Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah
sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang
ada hendaklah ditutup dan jangan di ceritakkan kepada orang lain. Allah
SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya dihari
akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan
menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk
menjaga maruah diri saudara seagama.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba
menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi
auratnya ( aibnya ) di akhirat "
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Muslim (
orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak
menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga
meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya
untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya,
dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka
Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari
kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah
menutupi aibnya di hari kiamat.
(Hadis Riwayat Muslim).
Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke
atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai
orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke
hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah
mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana
barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka
aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya.
(Hadis Riwayat Tirmidzi).
Allah 'Azza wa Jalla cinta untuk menutupi aib makhluk-Nya, dan
memerintahkannya (menutupi aib orang lain ), oleh kerana itu Allah
mengharamkan tindakan mata-mata (mencari-cari) dan melarangnya, dan
Rasulullah SAW telah memberitahukan bahawa siapa saja yang menutupi aib
seseorang, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat, dan melarang
mencari-cari aib kaum muslimin dan tindakan memata-matai (mencari-cari)
mereka tentang pekerjaan yang mereka sembunyikan.
Sekarang ini sudah menjadi satu trend bahawa seorang begitu mudah untuk
menabur fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang menjadi musuhnya
samaada artis sesama artis, ahli politik sesama ahli politik, usahawan
sesama usahawan dan pemimpin pertubuhan sesama pemimpin pertubuhan yang
lain. Hari-hari dada akhbar arus perdana mendedahkan pertelingkahan ,
perbalahan, tuduh menuduh di antara kumpulan-kumpulan tertentu yang
bermusuhan saling mencari kelemahan dan kesalahan lalu mendedahkannya
tanpa menyiasat sahih atau tidaknya suatu berita itu. Trend yang biasa
dibuat adalah membuat lapuran polis, membayangkan seolah-olah apa yang
mereka lakukan adalah mempunyai bukti dan kebenaran.
Hakikat sebenarnya perbuatan mereka adalah amat bertentangan dengan
ciri-ciri akhlak Islam kerana banyak kes di dapati isu-isu yang dibawa
hanyalah propaganda kosong yang hanya menambahkan kebencian, permusuhan
dan perpecahan dikalangan umat Islam.
Di dalam Islam terdapat kaedah untuk menyelesaikan sesuatau perbezaan
pendapat iaitu dengan berbincang dan bermuzakarah secara baik dan sopan
mengikut lunas-lunas ajaran Islam.
Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian, jika kamu berbeza pendapat
tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul
(Sunnahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang
demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah
an-Nisa' ayat 59).
Jika umat Islam tidak kira mereka daripada kumpulan mana , kembali
kepada ajaran Islam sebenarnya dan menjadikan al-Quran dan sunnah
Rasulullah SAW sebagai penduan dan ikutan maka umat Islam akan bersatu
dan ukhuwah Islamiah dapat dibina dan ikatan silaturahim dapat
disambung semula.
Tidak ada untungnya seseorang mempertahankan pendapatnya yang mungkin
betul atau salah, sedangkan melahirkan perpecahan, perbalahan dan
memutuskan silaturahim adalah haram dan berdosa besar.
"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)
"Dari Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda seorang muslim
adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan
tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain
berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka".
(Hadis Riwayat Nasaie)
Marilah sama-sama kita buangkan sifat mazmumah yang bersarang di dalam
hati kita iaitu sifat suka membuat fitnah, mengumpat, mendedahkan aib ,
menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Sayangkanlah segala amal
ibadah, amal soleh dan amal kebaikan yang kita telah lakukan sejak akil
baligh hingga sekarang supaya ianya tidak terhapus begitu saja
disebabkan kita melayan suasana masyarakat yang suka buat fitnah dan
mendedahkan aib seseorang dan kita berada bersama-sama kumpulan
tersebut.
Ingatlah ketika kita berada dimahkamah keadilan Allah di hari akhirat
nanti, ketika itu tidak ada wang ringgit yang akan digunakan untuk
menebus dosa-dosa kita, yang akan kita jadikan cagaran adalah amal
ibadah dan amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia. Jika amalan
kebaikan dan pahala kita terlalu sedikit bagaimana kita nak tebus
dosa-dosa kita yang banyak dan bertambah setiap hari?
Oleh itu marilah kita banyakkan beristighfar kepada Allah SWT dan
memohon maaf kepada sesiapa saja yang kita telah dedahkan aibnya ,
mengumpat dan menaburkan fitnah. Hanya inilah saja dapat menyelamatkan
diri kita daripada menjadi muflis dihari akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment