Sunday, 12 February 2017

Usah Berduka Andai Madu Yang Kita Hulur Tapi Racun Yang Dilempar


Kerana terlalu berharap pada balasan kebaikan, kadang-kadang kita terlepas pandang pada kelemahan yang dinamakan ‘manusia’. Kita mahu kalau boleh, bila kita buat baik, yang menerima kebaikan akan membalas dengan kebaikan yang serupa. Bila saja kita tidak menerima balasan yang setimpal, kita mula rasa dikhianati, tidak dhargai, kurang disayangi. Kita ini, manusia. Kurang lebih antara kita sepatutnya sudah maklum... Memuaskan hati manusia itu melelahkan, kerana manusia tidak akan pernah merasa puas.
Kita akan selalu kecewa jika harapan kepada manusia kita letakkan lebih tinggi daripada harapan kepada Allah. Allah itu Maha Baik, baik atau buruk sesuatu kejadian, pada setiapnya terkandung hikmah bagi yang berfikir. Boleh jadi, kebaikan yang dibalas kejahatan ini sebagai salah satu cara Allah untuk mengajar kita tentang ikhlas.
Apakah kita mahu mengharapkan lebih daripada manusia lain yang kelemahannya lebih kurang sahaja dengan diri kita? Tidakkah kita mahukan balasan Allah yang tiada banding taranya? Berharaplah balasan hanya dari Allah. Tanpa kita sedari mungkin Allah sudah membalas kebaikan kita.. Dia cukupkan nikmat yang berganda. Rezeki yang tidak putus, makan pakai sempurna. Kadang-kala kebaikan itu tak tumpah pada kita saja, tapi turut terkena dengan kesihatan ibu ayah, adik-adik, kebaikan suami, solehnya anak-anak.
Sukar sebenarnya mendidik hati mengaplikasi pelajaran yang satu ini, yakni menerima kurang lebih antara manusia dengan lapang dada.. Selalulah luangkan masa dengan hati. Ajak hati berbual-bual, fahami ia, didik ia perlahan-lahan menurut kemanisan ibadah bersulam iman. Hati ini fitrahnya kebaikan.
Usah berduka andai madu yang kita hulur tapi racun yang dilempar.. lihatlah dengan akal sihat, akan nampaklah berganda-gandanya yang Allah beri. Amat perlu memperbetulkan niat kita dalam melakukan sesuatu. Niat biarlah kerana Allah...
.

No comments:

Post a Comment