Monday, 25 April 2016

Hijrah

SAFIEY ILIAS yang saya kenali. 20 minit yang berharga.
Saya cuba mencari kunci kepada sebuah penghijrahan, seorang Mak Nyah yang lebih dikenali sebagai Safiey Ilias. Seorang jutawan kosmetik muda yang sudah memperoleh segalanya - harta, kerjaya, kecantikan, dan status yang tingggi dalam dunia keusahawanan.
Namun satu saat dia terfikir - di mana Tuhan?

Beliau seorang yang berjiwa besar. Jika tidak, mana mungkin beliau mampu menjana 1 juta pertamanya pada umurnya 19 tahun. Beliau seorang yang bersungguh. Jika tidak, mana mungkin beliau mampu membina sebuah empayar perniagaan dalam usia yang muda. Beliau seorang yang bijak. Jika tidak, mana mungkin beliau ketemu hidayah dalam dunia gelap seorang Mak Nyah.
Berbual dengan beliau, saya jumpa dua rahsia.

Penghijrahan beliau berkait rapat dengan pengorbanan seorang bapa. Unik kerana beliau lebih rapat dengan bapa. Apa sahaja yang beliau lakukan, bapa sentiasa ada. Tidak pernah mengangkat tangan atau bertingkah kata. Pada si bapa, sejahat mana pun anaknya, beliau sebagai bapa mesti sentiasa ada.
Bayangkan hati seorang bapa. Seorang anak lelakinya perlahan-lahan berubah menjadi seorang perempuan. Bapa mana yang tidak luluh hatinya bila si anak perlahan-lahan menukar gaya hidup dan pakaian.

Adakah bapa ini menghalaunya?
Tidak. Si bapa tetap ada. Sentiasa ada. Sentiasa dan terus memberi nasihat agar jadi manusia. Kalau mahu pakai baju, pakailah... tapi jangan pakai yang seksi-seksi.

Saya sejujurnya mengangkat tinggi angkat topi dengan bapa beliau. Semangat dan ketabahannya berada di tahap tertinggi. Doa adalah azimatnya. Satu masa nanti, anakku ini akan ketemu Tuhannya.
Syukur... dalam linangan air mata Safiey menyatakan - selepas penghijrahan ini, bapa beliau adalah insan paling gembira di dunia. "Saya mahu mengangkat sendiri keranda bapa sebagai seorang lelaki!"
Safiey Ilias, anda mempunyai seorang bapa yang hebat!

Kedua, saya jumpa rahsia kekuatan solat. Menurut Safiey, dia telah mencuba pelbagai cara untuk "mendekati tuhan". Dia berdoa, dia berubah, tetapi ia tetap tidak sempurna.
Beliau mula solat. Sekadar buat. Perlahan lahan. Suatu Subuh di hujung 2015, terdengarlah beliau satu azan yang mengusik. Pada subuh itulah beliau menikmati sebuah solat dengan air mata. Teresak-esak. Beliau jumpa nikmat solat. Sehingga hari ini, linangan air mata mengalir saban masa dalam solatnya. Dosa terasa berat di bahu.

Satu cerita yang buat saya tersentuh ialah setiap kali selepas sembahyang, beliau sering teresak-esak menangis. Merayu pada tuhan agar ringankan beban dosanya. "tapi bang... setakat ini, tidak pernah ada seseorang pun yang memegang bahu untuk menguatkan saya!".
Saya tersentuh. kita sering biarkan "si pendosa" itu bersendiri. Kitalah hakim dunia yang paling sombonG

Menurut Safiey, selepas beliau ketemu nikmat solat, dapatkan beliau melengkapkan hidupnya. Kembali pada sunnah bagi menampung dosa lama. Kini beliau gusar dengan hartanya dan mahu gunakan semua hartanya untuk kebaikan. Beliau mahu berdakwah. Ini tanggungjawap utamanya. Semua ini beliau ketemu dalam solat. Ini kunci utamanya.

Beliau mahu kembali dalam masyarakat. Beliau mahu membetulkan segala kesilapan. Beliau mahu membuktikan gaya hidup Islam ini adalah gaya yang terbaik.
Beliau dan semua "pendosa pada mata kita" mahu berubah. Berilah ruang.
Perbualan kami berakhir dengan satu persetujuaan - Tuhan Itu Maha Kuasa.

Jika diimbau kembali perjalanan hidup Safiey yang baru berusia 22 tahun bulan hadapan, dia sememangnya seorang yang memiliki kepintaran sejak di bangku sekolah rendah apabila meraih semua A ketika peperiksaan UPSR dan PMR.

Ketika belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (SBPIK) Safiey yang bukan datang dari keluarga senang hanya mampu melihat rakan-rakannya yang lain outing ke bandar setiap minggu atau ibu bapa mereka datang membawa makanan sedap-sedap. Namun itu tidak mematahkan semangatnya malah dia mula mencari duit poket sendiri dengan menjadi agen dropship produk kecantikan menerusi promosi di Facebook sahaja.

Kegigihannya menyaksikan dia mula memiliki pendapatan yang kian lumayan dan akhirnya mempunyai modal untuk berniaga sendiri. Bukan itu sahaja, ketika berusia 17 tahun Safiey sudah pun mempunyai simpanan sebanyak RM200,000 berkat perniagaannya semasa masih belajar dan tinggal di asrama sahaja.

Pada Jun 2013 ketika berusia 19 tahun pula, Safiey memiliki wang RM1 juta bersih pertamanya!

SAFIEY ILIAS (DAHULU)

Berdasarkan kisah hidupnya, jelas Safiey seorang yang bersungguh-sungguh dan jenis yang pandai berfikir dan merebut peluang. Maka dia berhak untuk berbangga dengan kejayaan yang diraihnya manakala orang lain pun sudah pasti mudah berasa cemburu melihat pakej ‘sempurna’ yang dimilikinya.

Namun ternyata Safiey bukan seorang yang berfikir tentang dunia sahaja apabila dia akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke jalan yang betul sebagai seorang Islam.

Perkara ini turut dikongsikan di Facebook miliknya.

Sudah tentu, keputusan yang diambilnya ini tidak mudah apatah lagi dia kini berada di puncak kesenangan dengan memiliki segala-galanya yang diingini kebanyakan manusia lain di luar sana.

Sebagai contoh, tindakan Safiey menjalani pembedahan membuang implan payudaranya semalam.

Menerusi perkongsian oleh seorang pendakwah menerusi tulisannya, Safiey atau nama sebenarnya Safiudin ada berkongsi isi hati dengannya bahawa dia nekad menempuh kesakitan pembedahan kerana terlalu rindu mahu menjadi lelaki sejati yang boleh solat berjemaah di masjid dan keluar berdakwah.

Jawapan bagi penghijrahan Safiey ini tak lain tak bukan adalah kerana rahmat Allah Taala yang menganugerahkan kepadanya hidayah untuk benar-benar nekad kembali ke pangkal jalan meskipun terpaksa berjihad dengan menempuh kesakitan dan sebagainya.

Antara cara mendapat hidayah adalah berbaik sangka (husnuzon) kepada Allah Taala. Mudah mudahan, kita juga mendapat hidayah daripadaNya dan sesudah itu dikuatkan hati agar terus istiqomah mengikut jalan yang diredai. 

No comments:

Post a Comment