Monday, 13 February 2017

TEGURAN TIDAK DI TERIMA.. SABARLAH!


Tidak semua perkara yang kita lakukan akan disukai semua orang. Tidak semua kebaikan yang kita hadiahkan kepada orang lain akan diterima baik. Kadang-kadang, sahabat baik kita atau orang yang kita sayangi sendiri pun belum tentu akan menerima pemberian kita terutamanya di dalam bentuk pendapat atau teguran. Mungkin pendapat kita tidak serasi atau tidak digemari untuk diikuti. Mungkin juga ia salah. Demikianlah hakikatnya hidup kita sebagai manusia. Dewasa atau matang belum tentu matangnya sepenuhnya. Yang berilmu belum tentu mendalam ilmunya. Begitulah kita ini.
Peribadi kita juga, belum tentu akan disukai semua. Memang menyakitkan kalau kita dihina, diejek atau dipergunakan oleh seseorang, lebih-lebih lagi apabila dikelilingi oleh orang ramai. Namun, tidak mengapa. Tiada salahnya jika kita merendah diri sedikit sahaja. Tidak perlu berbalah dengan mereka. Tidak juga perlu kita tersinggung jika kawan memandang rendah dan memberitahu kelemahan kita. Kita seharusnya berterima kasih kepadanya kerana diri kita menjadi perhatiannya. Sekurang-kurangnya kita tahu, dalam rasa tidak sukanya kepada kita, dia masih mengambil berat. Beruntunglah kita.
Hadapilah sindiran dan tohmahan itu dengan sabar. Dinginkan akal kita. Jangan marah dan bertenanglah. Sebenarnya kejadian sebegitulah yang mengajar mental kita supaya mampu bertahan. Tidak perlu kita bertengkar kerana kebanyakan kita tidak suka mengakui jika apa yang diperkatakannya ditolak. Ketahuilah dan asahlah tahap kebijaksanaan kita dengan kesabaran. Orang yang bijaksana selalu menghindari pertelingkahan, permusuhan dan dendam kesumat. Mereka lebih banyak berdiam diri ketika orang lain menghinanya. Mereka selalu memaafkan dan mengalah kerana berpandukan kebenaran dan menganggap bahawa orang yang menghina itu masih belum memahami siapa mereka dan berada di dalam kejahilan.
Biasakan diri kita menerima kritikan sebagai iktibar untuk masa hadapan diri sendiri. Kita dengar, lalu kita jadikan ia dorongan ke arah kebaikan. Mungkin di masa hadapan kelak apabila kita dilalukan dengan perkara yang sama, sudah tentu kita telah bersedia dengan keyakinan diri yang kuat. Baiki diri kita dari apa yang kita terima dan InsyaAllah dengan cara ini, kita akan lebih disenangi dan lebih disayangi semua samada secara langsung ataupun tidak.
Hindarilah pertengkaran dengan merasakan diri kita atau kata-kata kita lebih mulia. Terapkan semua itu sebagai latih tubi kepada kehidupan kita seharian. Apabila latihan menjadi kebiasaan, segalanya akan dapat dilalui dengan cukup senang, tenang dan redha. Jauhi permusuhan kerana tidak ada satu keuntungan pun yang akan kita dapati dari sebuah permusuhan, melainkan hati yang sakit dan penderitaan jiwa yang panjang. Belajarlah dari segala kelemahan kerana dari kelemahanlah kita belajar mengenali di mana kekuatan yang perlu kita 'adakan' kepada diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment