Sunday, 22 May 2016

TIGA KUNCI UNTUK MENGGAPAI HIDAYAH ALLAH


Sukar untuk beristiqomah dengan amalan-amalan yang disukai Allah, rasa malas hendak solat apa lagi solat sunat dan sebagainya. Saya sering menangis dan memohon pertolongan dengan Allah, saya memohon kepada Allah dengan sentiasa berkata kepada Allah, Ya Allah Ya Alim, Ya Hakim, Ya Roshid ajarkan aku Ya Allah mengenaliMu, ajarkan aku mengenali RasulMu, ajarkan aku memahami Islam dan seterusnya dan Allah yang Maha Mendengar doa-doa hambaNya dan Maha memperkenankan doa hambaNya mengajarkan saya bahawa hanya Allah yang dapat menjadikan saya seorang yang rajin berbadah, hanya Allah yang dapat mengubah hati saya, hanya Allah yang dapat mengubah attitude saya, hanya Allah yang dapat menjadikan saya seorang yang sabar . Ya Hanya Allah! Itulah yang dikatakan hidayah dari Allah.
Tiga (3) kunci yang diajarkan kepada saya di dalam mencari hidayah Allah ini:
1) Ikhlas kepada Allah - sukar sebenarnya ingin membicarakan tentang Ikhlas. Tapi secara ringkasnya disini, saya diajarkan agar apa saja yang ingin saya lakukan perlu saya bulatkan keseluruhannya untuk Allah dan tidak ada untuk yang lain walaupun untuk diri, anak dan keluarga saya. Kita adalah hamba Allah dan tidak ada tujuan lain di dunia ini hanya untuk menjadi hamba Allah. Apa saja peranan yang Allah sudah tetapkan untuk kita, ibu, isteri, ahli perniagaan padalah sebagai jalan untuk kita menjadi hamba dan khalifah Allah. Justeru apa saja yang ingin kita lakukan tak payah difikirkan ini adalah untuk anakku kerana sebagai seorang ibu aku perlu mencari rezeki untuk anakku bukan kerana apa, saya khuatiri niat untuk yang lainnya akan melebihi niat untuk Allah, cinta kepada yang lainnya akan melebihi cinta kepada Allah. Segala apa yang ingin kita lakukan teruskan saja kerana Allah dan padamkan tujuan-tujuan untuk diri sendiri, anak dan sebagainya. InsyaAllah apabila kita lakukan hanya untuk Allah, Allah akan uruskan diri kita, anak kita dan keluarga kita. Apabila kita telah dapat melakukan apa saja di dunia ini hanya untuk Allah, insyaAllah kita diberi hidayah oleh Allah dengan bimbinganNya. Kita akan pelik melihat diri kita mula berubah tanpa rasa penat dan lelah. Kita mula mencintai amal-amal yang mendekatkan diri dengan Allah tanpa dipaksa.
2) Sabar - Sabar adalah salah satu kuncinya untuk hidayah Allah turun ke hati kita. Apabila kita telah bulatkan hati untuk serahkan seluruh kehidupan kita untuk Allah, kita akan berhadapan dengan berbagai ujian dari luar dan dari dalam diri kita sendiri. Saya diajarkan oleh Allah untuk bersabar dan kuatkan kesabaran di dalam menuju Allah. Saya dapati amatlah sukar untuk bersabar samada bersabar dalam beramal mahupun bersabar di dalam menghadapi masalah di dalam kehidupan. Maka saya mohon doa kepada Allah agar memberi saya kekuatan untuk bersabar dan kemudian saya dapati saya dapat bersabar dengan mudah. Itulah hebatnya pertolongan Allah. Saya lihat sabar ini dapat melembutkan hati. Cuba suatu hari apabila berlaku sesuatu yang menimbulkan kemarahan kita, maka kita sabar dan maafkan saja. Apabila kita bersabar, hati kita menjadi lembut dan bersih, fahamlah saya ketika itu bahawa hidayah Allah itu suci dan bersih dan ianya insyaAllah mudah turun ke hati yang telah disucikan atau dibersihkan.
3) Mengawal Nafsu - Ini adalah kunci ketiga yang dijarkan kepada saya. Dalam beristiqamah di jalan Allah kita hati kita akan sentiasa berbolak balik bukan? Kadang-kadang kita rajin beribadah dan kadang-kadang kita malas. Kadang-kadang kita sangat menjaga lisan tapi kadang-kadang kita marah dan keluarlah semua 'mangkuk ayun' dari mulut kita. Kadang-kadang kita bersangka baik tapi kadang-kadang mudah buruk sangka kat suami kita, itulah nafsu. Jiwa kita yang dialiri ruh Allah sentiasa ingin kembali pulang kepada Allah, suka mendekatkan diri kepada Allah tetapi nafsu kepada dunia sering membawa kita ke arah yang bertentangan.
Membulatkan hati untuk menyerahkan hidup kepada Allah dan hanya kerana Allah bukan sekadar kata-kata di lidah dan semangat di hati, ianya menuntut kita untuk membebaskan diri dan hati kita dari belengu dunia yang menipu kita ini. Selagi dunia ini masih bertahta di hati kita, sukar kita untuk meneruskan perjalanan ruhani kita menuju pulang kepada Allah dengan ketenangan jiwa yang hakiki. Bagaimana cinta kepada Allah dapat tumbuh subur di hati kita apabila ianya penuh dengan cinta kepada dunia?
Saya sering kebingungan apabila berhadapan dengan masalah melepaskan diri dari ikatan dunia ini. Tapi satu hari alhamdulillah saya diajarkan bahawa untuk membebaskan diri saya dari ikatan dunia ini saya perlulah mengawal nafsu saya yang mengajak saya kepada perkara-perkara yang melalaikan saya dari mengingati Allah. Nah bagaimana caranya untuk mengawal nafsu? Sudah ada satu latihan yang Allah sediakan yang akan dapat membantu kita mengawal nafsu dan melepaskan ikatan dunia dari hati kita.? Itulah puasa sunat Isnin dan Khamis, InsyaAllah kita akan melihat perubahan berlaku pada diri kita, Islam dan segala amalan mendekatkan diri dengan Allah akan menjadi mudah

No comments:

Post a Comment