Monday, 5 September 2016

BERUBAH

Berubah, ia memerlukan tekad dan keazaman yang benar-benar menggugah jiwa.
Tetap teguh walau sekuat mana pun badai yang melanda.

Berubah, kenapa terlalu sukar? Kekadang itulah persoalan yang bermain-main difikiran dan minda kita. Ia bagaikan sesuatu yang menggugah dan mengganggu perasaan semua insan. Kenapa semua insan?
Kerana, perubahan itu suatu fitrah. Semua manusia yang normal akan lalui, tempuhi dan alami sebarang perubahan dalam kehidupan mereka. Sama ada dengan kehendak diri sendiri atau mereka terpaksa melalui atas faktor-faktor tertentu. Saya selalu mengulangi kata-kata ini apabila ditanyakan tentang perubahan :
“ Sesiapa yang berubah kerana TERPAKSA dia sebenarnya adalah MANGSA, dan sesiapa yang berubah kepada Allah SWT kerana kesedaran yang JELAS dan NYATA, pasti ia akan BAHAGIA.”
Ya. Amat terseksa jiwa jika terpaksa melalui perubahan kerana terpaksa.
Namun, perasaan bahagia akan menyimbah seluruh relung rasa apabila melalui perubahan dengan kesedaran yang jelas dan nyata kerana Allah SWT. Itu sebenarnya, hakikat perubahan yang kita dambakan.
Sedikit perkongsian tentang langkah “mudah” untuk berubah bagi mereka-mereka yang benar-benar berhasrat, berhajat dan ingin “sesuatu” yang baru dalam fasa kehidupan mereka. Moga sinar harapan dan perubahan itu hadiri tanpa paksa!
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.”

( Ar Ra’du 13 : 11)
Apa langkah-langkah itu? Ayuh kita semak sepintas lalu :

(1) Benar-benar mengenali diri
Ya. Kenal diri sendiri. Inilah titik asas kepada segala perubahan. Manusia yang gagal mengenali sedalam-dalamnya diri mereka, adalah manusia yang paling malang dan rugi sepanjang kehidupan mereka.
Kenal di sini, bermaksud tahu siapa dirinya? Benar-benar arif tujuan kehidupannya. Maka, berasas kepada inilah mereka akan sentiasa menilai akan kekuatan, kelemahan, kekurangan dan keaibaan diri untuk dirawati, dikikis dan dipertingkatkan.
Benarlah kata murabbi saya :
“ Kenali kelemahan, keaiban dan kekurangan diri kita.”
Siapakah diri aku? Who Am I? Man Ana?
Ia adalah persoalan-persoalan yang mampu dijawab dengan lantang, jelas dan nyata tanpa sedikit pun keraguan dan sebarang syak wasangka!

(2) Benar-benar ingin berubah tanpa paksa!
Berubah akan menjadi sangat berharga apabila ia kekal lama, istiqamah dan sentiasa memberikan suatu nilai kepada kita.
Perubahan hangat-hangat tahi ayam, atau suam-suam sejuk adalah perubahan yang sungguh mengaibkan. Ia suatu permainan yang melemahkan jiwa dan tiada unsur perjuangan yang sejati di dalamnya.
Selalunya, perubahan sebegini adalah perubahan yang bukan daripada hati dan jiwa. Malah, ianya terjadi kerana “terpaksa”, didorongi suasana yang ada dan terjadi tanpa sedar. Terikut-ikut dengan rakan sebaya, hanya berubah apabila ada “orang” yang suruh dan sebagainya adalah suatu daya perubahan yang tidak bersifat kekal.
Justeru, untuk berubah kita perlukan sesuatu yang kuat, utuh dan bertenaga. Itulah yang dinamakan kesedaran untuk berubah!

(3) Benar-benar punyai kesedaran yang bersih
Kesedaran adalah asas utama kepada perubahan. Kesedaran juga adalah suatu pemberian, hidayah dan nikmat daripada Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Ia hadir daripada hati dan jiwa yang bersih lagi jernih. Ia terbentuk dengan tadahan doa, rintihan munajat dan semburan air mata keinsafan terhadap Allah SWT. Dalam bahasa arab, para ulama menyebutnya sebagai taubat nasuha. Ertinya kembali kepada Allah SWT dengan hakikat pengembalian yang sebenarnya. Kesedaran ini ada prasyaratnya, apakah ia?
(a)   Hentikan segala kemungkaran dan maksiat serta merta. On the spot!
(b)   Mesti menyesal bersungguh-sungguh!
(c)    Berazam penuh tekad untuk tidak kembali kepada perbuatan dosa.
Jika inilah bentuk kesedaran yang lahir daripada dalaman kita, yakinlah perubahan itu akan memacu kepada suatu kehidupan yang hidup, bergerak dan penuh makna!

(4) Benar-benar bersungguh-sungguh untuk berubah
Bersungguh-sungguh.
Dalam erti dan maknanya, tiada istilah main-main. Tiada perkataan cuba-cuba atau tangguh-tangguh. Apabila kita menyatakan ingin berubah. Ya. Aku berubah.
Tiada lagi, perkataan :
“ Aku akan berubah!.”
“Aku cuba untuk berubah.”
“ Aku nak berubah.”

Tidak. Katakan terus secara serta merta dengan tekad, azam dan semangat yang membara :
“ Aku berubah!.”
“ Berubah sekarang!.”

Ia bukannya sesuatu yang dibuat-buat, boleh diolok-olokan, dilakon-lakonkan atau ditiru-tiru. Jika hendak berubah, lakukan sekarang tanpa bertangguh!

(5) Benar-benar sanggup membayar harga sebuah perubahan
Sedar atau tidak, semua manusia – saya, anda dan mereka – hajatkan kepada perubahan tetapi tidak sanggup untuk membayar harganya. Harga bagi sebuah perubahan adalah pengorbanan, kesukaran dan kepayahan.
Kita sentiasa harapkan perubahan yang bersifat “instant” , segera dan mudah – sedangkan perubahan tidak semudah yang kita angan-angankan.
Murabbi saya juga selalu mengulangi kata-kata ini :
“ Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan,mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaran.”
Justeru, jika berbicara soal perubahan – kita juga perlu bersedia untuk berbicara dan sanggup melalui sebuah pengorbanan.
“Usah berbicara soal perubahan, jika takut menghadapi dunia pengorbanan!.”

No comments:

Post a Comment