عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
“(Allah) Mengajarkannnya (kepada manusia) pandai menerangkan (berbicara).” (Rahman:4)
Dari Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda;
مَنْ
كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ
لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ،
فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ
الْآخِرِ، فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka
hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang
siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia
memuliakan tetamunya.” (riwayat Bukhari)
Kalimah, “...Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat”,
maksudnya adalah sesiapa beriman dengan keimanan yang sempurna, yang
(keimanannya itu) menyelamatkannya dari azab Allah dan membawanya
mendapatkan redha Allah, “...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam”
kerana orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu
takut kepada ancaman-Nya, mengharapkan pahala-Nya, bersungguh-sungguh
melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Dan yang terpenting
dari semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota
badannya kerana kelak dia akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan ke
semua anggota badannya, sebagaimana tersebut pada firman Allah:
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan
(ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak
pasti akan dimintai tanggung jawabnya.” (al-Israk:36)
Dan firman-Nya lagi:
مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Apapun kata yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid.” (Qaff:18)
Rasulullah saw pernah ditanya tentang siapakah sebaik-sebaik seorang Muslim itu, maka jawab baginda Nabi:
مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“(Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya daripada gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Bukhari)
Sebenarnya di sebalik sebuah ucapan itu tersimpan sebuah tanggungjawab
besar yang bakal dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh kerana itu,
kita harus berwaspada dalam setiap tutur kata, ia boleh sahaja menjadi
faktor yang mampu mengangkat darjat seseorang hamba di sisi Allah, ia
juga boleh menyebabkan kecelakaan besar kepada pengungkapnya. Rasulullah
saw bersabda:
إِنَّ
الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا
يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ
الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي
لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
“Seorang hamba yang berbicara mengenai sesuatu perbicaraan yang
termasuk dalam keredhaan Allah, sedang dia tidak sedarinya; namun dengan
sebab satu kalimat itu Allah menaikkan martabatnya beberapa darjat.
Adapun mereka yang berbicara mengenai suatu perkara yang termasuk dalam
kemurkaan Allah, sedang dia tidak sedarinya; dengan sebab satu kalimat
itu buruk itu dia dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.” (riwayat Bukhari)
Terdapat athar menyebutkan:
أَكْثَرُ خَطَايَا ابْنِ آدَمَ فىِ لِسَانِهِ
“Kebanyakan dosa anak-anak Adam itu ada pada lisannya.” (riwayat al-Tabarani)
Apabila Rasulullah saw bersabda:
فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam”, ini menunjukkan
bahawa perkatan yang baik itu lebih utama daripada diam, dan diam itu
lebih utama daripada berkata buruk. Berkata baik dalam hadis ini
mencakup menyampaikan ajaran Allah dan Rasul-Nya dan memberikan
pengajaran kepada kaum Muslimin, amar makruf dan nahi mungkar
berdasarkan ilmu, mendamaikan orang yang berselisih pendapat, berkata
yang baik kepada orang lain. Dan yang terbaik dari semuanya itu adalah
menyampaikan perkataan yang benar di hadapan orang yang ditakuti
kekejamannya atau diharapkan pemberiannya.
Islam menjelaskan bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua-dua potensi
itu, iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu
memanfaatkan untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan
kebaikan bagi penuturnya. Dan kalau tidak mampu, maka lebih baik diam.
Dan bagi yang mampu untuk diam pula, tetapi menolak untuk mengucapkan
kebenaran, ia adalah “Syaitan yang bisu”. Kata Abu Ali al-Daqqaq rhm:
الْمُتَكَلِّمُ بِالْبَاطِلِ شَيْطَانٌ نَاطِقٌ وَالسَّاكِتُ عَنِ الْحَقِّ شَيْطَانٌ أَخْرَسُ
“Orang yang berkata batil adalah Syaitan yang berbicara, sedangkan
orang yang diam dari mengatakan kebenaran adalah Syaitan yang bisu.”
Oleh kerana itu, sikap berdiam juga boleh memberikan kesan sampingan
yang bermacam-macam dan nilai impaknya mampu memberikan petanda murka
daripada Allah Taala. Ada yang dengan diam ia menjadi emas, tetapi ada
pula dengan diam ia menjadi masalah. Semua bergantung kepada niat cara
situasi dikendalikan pada diri dan lingkungannya. Kata Imam Ahmad ibn
Hanbal di dalam Bayna Mehnah al-Din wa Mehnah al-Dunya:
إذا سكت العالم تقية، والجاهل يجهل، فمتى يظهر الحق
“Kalau diam orang alim kerana taqiyah (playsafe), dan orang jahil terus jahil, maka bilakah kebenaran itu akan tertegak?”
Untuk mencapai kebaikan Islam, seseorang tidak cukup hanya berdiam
sedangkan anggota tubuhnya yang lain melakukan hal-hal yang dilarang
oleh Allah Taala. Namun, ia harus juga harus “diam” yakni meninggalkan
perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan diltegah Allah baginya.
Rasulullah saw bersabda:
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Di antara kebaikan Islam seseorang itu iaitu meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.” (riwayat al-Tirmizi)
Bagi orang yang beriman, lidah yang dikurniakan untuk menyampaikan
tujuan-tujuan komunikasi sesama manusia tidak akan digunakan untuk
berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk
mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah, nasihat-nasihat yang
membetulkan perjalanan hidup manusia. Manakala, peranan diam pula
dijadikan benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang
sia-sia atau yang tiada keperluannya. Diam memiliki faedah dan syarat
kondisionalnya tersendiri. Apa yang penting adalah kita mengetahui
waktu-waktu yang tepat untuk mengambil diam sebagai sikap ketika
berinteraksi dengan orang lain. Diam boleh menjadi kebiasaan efektif
yang apabila ia diterapkan dalam diri, ia mampu menjadikan kita lebih
produktif. Iaitu membiasakan diam, lebih banyak mendengar daripada
berbicara dengan memperbanyakkan kerja. Sabda Rasulullah saw:
إِنَّ اللَّهَ كَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا؛ قِيلَ وَقَالَ، وَإِضَاعَةَ الْمَالِ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ
“Sesungguhnya Allah membenci kalian tentang tiga perkara, iaitu;
mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, menyia-nyiakan harta dan
banyak bertanya (tanpa ada keperluan).” (riwayat Muslim)
1
Hikmah Berdiam
Sebagai ibadah tanpa bersusah payah. Menjadi perhiasan tanpa berhias.
Memiliki kehebatan tanpa kerajaan. Membina benteng tanpa pagar.
Mempunyai kekayaan budi tanpa meminta maaf kepada orang. Memberi
istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal. Menutupi segala aib dan
masalah.
Antara hadis mengenai kelebihan diam diriwayatkan oleh Abu Nuaim di dalam Hilyat al-Auliya:
وَمَنْ
كَثُرَ كَلَامُهُ كَثُرُ سَقَطُهُ، وَمَنْ كَثُرَ سَقَطُهُ كَثُرَتْ
خَطَايَاهُ، وَمَنْ كَثُرَتْ خَطَايَاهُ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ
“Dan siapa yang banyak perkataannya nescaya banyaklah silapnya. Siapa
yang banyak silapnya, nescaya banyaklah salah (dosanya). Siapa yang
banyak berlaku salah, neraka lebih utama baginya.” (al-Iraqi menyebut bahawa hadis ini dhaif)
Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan
pengetahuan, bahkan merupakan akhlak yang mampu mendidik masyarakat awam
daripada terjerumus ke dalam lembah kekeliruan yang lebih parah.
Rasulullah saw pernah menyatakan kepada Abu Zar ra:
عَلَيْكَ بِطُولِ الصَّمْتِ فَإِنَّهُ مَطْرَدَةٌ لِلشَّيْطَانِ، وَعَوْنٌ لَكَ عَلَى أَمْرِ دِينِكَ
“Hendaknya engkau diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu.” (riwayat al-Baihaqi)
Semoga Allah merahmati Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra, ketika beliau berkata:
إن السابقين عن علم وقفوا، وببصر نافذ قد كفوا، وكانوا هم أقوى على البحث لو بحثوا
“Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (Salaf al-Soleh) itu
berhenti (tidak bersikap melampau) di atas dasar ilmu, mereka memiliki
penelitian yang tajam (menembus) namun adakalanya mereka menahan dirinya
(dari meneruskan sesuatu perbahasan) sekalipun mereka lebih mampu dalam
membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya.” - Bayan Fadhli Ilmi Salaf
2
Diam Juga Boleh Mengundang Fasad
Terdapat dalam sebuah hadis yang berbunyi (terjemahannya), “Barangsiapa
melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dan mencegahnya
dengan menggunakan tangannya (kuasa), sekiranya ia tidak mampu maka
hendaklah ia menggunakan mulutnya, sekiranya ia tidak mampu juga maka
hendaklah ia menggubah dengan menggunakan hatinya. Sesungguhnya mengubah
dan mencegah perbuatan mungkar dengan menggunakan hati itu adalah tanda
selemah-lemah iman.” (riwayat Muslim)
Justeru, tidak mengubah dan mencegah sesuatu kemungkaran adalah tanda
tiada iman atau hampir kepada kekufuran. Jika dilihat daripada hadis di
atas, Nabi Muhammad saw menggunakan pendekatan yang sangat berhemah
dalam mengkategorikan seseorang Muslim itu kepada tiga peringkat.
Bagaimanapun, selalu sangat disalah-tafsirkan kategori yang terakhir itu
sebagai mendiamkan diri atau tidak melakukan apa-apa usaha untuk
mengubah kemungkaran tersebut. Maka mengatakan kategori yang terakhir
dalam melunaskan kerja untuk mencegah kemungkaran sebagai “diam” adalah
suatu kesilapan, kerana diam tidak boleh dijadikan ukuran salah atau
betul.
3
Mendengar & Melaksanakan Apa yang Baik itu Lebih Utama
Lazimnya, orang yang terlalu banyak berbicara (berkata-kata) adalah
orang yang lemah keperibadiannya. Ciri-ciri orang cerdik menurut Islam
yang disebutkan al Quran adalah orang yang mendengarkan perkataan orang
lain dan melaksanakan apa yang terbaik daripada perkataan itu
(al-Zumar:18):
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Orang pandai yang suka mengambil perhatian yakni mendengar dengan baik
apa yang dikatakan oleh orang lain akan disukai. Sebahagian manusia
lebih gemar untuk perkataannya didengar, diambil peduli daripada dia
mendengar bicara orang lain. Ada orang yang mempunyai kebiasaan
berbicara dahulu, baru berfikir. Kerana itu, diam menunjukkan kekuatan
keperibadian seseorang. Kemampuan mendengar adalah kekuatan keperibadian
yang luar biasa besarnya. Kata Jaafar al-Sadiq ra:
لِسَانُ الْعَاقِلِ وَرَاءَ قَلْبِهِ، وَقَلْبُ الْأَحْمَقِ وَرَاءَ لِسَانِهِ
“Lisan orang yang berakal itu ada di belakang hatinya, dan hati orang bodoh itu ada di belakang lisannya.”
Orang yang berakal selalu mempertimbangkan terlebih dahulu apa yang akan
dilontarkan dalam bicaranya, sedang orang yang bodoh sering
memperkatakan apa sahaja yang terlintas di dalam hatinya tanpa
memikirkan akibat yang mungkin timbul daripada ucapannya itu. Sebaiknya
kita harus benar-benar yakin bahawa apa yang akan disampaikan adalah
sesuatu yang sudah difikirkan. Kurangilah perkataan-perkataan yang
muncul secara refleks. Biasakanlah diam atau merenung, maka kita akan
menjadi produktif dalam hidup. Diam bukan dalam erti kita sama sekali
tidak berbicara, melainkan diam dalam erti hanya berbicara jika ada
keperluan untuk itu. Ada mekanisme lain juga yang telah ditunjukkan di
dalam al Quran :
وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْنًا
“Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (al-Baqarah:83)
فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُواْ لَهُمْ قَوْلاً مَّعْرُوفًا
“Berilah mereka dari harta itu (kepada anak-anak yatim) dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (al-Nisa':8)
فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُواْ قَوْلاً سَدِيدًا
“Oleh itu hendaklah bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (al-Nisa':9)
أُوْلَئِكَ
الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ
وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِي أَنفُسِهِمْ قَوْلاً بَلِيغًا
“Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui
apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah dari mereka, dan
berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang
membekas dalam jiwanya.” (al-Nisa':63)
وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا
“Dan katakanlah kepada mereka (kedua ibu bapa) perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Israk:23)
فَقُل لَّهُمْ قَوْلاً مَّيْسُورًا
“Maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.” (al-Israk:28)
وَقُل
لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ
يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلإِنْسَـٰنِ عَدُوًّا
مُّبِينًا
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku; Hendaklah mereka mengucapkan
perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan
perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh
yang nyata bagi manusia.” (al-Israk:53)
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah
suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah
suara keldai.” (Luqman:19)
Al-Quran menunjukkan kepada kita tentang pilihan dalam berbicara, qaulan
makrufan, qaulan kariman, qaulan maysuran, qaulan sadidan dan qaulan
balighan, yakni pembicaraan yang disertakan perkataan-perkataan yang
baik, tepat dan membekas dalam jiwa. Justeru, mekanisme mana lagi yang
lebih baik dibandingkan dengan anjuran menguruskan sebarang perbicaraan
sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran?
No comments:
Post a Comment