Wednesday, 18 May 2016

Dosa Dalam Berbahasa


 1. Bahasa Melaknat
Allah berfirman di dalam Al-Quran :
“Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk” [Al Hujurat:11].

Allah melarang kita mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk kepada orang lain apatah lagi kepada anak sendiri kerana kata-kata ibu bapa merupakan doa kepada anak-anak. Jika baik ungkapan kita maka baiklah doa kita buat mereka. Namun jika kita sering mengungkapkan kata-kata yang tidak baik maka doa-doa yang tidak baik juga yang akan sampai kepada anak-anak kita.

Elakkan daripada memaki hamun, menyumpah dan mencarut kepada anak-anak. Ini kerana anak-anak akan belajar bahawa memaki hamun dan mencarut adalah sebahagian daripada percakapan dalam hidup.
 
   
 2. Bahasa Menyindir (Sarkastik)
Allah berpesan kepada kita di dalam kalamnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain….” [Al Hujurat: 11].


Berdasarkan firman Allah di atas, kita sebagai ibu bapa dilarang daripada menggunakan bahasa sindiran kepada anak-anak kita hatta dengan alasan untuk mendidik atau menyampaikan mesej. Contohnya : “Dah nak mati tunggu ko masak nasi”. Sebaiknya, gunakanlah bahasa yang baik dan mudah difahami anak.


Elakkan juga daripada membesar-besarkan sesuatu isu atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kita. Sebaiknya maafkanlah kesalahan mereka dan betulkan kesalahan mereka dengan cara yang baik. Contohnya jika anak kita memasak pada hari itu dan lauk yg dimasaknya sedikit masin.


3. Bahasa Berdusta

Bercakap bohong atau berkata dusta antara bahasa yang dilarang oleh Allah untuk kita gunakan dalam perbualan seharian apatah lagi bila berkomunikasi dengan anak-anak. Allah sebut di dalam Al-Quran : “…jauhilah perkataan dusta (qaulan zura)”. [Al Hajj:30]

Mengapa agaknya ibu bapa sering berbohong kepada anak-anak?
Ini mungkin kerana :
Untuk menakut-nakutkan anak kecil.
Kerana malas melayan.
Tidak tahu apa jawapan.
Tanpa disedari, berbohong akan menyemai bibit-bibit tidak percaya dalam diri anak-anak kepada ibu bapa. Natijahnya, anak-anak akan menjadi penakut, malas mencuba serta tiada keyakinan diri. Lebih malang lagi, apabila membesar, anak-anak pula akan berbohong kepada kedua ibu bapanya.
 

 4. Bahasa Menempelak

Bahasa menempelak adalah salah satu bahasa yang sewajarnya dielakkan oleh kedua ibu bapa untuk digunakan dalam berkomunikasi dengan anak-anak. Contoh-contoh bahasa menempelak adalah :
“Padan muka kau! Aku dah bagitau dah”. “Kamu degil sangat”.
“Kamu ingat kamu pandai sangat”.
"Dah baik2 dapat laki, mintak cerai apasal?"
Selain itu, perbuatan ibu bapa yang suka menyindir perilaku anak-anak juga akan memberikan impak yang negatif kepada perilaku anak-anak. Contoh bahasa menyindir adalah : "Cantik betul markah kau, merah semuanya".

Ada juga di kalangan ibu bapa yang suka berkomunikasi dengan anak-anak menggunakan bahasa terbalik seperti : "Pergilah panjat lagi pokok tu, buatlah lagi". Niatnya untuk melarang anak-anak dari melakukan sesuatu perkara dengan harapan anak-anak akan faham. Tetapi malangnya anak-anak sebenarnya tidak faham ketiga-tiga bahasa tersebut (menempelak, menyindir dan bercakap bahasa terbalik). Akhirnya anak-anak membesar dengan merasa keliru yang mana satukah perbuatannya yang betul dan disenangi oleh kedua ibu bapanya.Lebih malang lagi apabila ibu bapa tidak pernah memuji perbuatan baik anak-anak malah sering menempelak mereka apabila melakukan kesalahan.


 Ada di kalangan ibu bapa sering mengkritik anak-anak dengan mencari salah mereka. Membebel dan berleter menjadi kebiasaan para ibu apabila anak-anak melakukan kesalahan. Ada sahaja perbalahan atau ibu bapa tidak bersetuju dengan pilihan anak-anak walaupun pada akhirnya ada sebahagian ibu atau bapa akan tetap mengikut kehendak anak-anak mereka.

Akibatnya, anak-anak merasa ibu bapa tidak percaya kepada mereka. Akhirnya, menyebabkan anak-anak lebih cenderung melakukan sesuatu di luar batasan semata-mata untuk melihat reaksi ibu bapa.


6. Bahasa Mengungkit

Ada di kalangan ibu bapa yang sering mengungkit-ungkit pemberiannya ataupun jasanya kepada anak-anak apabila mereka marah. Allah melarang perbuatan ini di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan
penerima)”. [Al Baqarah: 264]

Kata-kata seperti :
"Sedarlah diri sikit".
"Siapa yang buat semua ini?". "Siapa yang beli semua ini?".
"Kalau ibu tak sekolahkan kamu, tak merasa kamu dapat gaji besar".
"Kalau ayah tak kerja cari duit, kebulur kamu semua".
Kata-kata seperti ini tidak akan menimbulkan kasih-sayang anak-anak kepada ibu bapa. Malah mungkin akan mengguris perasaan mereka. Lebih malang lagi apabila segala budi kita kepada anak-anak tidak dipandang Allah kerana kita menyakiti hati mereka. Bayangkanlah, apakah bekal kita jika segalanya sia-sia kerana dosa kita mengungkit pemberian kita kepada anak-anak.
 
 7. Bahasa Membanding-bandingkan

Perbuatan membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain atau membandingkan mereka dengan adik beradik yang lain hanya akan membuatkan anak-anak sering berkecil hati dan mereka tidak berupaya mengenali potensi diri mereka sendiri. Sikap ibu bapa yang suka membanding-bandingkan, akan membuatkan anak-anak menjadi mudah putus asa, kurang keyakinan diri dan enggan mencuba kerana takut gagal.
Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap anak adalah anugerah Allah yang dikurniakan rezeki masing2. Menjadi tanggungjawab bagi kedua ibu bapa untuk menggilap potensi diri anak-anak dengan meneroka kemampuan mereka samada dalam bidang pelajaran, sukan, seni atau kemahiran tertentu.


 
8. Bahasa Mengungut

Menjadi ibu bapa perlu banyak bersabar dalam mendidik amak-anak. Elakkan menggunakan bahasa yang menekankan arahan membuta tuli dengan akibat yang sangat buruk atau tidak munasabah bertujuan mendapatkan kepatuhan.
Terkadang kerana terlalu ingin anak-anak segera berbuat apa yang kita inginkan, kita cenderung untuk bercakap bohong dengan menyatakan alasan yang tidak logik seperti :
“Kalau tak dapat A, tak boleh ikut bercuti”.
“Kalau tak dengar cakap ayah, keluar dari rumah ni.”
“Kalau nakal2 tak dengar cakap mama, biar mama mati.”
Elakkan daripada meletakkan 'expectation' yang keterlaluan kepada anak tanpa memahami kesukaran yang mereka hadapi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan anak berada dalam situasi serba salah.

No comments:

Post a Comment