Sudahkah kita benar-benar
menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa
peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah?
Mudah
saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu
solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah
dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang
selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci
yang hilang.
Sebaik
anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh
berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa
dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia
dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar
sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah
sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada
Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.
Bayangkan
di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa
guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu
tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat.
Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita
kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan
yang Allah sediakan.
Solat
adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap
perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap
seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan
hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya
dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka
solat iaitu Doa Iftitah, “Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke
wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi” dan kalimah seterusnya
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.
Bayangkan
sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah
ini, iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa
sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia
benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa
Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya
hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat
yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka
dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di
luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar
kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman
Allah; “.. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”
Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?
Pertamanya
kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam
solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan
sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang
sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru,
ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita
menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah
hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya.
Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada
Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap
kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran
yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.
Keduanya,
setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai
masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa
nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai
banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.
Justeru
ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat,
keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran
terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru
solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada
Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?
Allah
sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia
menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah.
Senjata itu adalah Puasa.
Hawa
Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan
secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu.
Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat
hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita
melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan,
kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada
kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan
secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam
keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan “kembalilah
ke fitrah yang suci” di bulan Ramadhan.
Allah
memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu
kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita
digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah
adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai
banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk
disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan
membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering
menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia
dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah
untuk solat dengan khusyuk.
Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?
Pastinya
kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus
menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan
hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa
enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari
berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita
benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan ‘open house’
di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua
iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.
Apa
yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk
berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus
ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat
dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan
(kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan
dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini
secara berterusan.
Jangan
lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa
Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana
Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada
khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah,
hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa
yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.
Inilah
rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat
hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru
di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan
yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa
berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir
dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga
yang disebutkan oleh Rasululah.
Dengan
Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat,
insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah
kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar
solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita
kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah.
Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan
telah menyempurnakan Syahadah kita.
Rumusannya,
Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat,
itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan
yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu
hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke
Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.
Belajarlah
Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan
kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di
jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang
tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh
ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.
Firmah
Allah yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada
Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah
hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Balad: 27-30)
No comments:
Post a Comment