Thursday, 12 May 2016

ORANG ISTIQOMAH TAHAJJUD... SEBENARNYA ORANG YG ALLAH PILIH

Rohana Saad

Orang yang istiqomah melakukan Tahajjud ni sebenarnya orang yang Allah pilih. Jadi, yang terkandas ni, Allah tak pilih ke ? Bukan.....bukan macam tu...Untuk mengerjakan solat ini, perlu ada "usaha" sendiri untuk menjadi pilihan Allah. Satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t ialah melalui Solat Tahajjud . Tetapi satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk Solat Tahajjud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan. Jawapannya kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang makhluk yang mengaku bertuhankan Allah.
Firman Allah s.w.t bermaksud: “Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.’ (Surah Al-Israk: Ayat 79)
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya Solat Tahajjud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, namun bagi mereka yang biasa, ia menjadi suatu kenikmatan pula.
Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan Tahajjud. Di waktu inilah - iaitu sepertiga malam, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud)
Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan yang dilarang. Solat Tahajjud satu suruhan Allah dan oleh itu Allah menyayangi mereka yang mengerjakan solat istimewa ini. Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan Tahajud di tengah malam.

No comments:

Post a Comment