Monday, 13 February 2017

SUAMI ADALAH PEMIMPIN, ITU BENAR... TETAPI JANGAN LUPA, SUAMI KITA MANUSIA MACAM KITA


Wahai isteri.. tak usah menanti di didik suami, bukan masanya lagi untuk kaum isteri menyalahkan suami. Memang betul, suami bersalah kerana mengabaikan amanah-Nya. Cuma, jangan kerana itu, kita menjadi lemah dan putus asa untuk mengumpulkan kekuatan menjadi manusia yang berilmu dan diredhai Allah. Dalam dunia yang cukup mudah mencari ilmu masakini, alasan mengharapkan suami itu nampaknya sudah tidak relevan lagi. Kita boleh berusaha mengubah diri dengan niat kerana Allah. Mungkin kitalah yang bakal menjadi asbab kepada seluruh keluarga berubah menjadi sebaik-baiknya.
Jangan tunggu bimbingan orang lain sedang kita ada kudrat, ada akal dan ada hati untuk mencari hidayah Allah itu sendiri. Jika suami kita yang kita harapkan dapat membina bahagia itu masih tidak berubah, jangan lemah, sebab untuk berubah menjadi soleh atau solehah itu tidak dalam sekelip mata. Selalunya menjangkau masa yang lama, dengan izin Allah. Itu ujian yang Allah kurniakan untuk kita. Habuan yang indah disediakan oleh-Nya nanti di sisi Allah, InsyaaAllah.
Dahulukan perubahan diri kita demi anak-anak yang masih mentah. Mungkin perubahan yang kita mulai itu menjadi asbab kepada perubahan di pihak yang lain pula. Jangan menyesal, jangan juga mengalah untuk berharap kepada Allah. Ingatlah, suami kita tidak akan berubah tanpa keizinan Allah. Jadi, berbekalkan doa yang tidak putus dan usaha memperbaiki diri kita tanpa jemu, yakinlah Allah akan membantu mengikut kadar usaha yang telah kita usahakan. Tak mengapa untuk merintih kerana letih sebab kita manusia yang tidak sempurna pastinya. Namun, niatkan keletihan itu demi menuntut kasih-sayang Allah yang telah dijanjikan.
Inilah salahnya kita kaum hawa. Ramainya yang mengharapkan suami menjadi pembimbing sempurna, bilamana suami itu tidak mampu, si isteri jadi kecewa malah menyalahkan suaminya. Suami itu pemimpin, itu benar, tetapi jangan lupa, suami kita MANUSIA, sama macam kita..

No comments:

Post a Comment