Ujian
Dari Allah Buat Hambanya | Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia
juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di
celah-celah hari berwarna-warni yang di jalani dan ditelusuri, tanpa
disedari atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh pelbagai
ujian dan dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang
menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang
diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH
telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan
sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH
mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu ALLAH
memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa
sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya.
ALLAH
menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi
percayalah ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma
kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam
menghadapi ujianNya.
Hakikatnya
saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di
luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada
di kalangan manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan
kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji
apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”
Mungkin
ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau
berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan
secebis ujian. Kadangkala tanpa sedar dan niat kita juga terlanjur
marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.
Tetapi,
apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah kembali, tenyata
sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung .
Mengapa saya katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah
kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan
disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada
pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)
Sebagai
manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian
itu akan muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah
kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk
menolak ujian-ujian yang bakal menyapa itu.
Jika
direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian
dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi
manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah
pemberian Allah?
Manusia
itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia,
kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba
DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia
dari kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah
yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu
mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.
Allah
Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang
dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang
hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling
utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan
untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang
dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru,
marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala
prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita
diuji. Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca,
merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan
kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu
bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan
menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.
Pembaca yang dikasihi oleh Allah,
Jika anda saat ini sedang diuji, ingin saya sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerana ujian itu hadiah daripada Allah.
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Kenapa ujian seberat ini?
Surah Al-Baqarah ayat 286
Surah Al-Baqarah ayat 286
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ketika nikmat(ujian) Allah datang menghampiri kita. beruntunglah bagi seorang Muslim itu, jika diberi ujian ia bersabar dan jika diberi nikmat ia bersyukur
Bagaimana aku harus menghadapinya?
Surah Al-Imran ayat 200
Surah Al-Imran ayat 200
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.
Surah Al-Baqarah ayat 45
Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’,
Apa yang aku dapat daripada semua ini?
Surah At-Taubah ayat 111
Surah At-Taubah ayat 111
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka.
No comments:
Post a Comment