Tuesday, 19 January 2016

Bangga bila dihina, kecewa bila dipuji

Hinaan dan pujian adalah lumrah dalam kehidupan ini. Bahkan ia sering menjadi makanan harian bergantung kepada kehebatan, kedudukan, pangkat mahupun harta kekayaan seseorang. Orang yang berpengaruh sering dipuji dan dijulang sehingga apa yang dikatakan oleh mereka dijadikan pegangan dan diambil serius walaupun kadang-kadang jelas apa yang dikatakan itu salah. Pujian yang berlebihan akan berubah menjadi ampu, apalagi jika dilakukan dengan niat tersembunyi.

Sesetengah kita berbangga bila dipuji dan berasa diri mereka hebat. Mereka rasakan penghargaan yang diberikan oleh manusia samada pingat, pangkat dan gelaran adalah kerana kehebatan dan kecerdasan mereka. Jika itu yang kita fikirkan, sebenarnya kita telah tersasar jauh dari hal yang sebenar. Sebenarnya penghargaan manusia kepada kita itu bukanlah kerana jawatan kita, atau kehebatan kita mahupun kecerdasan kita tetapi satu-satunya yang membuatkan diri kita dihargai oleh manusia lain adalah kerana ALLAH MASIH MENUTUP AIB KITA.

DEMI ALLAH, jika Allah membuka segala pintu KEAIBAN DAN KEBURUKAN KITA, ketika itu tiada sesiapa yang mahu pedulikan kita, bahkan kewujudan kita di dunia ini tidak disedari. Kita juga pasti akan dihina dan dipandang serong oleh masyarakat. Oleh itu, jangan terlalu berbangga dengan pujian dan penghargaan manusia, sebaliknya bersyukurlah kepada Allah kerana masih menutup keaiban dan keburukan kita.

Kita akan berasa sakit hati dan kecewa jika dihina. Amarah kesan dari penghinaan itu kadang kala menimbulkan pertelingkahan dan permusuhan. Barangkali berasa diri sangat mulia sehingga sangat benci kepada penghinaan. Usah dikecewakan dengan hinaan kerana penghinaan orang kepada kita masih lebih bagus berbanding dengan kejelikan kita.  Penghinaan orang itu sebenarnya masih ringan berbanding yang sebenarnya. Oleh itu jangan kita terlalu tergugat dengan kejian dan hinaan orang.

Pujian juga satu ujian, jangan terlalu bangga. Seharusnya kita tidak tergugat dengan kejian orang, dan tidak terpengaruh dengan pujian orang.

No comments:

Post a Comment