Friday, 27 November 2015

Sentiasalah Bersihkan Hati Dari Kekotoran Batin

Hati manusia adalah umpama raja kepada seluruh anggota tubuh badannya. Apabila dalaman (hatinya) baik, maka baiklah luaran (perbuatan, perangai, pakaian dan amalan). Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita. Apabila dosa dilakukan secara berterusan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman.
Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baiklah seseorang itu, dan apabila buruk, maka buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim).
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Apabila seseorang itu merasa seronok dalam melakukan kebaikan dan berasa sedih dalam melakukan kejahatan, maka rasa itu adalah tanda iman sudah mula terserap dalam hatinya. 
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi)
Mencuci Hati
Apabila dosa dilakukan secara berterusan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman.
Telah diriwayatkan oleh Al Dailami daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda, dosa besar tidak berkekalan jika diistighfarkan (mohon keampunan) dan dosa kecil akan kekal jika ia dilakukan secara beterusan (Khazinatul Asrar 1/83)
Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku cuma minum arak sekali seminggu je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”,
Taubat itu membersihkan hati manusia daripada kotoran dosa dan titik hitam yang melekat di hati. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali” (Riwayat Muslim).
Salah satu cara bertaubat ialah dengan melafazkan istigfar seperti “Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi” (Aku mohon keampunan kepada Allah yang maha agung, tiada tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya, dan kepadaNyalah aku bertaubat )
Rasulullah s.a.w bersabda: “Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya (umpamanya untuk membersihkan badan dan pakaian dipergunakan sabun dan untuk menghilangkan karat besi dipergunakan api dan lain-lainnya). Maka demikian itulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah.”
Puasa dan Doa Keluar Daripada Kegelapan Menuju Cahaya
Rasulullah saw. bersabda “Apabila seseorang itu kurang makan, penuhlah badannya dengan cahaya”. Allah swt akan melahirkan cahaya (nur) di dalam diri orang yang berpuasa dan memberinya kekuatan untuk mendampingi Allah.
Rasulullah s.a.w. mengajar kita berdoa “Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan Islam yang sebenar dan keluarkanlah kami daripada kegelapan menuju kepada cahaya dan jauhkanlah kami daripada perbuatan yang tidak bermaruah, samada yang nampak atau yang tersembunyi.
Jalan Islam yang sebenar adalah jalan yang diredhai Allah. Kegelapan pula bermaksud kejahilan, kekafiran dan kemaksiatan,. Untuk keluar daripada kegelapan, kita memerlukan cahaya iaitu cahaya daripada ilmu dan ilmu pula adalah satu cahaya pemberian daripada Allah. Ia tidak diberikan kepada mereka yang derhaka dan melakukan maksiat.

No comments:

Post a Comment