Monday, 13 February 2017

KETENANGAN HATI



Semua benda boleh beli tapi ada juga yang tak boleh dibeli iaitu ketenangan hati . Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat indah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada di dalam hati.
Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenangan itu ialah mengingati Tuhan. Maksud firman Allah; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.”
Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati. Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di depan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah ketenangan.
Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan tenang.
Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.
Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati. Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah; “Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap adil.
Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat yang indah permai, tapi yang Dia telah tentukan ialah; untuk tenang itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang.
Dengan memperoleh ketenangan jiwa dalam menjalani liku-liku kehidupan, insya-Allah segala yang cabaran dan dugaan yang mendatang akan dapat kita terima dengan rasa redha dan mengakui akan kebesaran Allah, pencipta sekalian alam.

No comments:

Post a Comment