Friday, 24 July 2015

Hidup Tak Berkat

1. Duit banyak, tapi cepat habis.
Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup, tak pernah cukup. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.


2. Buat kerja tapi tak siap.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu yang tak dapat munafa'at.
Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat diri orang pandai, tapi diri sendiri pun tunggang langgang.

4. Masa habis dengan sia-sia.
Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan. Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit. Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.

Jelaslah, rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima oleh Allah SWT. Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (riwayat Ibn Majah dan Ahmad, Ibn Hibbah dan Ibn al- Mubarak). 

Oleh itu, ketakwaan kepada Allah akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat. Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata, 'Rezeki secupak tidak akan jadi segantang' bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis. 'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan. "Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit), maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh Allah, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata dan budaya orang Melayu, dengan pandangan penuh bijaksana untuk direnungi oleh generasi akan datang sebagai panduan dalam kehidupan.Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar dan Al-Hakim). 

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: 

"Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (riwayat Ath-Thabrani dan Al-Bazzaar). 

Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda:

 "Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi hari mereka (waktu fajar). Ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW dalam sabdanya: "Selesai solat fajar (Subuh) janganlah kamu tidur sehingga melalaikan kamu untuk mencari rezeki." (riwayat Ath-Thabrani).

No comments:

Post a Comment