Wednesday, 13 April 2016

RENCAH HIDUP..BERPISAH HIDUP ATAU BERPISAH MATI


Hakikatnya di dalam hidup kita, samada rela, terpaksa atau sengaja, ada sahaja insan atau memori yang datang dan pergi. Itulah namanya takdir Ilahi. Bagaimana indah pun suatu kenangan yang tersimpan atau bagaimana dalam jua kasihnya kita kepada seseorang, sampai suatu saat Allah akan membuatkan kita melalui situasi "Pergi" seperti yang terlirik. Benar! Persediaan awal hati untuk tabah menghadapi keadaan ini perlu diadakan walaupun kita tidak meminta ia berlaku dan tidak ingin ia berlaku.
Apa jua yang kita lalui di dalam hal yang berkaitan dengan ketentuan Allah ini kita wajib hadapinya dengan keadaan yang sederhana, yakni jika gembira, usah terlalu gembira dan jika sedih jangan terlalu derita. Benarlah sepertimana firman-Nya dalam surah Al-An'am ayat 44 yang bermaksud :-"Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu (kesenangan) buat mereka, sehingga mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka. Kami akan menariknya daripada mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa."
Mahu tidak mahu, itulah rencah hidup bagi kehidupan dunia yang hanya jelasnya sementara cuma dan kita semua adalah makhluk baharu yang dicipta Allah tidak akan kekal menongkat dunia. Berpisah 'hidup' atau berpisah 'mati', pasti ia terjadi. Walaubagaimanapun takdir yang Allah Subhanahuwataala sediakan untuk kita, Dia-lah yang Maha Mengetahui hikmah dan kebaikan di sebalik aturan-Nya tersebut. Jika usia kita panjang, "Biarkanlah kenangan tersebut berbunga di ranting usia." Ya, jadikan ia pengalaman yang mengajar kita menjadi insan sejati. Insan yang kuat dan tabah melalui masa hadapan dan InsyaAllah juga insan yang redha dan sentiasa memupuk keimanan kerana belajar memahami cinta Tuhan hingga akhir hayat diri.
Jika kenangan itu buruk, jangan jadikan ia dendam. Harumkanlah ia sebagai pengajaran yang buruk adalah untuk diperbetulkan. Manakala jika kenangan itu baik, jangan terlalu asyik. Bersyukurlah, kebaikan itu mengajar kita mengenal maksud kebaikan Allah yang mendalam. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah. Teruskan hidup. Berjuanglah sehingga nafas di hujung halkum dan pastikan kembalinya kita kepada Allah nanti adalah "Pergi" yang bersih dan diampuni Ilahi. "Pergi" yang diredhai dan pergi yang putih suci! Wallhua'lam.

No comments:

Post a Comment