Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”
Riwayat al-bukhari
Huraian :
i) Silaturahim bermaksud menyambungkan
tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan
serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap
saudara, kerabat, teman dan sebagainya.
ii) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”
iii) Mewujudkan silaturrahim
bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang
telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah
ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan
keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak
ansur dan sebagainya.
iv) Biasanya punca permasalahan
dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan
saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang
muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan
perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam
serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
v) Seseorang yang sedang berada
dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar
dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan
orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri
sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan
hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh
dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh
Allah S.W.T
No comments:
Post a Comment