Sunday, 29 May 2016

JADIKAN SOLAT SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI DENGAN ALLAH


Solat adalah satu komunikasi yang sangat baik antara Allah dan manusia. Ia menjadi sebahagian pengikat antara hamba dan makhluk. Bahkan dalam setiap urusan disuruh untuk kita berurusan dahulu dengan Allah, kemudian barulah dengan manusia yang lain. Sekiranya penghubung komunikasi tersebut hanya sekadar acuh tak acuh, mana mungkin perisai kemungkaran itu boleh dihasilkan.
Sebab itu Nabi Muhammad SAW dalam setiap urusan kehidupan akhirat malah urusan dunia sentiasa menyuruh umatnya mendahului dengan solat dua rakaat. Ini dapat dilihat dalam kisah solat istikharah yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah maksudnya : Adalah Rasulullah SAW , mengajar kami melakukan istikharah (memohon petunjuk bagi mendapat pilihan yang tepat) pada segala urusan atau pekerjaan. Baginda bersabda apabila seseorang itu ada cita-cita mengenai satu-satu urusan, pekerjaan , hendaklah ia dirikan sembahyang dua rakaat bukan sembahyang fardhu dan kemudian berdoa. ( riwayat al-Jamaah)

Malah setiap kali menghadapi ujian, cabaran mahupun kesulitan dalam hidup Baginda sepanjang menyebarkan ajaran Islam, Baginda akan mengambil waktu untuk melakukan solat terlebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah SWT dan memohon ketenangan jiwa untuk melaksanakan misi Islam. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud :“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada ALLAh) dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAh beserta dengan orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah : 143)
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka.” (Al-Ma’arij:19-23)
Benarlah firman Allah di dalam Surah al-Mukminun ayat pertama dan kedua, “Sesungguhnya berjayalah orang mukmin, iaitu mereka pada solat yang khusyu’ pada solat mereka”. Makin erat hubungan hati manusia dengan pencipta makin berjayalah seseorang itu di dunia dan di akhirat.
Setiap perbuatan menggambarkan bahawa proses mengingati Allah itu adalah sebahagian dari kekuatuan pengawalan nafsu dari terus melakukan perbuatan mungkar. Jelas disini, bukti menunjukkan bahawa solatlah sebahagian dari cara yang paling berkesan dalam menghubungkan hati manusia untuk mengingati Allah SWT. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud :” Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku.” (Surah Toha : 14)

No comments:

Post a Comment