Alhamdulillahi robbil ‘alamin, selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad S.a.w, amma ba’d.
Sabda
Nabi Muhammad S.a.w, Ertinya : “Sesungguhnya seorang mukmin tercipta
dalam keadaan Mufattan (penuh cubaan), Tawwab (senang bertaubat), dan
Nassaa’ (suka lupa), (tetapi) apabila diingatkan ia segera ingat”.
(Silsilah Hadits Shahih No. 2276).
Manusia tidak akan terlepas dari ujian
dan cubaan di muka bumi ini. Ada yang diuji dengan ujian yang ringan
dan ada yang diuji dengan ujian yang berat. Ada yang sabar menempuh
ujian dan ada yang gagal mengawal emosinya lantas kecundang di dalam
ujian tersebut. Lain manusia lain bentuk dan kategori ujiannya. Ada
yang berat di mata seseorang itu tetapi ringan pula di mata orang lain,
dan begitulah sebaliknya terpulang pada penerimaan dan tahap pemikiran
masing-masing. Ini kerana manusia mempunyai pemikiran yang kompleks
dan tidak sama 100% antara satu sama lain. Sedikit sebanyak akan
berbeza juga di mana-mana.
Firman Allah yang bermaksud;
“Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia
mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat
siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” Surah AlBaqarah : Ayat 286)
Ujian yang
kita terima bergantung kepada tahap pemikiran dan keupayaan kita. Allah
tidak membebankan kita dengan perkara-perkara di luar kemampuan kita
jika kita sertai dengan keimanan yang jitu kepadaNya. Iman yang lemah
boleh menyebabkan ujian yang ringan pun terasa berat. Keyakinan yang
jitu kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan
terserlahlah kesabaran yang tinggi terhadap segala ujianNya insyaAllah.
Ingatlah bahawa seorang mukmin itu tidak terlepas dari ujian dan
cubaan, semakin tinggi iman kita maka semakin kuat kita akan diuji. Dan
manusia yang paling tinggi dan kuat ujiannya adalah para nabi dan Nabi
Muhammad S.a.w adalah yang paling tinggi diuji. Oleh kerana itulah kita
sebagai umat Islam dianjurkan agar sentiasa berdoa agar kita menerima
ujian setakat yang termampu oleh kita.
Nabi sejak
dari kecil dijaga dari melakukan dosa, dipelihara oleh Allah dari
bermain-main seperti kanak-kanak lain, mempunyai sifat amanah yang
tiada tolok bandingnya, dan segala sifat yang baik ada pada nabi.
Mahupun baginda tiada dosa, baginda masih tetap diuji dengan tahap
ujian tertinggi. Sejak dari kecil nabi diuji dengan kematian
orang-orang yang baginda sayang, dari emaknya, pak saudaranya, datuknya
hinggalah ke zaman baginda sudah dewasa dengan kematian anak-anaknya
yang masih kecil belaka dan diikuti dengan kematian isteri tercintanya
Khadijah dan sebagainya. Ujian-ujian yang baginda terima semasa
menyebarkan risalah Islam pun dasyat, dengan tentangan, hinaan,
serangan-serangan dari orang-orang yang kufur dan sebagainya. Inilah
pengajaran yang dapat kita ambil untuk semakin sabar dalam menghadapi
ujian. Nabi yang tidak melakukan dosa walau sedikit pun diuji dengan
ujian berat, apatah lagi kita yang selalu melakukan dosa sama ada kita
sedar atau tidak, yang kalau dikumpul-kumpulkan ntah tinggi mana dah
dosa kita ni. Jika kita muhasabah diri kita ini, amat patutlah kita
dibalas dengan diberi ujian-ujian yang berat kerana kita pun sudah
mendapat terlalu banyak nikmat dari Allah S.w.t. Dan jika kita yakin
begitu, insyaAllah kita akan dapat sabar menempuh ujian dari Allah.
“Sayangkan
anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan” , pepatah
ini boleh kita guna pakai untuk mengetahui betapa Allah sayang kepada
hamba-hambaNya yang beriman padaNya. Untuk meningkatkan lagi keimanan
pada Dia, seorang mukmin itu akan diberi kesusahan sama ada kesusahan
dari segi mental mahupun fizikal. Dengan kesusahan itu lah manusia itu
akan dapat merasa bahawa diri ini terlalu lemah dan perlu bergantung
hanya pada Allah zat yang Maha Berkuasa. Jika manusia itu sentiasa
dibuai dengan kemewahan dan tidak merasa kesusahan, nescaya manusia itu
tidak akan ada sifat kasihan belas, memahami keadaaan orang-orang yang
susah, sayang-menyayang antara satu sama lain, berusaha untuk
menyelesaikan masalah orang, merasa tidak perlu bergantung pada Allah
dan sebagainya. Hanya orang yang pernah melalui kesusahan yang faham
erti kesusahan. Hanya orang yang lemah merasai erti kelemahan.
Nabi ada
menganjurkan agar umatnya bergaul dengan orang-orang miskin dan
orang-orang susah. Dia sendiri pun biasa bergaul dengan orang-orang
miskin dan susah walaupun dia seorang nabi yang dipandang mulia dan
seorang pemerintah yang agung. Bergaul dengan orang-orang miskin dan
susah akan membuatkan kita merasa betapa kita sudah mendapat banyak
nikmat, memahami hati orang-orang miskin, tidak terlalu mengejar dunia,
tidak hasad dengki dengan orang lain kerana sentiasa merasa diri ini
cukup dan sebagainya. Hanya dengan kita melihat ke bawah barulah kita
dapat merasa ketenangan yang sebenar. Kerana jika kita hanya bergaul
dengan orang-orang kaya, mewah dan berpangkat, boleh menjadikan kita
merasa iri hati, hasad dengki, ingin mengejar cita-cita menjadi kaya,
hingga menyebabkan tiada ketenangan dalam diri. Ini bukanlah bermakna
kita tidak boleh berkawan langsung dengan orang-orang kaya, tetapi
jangan semata-mata berkawan dengan orang kaya. Perbanyakkanlah
pergaulan dengan orang-orang miskin dan susah, insyaAllah kita akan
merasa serba cukup (qana’ah).
Manusia
mendapat kesusahan dan kemiskinan di dunia bukanlah bermakna Allah
tidak sayang pada manusia itu. Semua itu adalah ujian Allah untuk
menguji keimanan manusia. Maksud hadits, “Sesungguhnya makhluk yang
sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia
yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka
dengan kefakiran dan kemiskinan.” (Riwayat Abdullah bin Umar).
Nabi
Sulaiman a.s pun yang walaupun dianugerahkan kepadanya sebuah kerajaan
yang amat besar dan harta melimpah ruah, tetapi dia hanya berlagak
sebagai seorang miskin. Rakyat-rakyatnya diberi makan makanan yang
enak-enak tetapi dia hanya makan roti kering sentiasa, masyaAllah. Itu
lah contoh yang amat bagus yang perlu diikut oleh seorang yang bergelar
pemimpin. Bukan seperti manusia pada hari ini yang berebut-rebut untuk
menjadi pemimpin, sedangkan tanggungjawab seorang pemimpin sangatlah
berat untuk dipertanggungkan di akhirat nanti. Para sahabat nabi dahulu
takut dan berebut-rebut untuk tidak menjadi pemimpin, tetapi manusia
zaman sekarang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin.
Adalah Nabi
Sulaiman bin Daud a.s apa bila di pagi hari, ia memerhatikan muka
orang-orang kaya dan orang-orang berpangkat. Kemudian dia datang kepada
orang-orang miskin, lalu duduk bersama mereka dan mengatakan, “orang
miskin bersama orang-orang miskin”. (Ihya’ Ulumiddin)
Nabi Isa a.s
adalah satu contoh manusia yang paling zuhud pada dunia, begitulah
pada Saidina Umar alKhattab r.a yang hanya berpakaian yang bertampung
tetapi bersih walaupun dia menjadi seorang pemerintah. Tiada apa untuk
dilagakkan di dunia ini kerana manusia hanyalah sebatang tubuh yang
sentiasa membawa najis. Kenapa manusia sentiasa membawa najis? Kerana
di dalam tubuh manusia ada mengandungi najis yang sentiasa perlu
dibuang. Tengoklah di rumah-rumah kita, rumah siapa yang tidak
mempunyai tandas? Sehinggakan istana raja yang begitu indah pun
mempunyai tandas. Sebab itulah Allah dah berfirman yang bermaksud “Dan
tidaklah kehidupan di dunia itu melainkan kesenangan yang menipu”. Jika
kita sudah yakin bahawa kesenangan hidup di dunia ini hanya satu tipu
daya, maka insyaAllah hati kita akan bertambah cekal dan sabar untuk
menghadapi apa-apa musibah yang bakal mendatang. Setiap penyakit yang
kita terima itu adalah penghapus dosa, setiap ujian yang kita terima
adalah penghapus dosa di samping Allah mahu mengangkat darjat kita pada
pandangan penduduk langit dan Allah sudah menyediakan kehidupan yang
bahagia yang kekal abadi untuk kita di akhirat nanti. Itulah syurga
Allah yang hanya disediakan bagi orang-orang yang disayangi oleh Allah.
Oleh itu sama-sama lah kita bersabar dalam menempuh apa sahaja ujian
dari Allah. “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”.
Sudah
menjadi tabiat manusia yang lemah imannya, jika sekiranya dia diberikan
kesenangan, dia merasakan yang Allah telah memuliakan dia di dunia
ini, manakala jika dia diberikan kesusahan dan kesakitan, dia merasakan
bahawa Allah telah menghinanya dan wujud rasa tidak bersyukur di hati
mereka, na’uzubillah.
Firman Allah
yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia
dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata:
“Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu
membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak
yatim. dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan
kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan
yang bathil), dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang
berlebihan.” Surah Al Fajr : Ayat 15-20.
Sama-samalah
kita menganggap bahawa ujian dan cubaan dari Allah adalah bekal
tambahan bagi kita sebagai persediaan untuk menuju ke negeri abadi
nanti. Dan dengan ujian dapat mengajar kita sifat ingin sentiasa
bertaubat dan kembali pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Jika kita sentiasa bertaubat maka akan terzahir lah sifat
Allah Al Ghaffur (Yang Maha Pengampun). Jika kita tidak istighfar dan
bertaubat maka tiada apa dan sebab untuk diampunkan dosa-dosa kita yang
bertimbun banyaknya itu. Sabda nabi yang bermaksud, “Setiap anak Adam
itu bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang-orang
yang bertaubat”.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment