Wednesday, 13 April 2016

BILA IMAN TIADA DI HATI....


Kita sibuk dengan urusan dunia. Kita sibuk dengan urusan anak-anak. Kita sibuk dengan urusan perniagaan. Kita sibuk dengan urusan menambahkan harta. Kita sibuk dengan pangkat dan kuasa. Alangkah ruginya kerana kesemuanya itu akan kita tinggalkan....
Sekiranya kita mampu bertanya pada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah SWT dan jika mereka diberi peluang untuk hidup sekali lagi sudah semestinya mereka memilih tidak lagi akan bertarung bermati-matian untuk merebut dunia, kerana tujuan kita diciptakan adalah untuk menyembah Allah dan beribadat kepada Allah... tidak akan Allah ciptakan manusia sekiranya tujuan hidup untuk merebut habuan dunia.. Sebenarnya apa yang kita dapat dari habuan dunia ini telah pun ditentukan oleh Allah SWT.
Kita cemburu melihat orang lain lebih daripada kita dari segi gaji, pangkat, harta, rumah besar, kereta besar... Kenapa kita tidak pernah cemburu melihat ilmu orang lain lebih daripada kita.. kita tidak pernah cemburu melihat orang lain lebih banyak amalan daripada kita.. kita tidak pernah cemburu apabila melihat orang lain bangun di sepertiga malam...solat tahajud dan bermunajat. Kita cemburu apabila melihat orang lain menukar kereta baru yang mewah.. tetapi jarang kita cemburu apabila melihat orang lain yang boleh khatam Al'Quran sebulan dua kali... Kesemua petanda-petanda ini menunjukkan dunia akhir zaman, apabila duit, harta dan pangkat mengatasi segala-galanya.
Setiap kali menyambut hari jadi kita sibuk nak raikan sebaik mungkin, tetapi kita telah lupa dengan bertambahnya umur kita, maka kita akan dipanggil Illahi bertambah dekat. Kita patut bermuhasabah mengenai bekalan ke satu perjalanan yang jauh.. yang tidak akan kembali dan buat selama-lamanya.
Sahabat yang ku sayang.. Kerinduan bertemu Allah subhanahu wa ta’ala umpama angin semilir yang menerpa qalbu, membuatnya sejuk dengan menjauhi gemerlapnya dunia. Siapapun yang menempatkan qalbunya di sisi Rabb-nya, ia akan merasa tenang dan tenteram. Dan siapapun yang melepaskan qalbunya di antara manusia, ia akan semakin gundah gulana. Ingatlah! Kecintaan terhadap Allah tidaklah akan masuk ke dalam qalbu manusia yang mencintai dunia.

No comments:

Post a Comment