Thursday, 21 April 2016

KEKUATAN ITU TIDAK AKAN DATANG KECUALI DENGAN UJIAN


Seringkali kita dengar, apabila diuji, janganlah minta untuk dikecilkan ujian, tetapi mintalah untuk mempunyai hati yang tabah. Bila ujian itu datang, bagaimana kita melihat dan menghadapinya. Adakah kita lari dari ujian itu atau pun kita hadapinya dengan penuh kekuatan dan ketabahan. Ya, hati yang tabah itu mampu diraih. Bagaimana untuk meraihnya, kita perlukan kekuatan. Dan kekuatan itu tidak akan datang kecuali dengan ujian. Kerana itulah mengapa ujian itu Allah datangkan kepada kita silih berganti.
Pernahkah anda mendengar kisah seekor monyet yang duduk di atas puncak pohon kelapa. Apabila angin taufan datang, semakin kuat cengkaman tangannya di pohon tersebut. Kemudian datang pula angin yang sepoi-sepoi bahasa, monyet tersebut terliuk lentok dengan kedamaian angin tersebut hingga tidak tersedar tangannya yang mencengkam mula melonggar dan matanya hampir tertutup kerana dihantui rasa mengantuk. Tiba-tiba. Bumm.. monyet tadi jatuh di atas tanah.
Begitulah kita dengan ujian hidup. Apabila kita berada di zon selesa, tiada rasa susah, tiada kesulitan, kita semakin dilalaikan dengan kesenangan hidup hingga akhirnya kesenangan itu membuatkan kita semakin jatuh ke lembah kebinasaan. Tetapi syukurlah tatkala Allah beri kita ujian. Ujian itu ibarat seperti angin taufan, sesekali mengejutkan kita dari kelalaian dan keasyikan hidup di dunia. Semakin kuat ujian, semakain kuat pegangan tangan kita pada janji Allah, semakin kuat kita menangis dan meminta pertolongan daripada Allah.
Sungguh, dalam ujian itu nyata ada nilai kasih dan sayang Allah. Hanya kita yang tidak memahami bagaimana bentuk cinta dan sayang Allah pada kita melalui ujian iitu. Tika ujian datang dalam hidup kita, mujahadahlah untuk bersabar. Jangan lari dari ujian itu, jangan minta dikecilkan ujian tetapi mintalah hati yang tabah untuk melaluinya. Temani ujian itu dengan sabar dan solat, adulah kepada Allah. Dia Maha Mendengar dan tidak pernah jemu untuk mendengar rintihan kita.
Hakikatnya, ujian itu untuk mendekatkan kita dengan Allah.

No comments:

Post a Comment