DIAM dan SABAR.
Sememangnya susah dan sukar untuk kita lakukan apabila kita dihina,
diumpat, dikeji, difitnah atau dimalukan lebih-lebih lagi di khalayak
ramai, di pejabat atau dalam masyarakat. Namun, itulah tindakan yang
terbaik bagi kita.
Apabila kita menjawab balik hinaan yang dilontarkan pasti bukan kita
yang bercakap tapi yang "bertanduk dua" yang sedang menguasai akal
fikiran kita pada masa itu. Jadi, seeloknya kita diam sejenak. Istighfar
di dalam hati dan ingatkan diri kita supaya bersabar menghadapi hinaan
yang dilontarkan.
Dalam situasi apabila kita terasa diri kita sangat lemah umpama anak
ikan yang dikelilingi oleh jerung-jerung kelaparan, kita tidak tahu apa
yang harus kita lakukan. Antara panduan dalam menghadapi keadaan apabila
kita dihina ialah :
Orang yang menghina kita dengan menggunakan perkataan yang teruk
(contohnya bengang, bodoh, gedik dan sebagainya) sebenarnya sedang
mendoakan keburukan itu untuk dirinya, suami atau isteri mereka, ahli
keluarga, adik beradik dan lebih parah lagi sebenarnya mereka mendoakan
untuk anak-anak mereka. Nauzubillah.....
Sebenarnya cacian dan hinaan yang dilemparkan itu adalah RAHMAT daripada
ALLAH. Kenapa? Sebab setiap hinaan yang dilontarkan kepada kita adalah
penghapus bagi setiap dosa-dosa kita semalam. Lebih beruntung lagi, kita
akan dapat banyak pahala percuma. (Tapi dengan syarat kita kena sabar
dengan apa yang berlaku).
Ingatlah bahawa ada HIKMAH di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang
kita hadapi. Sebenarnya Allah hendakkan hamba-Nya kembali kepada-Nya.
Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita semakin jauh, lalai dan
lupa kepada-Nya.
Apabila kita difitnah, kita tidak akan dapat tidur malam lantaran
memikirkan tentang fitnah yang dilontarkan kepada kita. Maka, kita
dengan sendirinya akan bangun bertahajjud setiap malam mohon kepada
Allah agar diberi ketenangan, kemaafan dan keampunan dari-Nya sepanjang
hidup ini. Kesan daripada itu (sentiasa bertahajjud selalu), hati akan
menjadi semakin tenang dan bahagia walaupun dikelilingi orang yang
sentiasa mencari salah kita dan orang yang tidak mahu memandang wajah
kita.
HIKMAH dan REZEKI yang melimpah ruah menanti kita di sebalik ujian
tersebut. Contohnya Allah permudahkan segala urusan kita. Allah
pertemukan kita dengan rakan-rakan yang mulia hatinya, rakan-rakan yang
boleh membantu kita menjana ekonomi kita dengan lebih mantap, pasangan
yang memahami dan menyayangi kita dengan sepenuh hatinya, anak-anak yang
baik, keluarga yang memahami dan pelbagai lagi.
Kita juga akan menemui dan juga dapat menilai siapa sahabat kita yang
sebenar dan siapa musuh kita. Cara dan gaya hidup kita pun mungkin akan
berubah ke arah lebih baik dan lebih bermotivasi. Mungkin sebelum ini
kita susah hendak membaca buku-buku yang bermanfaat. Mungkin kita juga
berpeluang mengenali tokoh-tokoh motivasi yang hebat dan terkenal di
seluruh dunia. (Contoh : Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, Imam Ghazali dan
lain-lain). Selain itu, kita juga akan mampu untuk menjadikan diri kita
insan yang sangat kuat, tabah, sabar dan mengubah seluruh pemikiran dan
idea kita selama ini.
Pendek kata, apa yang berlaku pada kita walaupun buruk pada pandangan
manusia, namun sebaliknya pada pandangan Allah. Fikirkanlah bahawa semua
yang berlaku adalah RAHMAT ALLAH. InsyaAllah hidup kita lebih tenang,
bahagia dan sangat matang. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment