senyuman kepada saudaramu itu adalah sedekah.”(Mashabi Assunah)
Lagi Sabda Baginda: “Aku khabarkan kepadamu, yang lebih tinggi
dari darjat puasa, sembahyang dan sedekah. “Khabarkanlah,” kata
Sahabat-Sahabat. “Mendamaikan dua golongan yang bergaduh itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dari Abi Dardak)
Dengan menggunakan panduan-panduan di atas, orang yang menyedari ada
padanya sifat bakhil, bolehlah cuba melatih diri untuk mengubatnya. Bila
ada saja peluang untuk sedekah dan sebagainya, jangan dibiar begitu
sahaja. Paksalah hati untuk mengeluarkan harta atau bertindak memberi
kebaikan kepada orang lain dengan bermacam-macam cara itu.
Di waktu rasa bakhil itu terasa kuat bergantung di hati, waktu itulah
perlawanan mesti dihebatkan. Keluarkan apa-apa yang disayangi itu dengan
segera dan sebanyak-banyaknya. Latihan ini akan jadi lebih berkesan
kalau kita sanggup mengeluarkan harta itu semasa kita sendiri
kekurangan. Katakanlah kita didatangi oleh peminta derma di waktu kita
hanya ada RM5 di poket. Waktu itu, paksakan hati supaya mengeluarkan
separuh yang ada. Tentulah hati rasa berat tetapi keluarkanlah juga.
Insya-Allah, kalau ini dibuat dan sanggup kita buat selalu, kita akan
jadi seorang yang pemurah dan rasa bakhil akan lenyap terus dari hati
kita. Katakanlah kita ada duit RM10,000 tetapi yang kita dermakan hanya
RM10 sahaja, tentu tidak akan berkesan apa-apa di hati kita. Di waktu
duit sedikit, rasa bakhil sangat kuat maka waktu itu kita akan rasa
berat untuk menderma. Ketika itulah kita perlu lawan sifat bakhil itu.
Itulah yang dikatakan latihan. Itulah caranya untuk suburkan sifat-sifat
pemurah.
Contoh 2: Sifat Takabur
Sifat takabur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis
segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan-jalan kebaikan yang
mungkin dibuat oleh seseorang itu. Hampir semua dari kita ada sifat ego
atau sombong ini. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali ada
berkata bahawa sifat ego itu hampir-hampir mustahil dapat dibuang
semuanya dari jiwa manusia. Ada ulama sufi berkata, setelah melakukan
latihan melawan hawa nafsu, sifat mazmumah yang paling akhir sekali
keluar dari dirinya ialah kibir, sombong atau ego.
Bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mengurangkannya. Kita mesti cuba
merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan
dan kekurangan kita sebagai manusia biasa. Dalam perselisihan pendapat
atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan
itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut
bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan
masakan berbunyi.”
Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, akan mampu pulalah kita
meminta maaf. Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia
akan terhapus. Oleh itu perlu sangatlah kita melatih diri untuk melawan
sifat sombong atau takabur itu.
Latihan yang lebih berkesan lagi ialah kita biasakan diri tinggal
bersama dengan orang-orang yang dipandang rendah oleh masyarakat.
Orang-orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang
setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap-cakap, minum dan tidur
baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka. Waktu itu
jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita
merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita.
Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina.
Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa
seurat benang dan sesen wang.”
Kalaulah amalan ini dibiasakan, insya-Allah sifat ego itu sedikit demi
sedikit akan dapat kita buang dari hati kita. Alah bisa tegal biasa dan
yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Dan ingatlah
selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia
(kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga
diri.” (Luqman: 18)
Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu
golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang
dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita
(menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih
baik dari wanita yang menghina.” (Al Hujurat: 11)
Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan
kita. Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita
tetap tidak dapat menyamai bukit. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan
mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang
merendah diri.” Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat
terpuji yang dituntut oleh Allah. Ia adalah lawan pada sifat sombong,
hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita
kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu
mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia
tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu
dan ayah. Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada
orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik
kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Latihan ini sangat susah hendak dibuat kerana ia sangat bertentangan
dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya. Sebab itu
Rasulullah ada bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat
jahat kepada kamu.”
Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik
kepada kita sahaja. Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak
sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan
kemahuan jahat itu. Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak
makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain
lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit. Tidak
mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita
kena lakukan latihan ini sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya,
teruslah bertindak.
Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang telah kita sebutkan tadi?
Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup
memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun ianya
bukan mudah. Amat susah. Tersiksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak
berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat
susah. Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat
jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun melalui latihan yang
bersungguh-sungguh, insya-Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah.
Allah berfirman: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami
tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang
berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
Contoh 3: Rasa Takut
Rasa takut yang menguasai hati akan bertindak dalam berbagai bentuk
mengikut suasana yang dihadapi. Contohnya, takut jin, takut harimau,
takut ular, takut penjahat, takut miskin, takut orang kata, takut
menegakkan kebenaran, takut maksiat dan takutkan Allah.
Di antara rasa-rasa takut yang disenaraikan di atas, ada rasa takut yang
dilarang syariat dan ada pula rasa takut yang disuruh syariat. Perlu
diketahui bahawa kedua-dua jenis takut ini tidak mungkin mengisi hati
manusia dalam satu masa. Kalau rasa takut yang dilarang syariat ada
dalam hati, maka rasa takut yang disuruh syariat, tidak akan bertapak di
hati. Sebaliknya kalau takut yang disuruh syariat mengisi ruangan hati,
maka hilanglah pula rasa takut yang dilarang syariat.
Tujuan melawan hawa nafsu yang dianjurkan syariat adalah untuk membuang
segala rasa takut yang dilarang, untuk diganti dengan rasa takut yang
disuruh. Kemuncak rasa takut yang dikehendaki syariat ialah rasa
takutkan Allah, dengan erti takutkan segala azab yang dijanjikan oleh
Allah di dunia apalagi di Akhirat.
Untuk itu kita mesti melawan nafsu kita yang takut pada hantu atau momok
misalnya. Setiap kali kita terserempak dengan suasana itu, jangan kita
mengalah dengan nafsu. Kuatkan hati dan tanamkan keyakinan bahawa Allah
sahaja yang layak kita takuti. Yang lain-lain hanyalah makhluk seperti
kita dan tidak ada apa-apa kuasa.
Untuk lebih berkesan, cuba di waktu tengah malam, kita pergi sendirian
ke tanah perkuburan atau ke tempat-tempat yang menyeramkan. Masya-Allah!
Tentulah takut. Takut itulah yang mesti kita lawan. Lawan dengan iman
dan ilmu. Yakin bahawa tidak ada suatu kuasa pun yang boleh memberi
kesan melainkan kuasa dan keizinan Allah. Waktu itu, isikan hati dengan
zikrullah. Sedar dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dan Allah
sangat hampir dengan kita. Allah Maha Melihat dan sedang melihat apa
yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar dan sedang mendengar apa yang
kita katakan. Allah Maha Mengetahui segala masalah yang sedang melanda
hati kita. Allah penentu, Allah pemutus, Allah penolong, Allah pembantu,
Allah penyelamat dan Allah Maha Kasihan Belas pada hamba-hamba-Nya yang
mahu mengikut jalan-Nya. “Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk
mencari keredhaan Allah) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan
jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.”
(Al Ankabut: 69)
Lakukan latihan ini dengan tawakal dan doa yang sungguh-sungguh, agar
Allah merestui dan memudahkan perjalanan kita. Buangkan rasa takut itu
dan gantikan dengan ingatan serta keyakinan hanya pada-Nya.
Bagi orang yang ingin menegakkan kebenaran, tetapi takut dikata orang,
takut dihina, takut dibuang kerja, takut ditangkap, takut dijel, takut
dibenci dan diketepikan, juga wajib bermuhajadah. Lawanlah rasa takut
yang begitu dengan bertindak melakukan amalan tersebut. Misalnya kita
takut hendak menghantar anak ke sekolah yang terjamin ada pendidikan
Islam, dengan alasan takut tidak dapat kerja, takut gelaplah masa
depannya di samping takutkan sikap hidup yang konon ketinggalan zaman.
Cara melawannya ialah hantarkan sahaja anak ke sekolah yang ditakuti
itu. Kuatkan hati, pejamkan mata, pekakkan telinga dan lepaskan si anak
pergi. Apa sahaja yang dibisikkan nafsu dan syaitan itu kita lawan.
Jangan dilayan. Tawakal dan berdoa kepada Allah semoga usaha itu
direstui dan semoga Allah bukakan jalan-jalan kemenangan kepada kita di
dunia dan Akhirat.
Bagi orang-orang yang tidak melawan nafsu, imannya tidak mungkin dapat
bertambah. Malah makin berkurang. Sama ada mereka sedar atau tidak,
mereka telah diperhambakan oleh nafsu, menempah kecelakaan dan kutukan
Allah di dunia dan Akhirat. Sebenarnya apa yang ditakuti itu, baik jin,
mahupun kemiskinan atau penghinaan dari orang lain, pada hakikatnya
tidak begitu. Adakah selama ini jin yang mencekik dan membunuh orang?
Benarkah orang yang berpendidikan Islam itu miskin dan hina? Benarkah
orang yang berpendidikan sekular terjamin hidup dunianya? Cubalah renung
dan fikirkan hakikat ini. Kemudian sesuaikan pula dengan firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong Allah, Allah akan
menolong kamu dan Dia akan menetapkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)
Demi Allah yang tidak akan mungkir janji, yakinlah bahawa setiap usaha
yang bertujuan mencari keredhaan-Nya pasti mendapat jaminan dan
dimuliakan. Seperkara yang harus kita sedar bahawa Allah yang Maha
Pemurah dan Maha Pengasih itu, sentiasa bersedia untuk menolong sesiapa
sahaja dari hamba-hamba-Nya. Kerana telah ditetapkan-Nya bahawa untuk
mendidik hati, menambah iman itu perlu kita banyakkan latihan melawan
hawa nafsu, maka Allah sendiri selalu memberi peluang pada kita untuk
berbuat demikian.
Mehnah atau ujian dari Allah yang selalu menimpa kita seperti miskin,
sakit, kematian, kecacatan anggota, kekurangan rupa paras, lemah dan
bodoh, kata nista, hasad dengki orang, bencana alam dan lain-lain
kesusahan serta penderitaan itu adalah peluang yang Allah berikan untuk
kita bermujahadah.
Lagi tinggi taraf iman seseorang, lagi banyaklah mehnah yang Allah
datangkan. Demikian maksud sabda Rasulullah SAW: “Bala yang paling berat
akan ditimpa pada nabi-nabi, kemudian orang yang paling mulia (selepas
nabi), kemudian yang paling mulia selepas itu. Seseorang itu diuji
mengikut pegangan agamanya. Jika kuat agamanya beratlah ujiannya. Jika
lemah agamanya, maka diuji mengikut agamanya.” (Riwayat At Tirmizi)
Apabila jiwa dihimpit dengan kesusahan-kesusahan, ertinya nafsu
tercabar. Nafsu bakhil, sombong, penakut dan lain-lain mazmumah itu
menjadi sakit dan terseksa setiap kali ditimpa ujian. Sesiapa sahaja
sama ada orang Islam atau bukan Islam, asalkan dia hamba Allah, pasti
merasakan hal ini. Bagi orang-orang yang beriman, dia sedar maksud Allah
berbuat begitu. Setiap kali ditimpa ujian dia cepat-cepat memberitahu
hatinya bahawa kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu ia pasti akan
mendapat satu dari dua yakni:
1. Penghapusan dosa atau
2. Kasih sayang Allah dan pangkat darjat di Syurga
Apabila diyakini sungguh-sungguh, bagi kita yang bertaraf iman ilmu
tentu akan sanggup bermujahadah, memaksa nafsu untuk tenang dan merasa
tidak ada apa-apa dengan penderitaan itu. Kalau kita miskin, maka
pujuklah hati untuk tidak sedih dan susah hati dengan kemiskinan.
Kajilah kebaikan yang diperolehi oleh orang miskin, di dunia mahupun di
Akhirat. Misalnya di dunia kita beruntung, tidak payah mengurus, tidak
payah bertanggungjawab membantu orang lain. Di Akhirat pula hisab akan
dikurangkan dan dipercepatkan masuk ke Syurga.
Kemudian ajaklah hati untuk menerima pemberian Allah itu dengan redha,
tanpa kesal dan buruk sangka dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah cukup
tahu kenapa kita perlu miskin. Kita pula sangat lemah untuk memahami
hakikatnya apalagi untuk menangkisnya. Ibarat baju kita yang mana ia
tidak pernah tahu kenapa kadang-kadang dibasuh, kadang-kadang digosok,
kadang-kadang dijahit, kadang-kadang dipakai dan kadangkadang dibuang.
Maka begitulah kita yang jahil tentang rahsia diri dan hati sendiri.
Amat munasabahlah untuk kita redha dan sabar dengan ketentuan Allah
kepada kita.
Memang di peringkat mujahadah, hati masih sakit dan tidak puas hati.
Hanya jagalah supaya kita tidak gelisah, tidak mengungkit-ungkit, tidak
mengadu-ngadu serta tidak buruk sangka dengan Allah. Kalau sifat ini
dapat dikekalkan, insya-Allah peluang untuk meningkatkan iman adalah
besar. Sebaliknya kalau setiap ujian dihadapi dengan keluh-kesah dan
gelisah, kebimbangan, tidak sabar dan buruk sangka dengan Allah,
bersedialah untuk menanggung kegelisahan jiwa yang perit dan penderitaan
di Akhirat yang amat sangat.
Untuk pengetahuan kita, perlu dinyatakan bahawa bagi orang-orang
muqarrobin dan nabi-nabi, iman yang tinggi menjadikan mereka lebih
senang hidup dalam kesusahan daripada kesenangan. Mereka lebih inginkan
kekurangan daripada kecukupan. Sebagai bukti cuba kita lihat doa
Rasulullah SAW: “Wahai Tuhan, hidupkan aku di dalam ke-miskinan, matikan
aku dalam kemiskinan dan kumpulkan aku dalam Syurga bersama orang-orang
miskin.” (Riwayat At Tirmizi)
Sayidina Ali dalam sejarahnya pernah ketika dia hanya ada sebiji kurma
untuk berbuka puasa, tiba-tiba datang peminta sedekah meminta makanan,
terus diberikannya kurma yang sebiji itu.
Seorang perempuan di zaman Rasulullah SAW, yang punya tiga anak lelaki,
sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika
anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang tetapi
menangis bila diberitahu anak bongsunya juga syahid. Bila ditanya kenapa
dahulu senyum, sekarang menangis? Beliau menjawab: “Aku sedih kerana
tiada lagi anak yang boleh aku korbankan untuk jihad fisabilillah.”
Nafsu kita juga selalu membuatkan kita kelu dan takut untuk bercakap
bila berhadapan dengan orang-orang besar atau raja. Sedangkan bercakap
benar di hadapan raja yang zalim itu adalah dituntut. Rasulullah SAW
bersabda: “Jihad yang paling utama itu berkata benar kepada penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu kita mesti berusaha dapatkan sifat berani. Untuk melakukannya,
mesti biasakan bercakap kebenaran bila semajlis dengan orang-orang
besar. Memanglah di permulaannya kita akan rasa gementar tetapi lama
kelamaan rasa takut pada makhluk itu pasti hilang. Yang timbul hanya
rasa takut pada Allah sahaja.
Tanpa latihan tidak mungkin kita boleh buat peningkatan. Sedangkan
latihan itu memang sulit. Kerana kita dihalang oleh nafsu. Rasa takut
dan rendah diri itu sudah lama mendarah mendaging. Jadi dengan jiwa
tauhid yang kuat dan ampuh bertunjang di hati saja, kita mampu menolak
nafsu-nafsu takut dan hina diri itu. Terutama bila berhadapan dengan
orang besar atau orang yang berkuasa.
2. TAHALLI
Tahalli bererti menghias. Yakni perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah
kita mujahadah yakni mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji atau
mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji
atau mahmudah. Untuk mudah difahami, cuba gambarkan hati kita sebagai
sebuah mangkuk yang kotor. Kemudian mangkuk itu dibersihkan. Setelah
bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan barang-barang
yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah dengan hati yang
telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi. Janganlah
dibiarkan ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifatsifat mahmudah pula.
Untuk mengisi hati dengan sifat mahmudah, sekali lagi kita perlu
mujahadah. Saya tegaskan sekali lagi, bahawa dalam pe-ringkat mujahadah
ini, kita masih berasa berat dan susah. Susahnya memerangi hawa nafsu
itu kerana hakikatnya kita terpaksa memerangi diri kita sendiri.
Bukankah sebelum ini kita katakan nafsu itu sebahagian dari jasad kita,
iaitu jasad halus kita (jismul latif). Maknanya belum ada ketenangan dan
kelazatan yang sebenar. Bagaimana hendak lazat kalau terpaksa memerangi
diri sendiri. Insya-Allah, kalau kita bersungguh-sungguh, lama kelamaan
bila ia sebati dengan hati, di waktu itu akan terasalah lazatnya.
Kerana setelah kita bersungguh-sungguh, Allah akan membantu sepertimana
janji-Nya dalam Al Quran.
Cara-cara mujahadah dalam tahalli samalah seperti kita mujahadah untuk
takhalli. Macamlah juga orang yang buat latihan senaman untuk sihatkan
badan. Peringkat awal tentulah terasa letih, menjemukan dan sakit-sakit
badan. Tetapi akhirnya nanti, dia akan rasa seronok dan terhibur dengan
senaman itu. Begitulah juga dalam riadatunnafsi ini. Ertinya, kita
bersenam secara rohaniah. Peringkat awal tentulah jemu dan terseksa
tetapi akhirnya ia akan mesra dengan tabiat diri kita.
Misalnya, kita mahu menghiasi hati dengan sifat pemurah. Maka kita
mujahadah dengan mengeluarkan harta atau barang kita, terutama yang kita
suka dan sayang, untuk diberi pada yang memerlukannya. Mulanya tentu
terasa berat dan payah. Tetapi jangan menyerah. Kita lawan. Ingatkan
hati bagaimana orang-orang muqarrobin berebut-rebut untuk dapatkan
pahala sedekah. Sayidatina Aisyah r.ha. di waktu tiada apa yang hendak
dimakan, beliau cuba juga mendapatkan walau sebelah kurma untuk
disedekahkan. Begitu kuat keinginan mereka pada pahala dan rindunya
dengan Syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT: “Siapakah
yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan
melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan
memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Setiap kali kita rasa sayang pada harta, setiap kali itulah pula kita
keluarkannya. Insya-Allah lama-kelamaan kita akan memiliki sifat
pemurah. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti kasih
sayang, berani, tawadhuk dan sebagainya, perlulah kita miliki. Untuk
itu kenalah bermujahadah. Jika tidak, iman juga turut hilang. Sebab iman
itu terdiri di atas sifat-sifat mahmudah.
3. TAJALLI
Sebagai hasil mujahadah dalam takhalli dan tahalli , kita akan
memperolehi tajalli. Iaitu sejenis perasaan yang datang sendiri tanpa
memerlukan usaha lagi. Agak sukar untuk dituliskan atau digambarkan
dengan bahasa. Apakah yang dikatakan tajalli? Yang sebenarnya ia adalah
sejenis perasaan yang bersifat maknawiah (zauk), yang hanya mungkin
dimengertikan oleh orang-orang yang mengalami dan merasainya. Sepertilah
kemanisan gula, tidak akan dapat digambarkan secara tepat.
Tajalli secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah
perasaan rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan
celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh
tertuju pada Allah. Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam
mencintai-Nya dengan tidak putus-putus lagi. Harapan dan pergantungan
hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah. Dirasakan oleh hatinya
bahawa seluruh amal bakti yang dibuatnya, adalah kerana dan untuk Allah
semata-mata. Atau hadiah daripada Allah kepadanya. Apa sahaja masalah
hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada pun kesusahan dalam
hidupnya. Sebab semua itu dirasa pemberian dari Kekasihnya, Allah SWT.
Kalau begitu, bagi orang-orang yang beriman, dunia ini sudah terasa
bagaikan Syurga. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan
kebahagiaan abadi iaitu kebahagiaan hati.
Setakat ini yang mampu saya gambarkan rasa tajalli yang agak rasional
yang boleh dihuraikan secara ilmiah. Yang selebihnya, lemahlah tinta
untuk menulisnya. Hanya siapa yang dapat, dia akan merasakannya dan
tidak dapat berkongsi dengan orang lain pula. Kalau cuba juga
diceritakannya, akan menimbulkan fitnah di sisi orang-orang yang jahil.
Sementara orang-orang yang hasad dengki pula akan mengambil peluang
menuduhnya sesat, kafir atau zindik. Dalam soal ini ada seorang Sahabat
Rasulullah SAW pernah berkata: “Kalau aku luahkanlah apa yang terasa
dalam hati ini, orang akan menuduh aku kafir dan lantas membunuh aku.”
B. ISTIQAMAH
Sikap istiqamah (tetap) beramal adalah benteng iman yang keempat.
Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng
untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap
ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk
ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?
Telah dikatakan berulang kali bahawa tujuan ibadah serta membersihkan
hati itu adalah untuk membuahkan iman dan akhlak. Kalau tidak begitu,
ibadah itu tidaklah bererti apa-apa. Amalan yang membuahkan iman dan
akhlak itu adalah benteng yang menjaga iman. Maka melaksanakannya secara
tetap dan berterusan akan menetapkan iman dan akhlak itu pada hati
kita. Sebaliknya, kalau amalan yang berbuah itu dilakukan sekalisekala
dan tidak berterusan, maka tentulah iman itu juga tidak terjamin
keselamatannya. Di waktu amalan itu kita lakukan, iman akan tinggi
tetapi ketika amalan itu ditinggalkan, iman akan menurun atau merosot.
Oleh itu supaya iman sentiasa ada dan stabil, sikap istiqamah beramal
adalah penting. Ia akan bertindak sebagai benteng yang dapat memelihara
dan menyelamatkan iman daripada serangan musuh terutama nafsu dan
syaitan. Sabda Rasulullah SAW: “Amalan yang paling disukai Allah ialah
amalan yang berterusan (berkekalan) walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Yang penting dalam beramal ialah mengekalkan amalan itu. Kalau tidak
mampu berbuat banyak amalan, cukuplah sedikit, asal dikekalkan
(istiqamah), daripada banyak amalan tetapi tidak kekal. Contohnya,
membaca Al Quran, cukuplah lima baris sahaja tetapi dibuat tiap-tiap
hari daripada lima juz sekali baca tetapi dibuat sebulan sekali.
Sembahyang sunat pula, cukuplah dua rakaat tiap-tiap malam daripada
seratus rakaat tetapi sebulan sekali. Begitu juga dengan sedekah. Biar
hanya 10 sen setiap hari daripada RM10 tetapi setahun sekali.
Kebaikan dari sikap istiqamah ini ialah:
1. Amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air
kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu.
Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali
datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.
2. Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur.
Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi
kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa
dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita.
3. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada
memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seim-bang pertahanan kita
terhadap musuh-musuh itu. Makna-nya kita juga tidak pernah berehat
mempertahankan iman dan akhlak kita.
Imam Al Ghazali pernah mengingatkan, “Banyakkanlah olehmu akan amalan yang terasa berbekas di hati.”
Lain orang lain hatinya, maka lain pulalah minat dan kegemaran beramal.
Ada orang seronok dengan zikir ‘alhamdulillah’. Maknanya bila sebut
‘alhamdulillah’ terasa di hati lazatnya zikir itu. Maka untuk orang ini
banyakkanlah zikir itu. Orang lain pula rasa lazat dengan puasa. Maka
banyakkanlah puasa sunat. Begitu juga ada orang yang terasa lazat dengan
berfikir. Bila berfikir terasa bertambah iman. Maka banyakkanlah berfikir.
Kebaikan dari sikap ini ialah apabila sesuatu amalan itu dilakukan
dengan suka dan rela, ia akan lebih berkesan dan tidak menjemukan. Orang
yang beramal kerana terpaksa dan ikut-ikutan atau secara jahil dan
tidak faham falsafah ibadah itu, tidak akan memperolehi apa-apa kesan
baik. Sebaliknya akan mudah terasa jemu. Orang yang jemu beramal akan
putus hati dengan Allah. Bila putus hubungan hati dengan Allah, bermakna
orang itu sedang berada dalam kemurkaan Allah. Allah berfirman dalam
Hadis Qudsi: “Hai hamba-Ku, mengapa kamu jemu beramal sedangkan Aku tidak pernah jemu memberi pahala padamu?”
Allah SWT sentiasa bersedia untuk melimpahkan rahmat dan pahala pada
kita tetapi mengapa kita tidak mempedulikan-Nya? Untuk mengelak dari
sikap itu, kita mesti berhati-hati dalam beramal. Jangan beramal kerana
ikut-ikut orang dan kerana terpaksa. Tilik dahulu hati dan minat kita,
kemudian pilihlah amalan yang betul-betul sesuai. Barulah dilakukan
amalan itu. Kalau tidak, lama-kelamaan penyakit jemu beramal akan
menyerang kita.
Bila jemu, banyaklah perkara yang boleh berlaku. Ada yang langsung
meninggalkan amalan itu. Ada pula yang langsung benci dengan Islam. Ada
yang kadang-kadang buat, kadang-kadang tinggalkan. Sebab itu, banyak
berlaku orang lari meninggalkan jemaah Islam, pergi meneruskan hidup
yang sesuai dengan kehendak nafsu dan syaitan.
Dalam beramal elok dipraktikkan teori: “Biar sedikit tetapi banyak jenis daripada banyak tetapi satu jenis.”
Mencari keuntungan Akhirat samalah seperti mencari keuntungan di dunia.
Di dunia macam-macam yang kita buat seperti berniaga, tanam padi, tanam
sayur, tangkap ikan, ternak kambing dan lembu. Kalau satu daripada
usaha-usaha itu mengalami kerugian, kita masih boleh bergantung pada
usaha-usaha yang lain. Tetapi kalau kerja kita satu jenis sahaja,
katakanlah berniaga sahaja, tiba-tiba kita rugi, akan menderitalah kita
waktu itu.
Begitulah juga halnya dalam mencari keuntungan hidup di Akhirat. Elok
kita beramal banyak jenis selain yang difardhukan seperti sembahyang,
puasa, sedekah, zikir, baca Quran, tolongmenolong, berkhidmat, berdakwah
dan lain-lain yang dianjurkan oleh syariat. Katalah ada di antara
amalan itu tidak diterima oleh Allah, waktu itu masih ada lagi amalan
yang lain boleh kita harapkan. Tetapi kalau satu jenis sahaja amalan,
tiba-tiba yang satu itu tidak diterima, apalagi yang boleh diharapkan?
Oleh itu cuba jangan tumpukan amalan kita pada satu jenis sahaja.
Usahakan supaya banyak jenis. Biarlah sedikit asalkan istiqamah.
C. BERTAFAKUR
Seterusnya kita lalui jalan berfikir (tafakur). Banyak ayat Al Quran yang
menganjurkan kita berfikir. Firman Allah SWT: “Dan mengapa mereka tidak
memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?” ( Rom:8 )
Firman Allah: “Apakah kamu tidak memikirkannya?” (Al An’am: 50)
Firman Allah: “Pada diri kamu mengapa kamu tidak memerhatikannya.” (Az Zariyat: 21)
Berfikir yang dimaksudkan di sini ialah merenung dengan hati dan akal
tentang ciptaan Tuhan hingga datang rasa insaf dan terasa kelemahan
diri. Misalnya memikirkan rahsia ciptaan alam sehingga terasa kebesaran
Allah dan timbul rasa gerun pada kekuasaan-Nya. Seterusnya memikirkan
rahsia perjalanan hati yang bergelombang antara berbagai alunan rasa
mazmumah dan mahmudah. Yakni tanpa dikontrol oleh kita, dapat kita
rasakan satu pentadbiran Yang Maha Agung sedang mengawasi diri kita.
Kesannya kita akan rasa sungguh takut untuk menderhakai Allah. Merenung
dan berfikir tentang mati, yang tidak pernah ada seorang pun dapat
mengelak darinya sehingga timbul rasa ingin beramal secara serius,
sekaligus mahu membuat persiapan ke arah itu. Berfikir terus tentang itu
semua, insya-Allah hati kita akan dimasuki sifat-sifat mahmudah.
Jadi untuk memiliki sifat-sifat mahmudah mestilah seseorang itu membuat
latihan-latihan berfikir seperti berfikir tentang kesalahan diri, tentang
dosa dan tentang mazmumah dalam diri. Bawa tafakur dan merenung barulah
terasa betapa buruknya mazmumah. Ketika itu barulah mahu menyerah dan
menghina diri kepada Allah. Kesannya akan mendorong kita untuk tunduk
dan patuh kepadaAllah dan perintah-Nya. Mendorong kita menjadi tawadhuk,
rendah diri, berlemah-lembut sesama manusia dan memiliki lain-lain
sifat mahmudah. Jadi berfikir juga salah satu cara boleh membaiki diri
seseorang.
D. BERGAUL
Tarbiah dan didikan juga boleh didapati melalui pergaulan. Imam Al
Ghazali r.hm. ada berkata, di antara cara-cara yang praktikal untuk
membaiki diri, hendaklah kita bergaul dengan orang ramai. Melalui
pergaulan dapat dikesan sifat-sifat buruk kita. Manusia umum biasanya
lebih memperkatakan tentang keburukan kita daripada kebaikan kita yang
kadang-kadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu itu satu
kejahatan. Jadi bila kita dikata orang, barulah kita tahu akan kejahatan
diri. Maka di waktu itu mudahlah untuk membaikinya.
image: http://www.usahataqwa.com/wp-content/uploads/2010/12/istanalama-300x212.jpg
E. PIMPINAN MURSYID
E. PIMPINAN MURSYID
Cara membaiki diri seterusnya ialah melalui pimpinan. Pemimpin atau guru
mursyid itu mampu memimpin kerana kelebihannya yakni dia lebih tahu
tentang kecacatan dan kelemahan muridnya lebih daripada muridnya
mengenali dirinya sendiri. Mengetahui tentang sir dan batin muridnya.
Tahu pula membaca hal-hal halus yang ada pada hati seseorang. Pemimpin
yang soleh atau guru mursyid itu juga nampak dan boleh menunjuk
kelemahan diri kita. Boleh mendidik dan menunjuk ajar. Biasanya cara ini
lebih berkesan dan lebih cepat untuk kita membuat perubahan diri.
Asalkan kita dapat memberi kepatuhan kepadanya tanpa berbelah lagi.
Biasanya dia sentiasa buat teguran kepada pengikut-pengikutnya atau
murid-muridnya sama ada secara langsung dengan lisan mahupun dengan
perbuatan secara tidak langsung.
Jadi pimpinan pemimpin yang mursyid itu lebih berkesan daripada
latihan-latihan lain dalam membaiki diri yakni membaiki roh kita itu.
Walau bagaimanapun pelbagai macam latihan lagi boleh dibuat.
Terpulanglah kepada kesedaran dan kemampuan kita. Begitulah ilmu tentang
roh atau ilmu rohani. Ia adalah ilmu untuk dapat mengesan sifat-sifat
roh sama ada yang mahmudah untuk disuburkan mahupun yang mazmumah untuk
ditumpaskan supaya roh kita ini bersih dan murni. Membersihkan roh atau
hati itu mestilah melalui dua peringkat. Peringkat awal dengan
mengetahui ilmu dan peringkat kedua melalui latihan.
Setelah menempuh kedua-dua jalan ini, dengan hidayah dan taufik daripada
Allah, hati atau roh itu akan bersih. Sedangkan hati ini merupakan raja
dalam kerajaan diri. Dialah yang mengarah, dialah yang menahan, dialah
yang menyuruh dan sebagainya.
Bila mana roh dan hati ini menjadi raja dalam diri, kalau raja sudah
bersih, ertinya raja itu sudah baik, maka segala anggota lahir atau
jawarih seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan lain-lainnya,
akan mematuhinya. Walaupun terasa berat, bila hati sebagai raja dalam
negara diri sudah memerintah, maka seluruh rakyat dalam dirinya akan
mematuhinya.
Ditegaskan sekali lagi, anggota-anggota lahir itu adalah ibarat rakyat
dalam negara diri dan hati adalah rajanya. Bila raja baik, seluruh
rakyat akan baik. Maknanya seluruh anggota lahir kita ini akan baik.
Tetapi bila raja itu jahat, maka dikerahkan pula anggota lahir kita ini
untuk buat kerja-kerja jahat. Bila raja dalam diri baik, baiklah seluruh
jawarih, maka jawarihkita ini akan tunduk kepada perintah Allah. Itulah
anggota manusia yang bersyariat. Jadi anggota lahir ini boleh
bersyariat kerana hati itu bersyariat. Anggota lahir kita ini baik,
kerana hati itu baik. Anggota lahir kita ini boleh rukuk dan sujud,
kerana hati itu sudah rukuk dan sujud. Anggota lahir ini walau bagaimana
susah pun, dia sanggup juga tunduk kepada Allah kerana hati sudah
tunduk. Inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW: “Dalam diri
anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah
manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati
atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)
Begitu besarnya peranan hati atau roh ini. Ia adalah raja dalam kerajaan
diri. Sebab itu Allah memerintahkan hati atau roh mesti dibersihkan.
Bersihkan mazmumahnya digantikan dengan mahmudah melalui takhalli,
tahalli dan tajalli, sepertimana yang telah dibahaskan. Jadi baru kita
tahu anggota lahir kita ini akan bersyariat bila hati itu bersyariat.
Anggota lahir itu baik bilamana hati itu baik. Bila anggota lahir itu
tidak patuh kepada Allah atau tidak bersyariat, itu menunjukkan hati
tidak baik. Jahatnya berpunca dari hati yang tidak baik. Ertinya raja
dalam kerajaan diri ini sudah khianat dan sudah zalim hingga dia
menzalimi semua rakyatnya yang ada dalam dirinya, iaitu anggota lahir
atau jawarih kita itu.
Jadi kalau hati yang menjadi raja dalam kerajaan diri sudah baik, maka
dia akan kerahkan anggota lahirnya sebagai rakyat dalam diri membuat
baik. Maka Allah berkata dalam Al Quran: “Sesungguhnya mendapat
kemenanganlah orang yang membersihkan hatinya (roh atau nafsu). Dan
kecewalah orang-orang yang mengotorinya.”(As Syams: 9-10)
Jadi Allah sebut orang yang hatinya baik, dia akan berjaya atau menang
dalam hidup. Berjaya di dunia dan berjaya di Akhirat. Mendapat
kemenangan di dunia dan mendapat kemenangan di Akhirat. Sebaliknya,
kalaulah hati seseorang itu sudah rosak, hatinya kotor hingga
mazmumahnya subur, mahmudahnya kurus, maka hati yang kotor itulah yang
akan mengecewakan manusia di dunia lagi. Hidupnya lintang-pukang,
haru-biru, tidak ada kasih sayang, tidak ada kemesraan, selalu bergaduh,
bergeseran dan krisis hingga membawa peperangan. Maka dengan kerosakan
itu tidak ada lagi keamanan di dunia ini. Ini semua adalah hasil atau
kesan daripada roh atau jiwa atau hati yang tidak dibersihkan. Akibatnya
gagallah hidupnya walaupun dia seorang kaya, seorang raja, seorang
pembesar atau seorang alim. Orang yang gagal di dunia, akan gagal di
Akhirat. Orang yang kecewa di dunia, akan kecewa di Akhirat. Di Akhirat
terjun ke Neraka.
Sebab itu dalam ajaran Islam, membersihkan roh itu amat penting sekali
bahkan diwajibkan yakni dengan cara mempelajari ilmu rohaniah atau ilmu
mengetahui tentang sifat-sifat roh atau hati. Roh itulah hakikat diri
manusia. Ia adalah penentu baik atau jahatnya seseorang itu. Oleh itu
bila roh manusia baik, ertinya manusia itu kembali kepada hakikatnya
iaitu bersifat seperti manusia. Kalau rohnya diabaikan hingga penuh
dengan sifat mazmumah, maka dia tidak kembali kepada hakikatnya.
Walaupun rupanya manusia tetapi sifatnya mungkin haiwan atau mungkin
syaitan.
Begitulah pentingnya roh atau hati dalam Islam. Begitu penting
mempelajari ilmu rohani supaya kita tahu tentang sifat-sifat roh itu.
Yang mahmudahnya hendak kita suburkan manakala yang mazmumahnya hendak
kita tumpaskan dan dicabutbuangkan. Perbincangan atau perbahasan ini
hanya ada di dalam ilmu tasawuf.
Read more at http://mencariygbenar.blogspot.com/2012/03/cara-memimpin-hati.html#LeGIBdDIEZIxtLPM.99
No comments:
Post a Comment