Kehidupan seharian yang sibuk dan
permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah
sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama yang perlu diselesaikan.
Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran
makin berserabut. Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu
mempunyai pandangan yang jelas dalam membezakan perkara yang penting
dengan perkara yang kurang penting.
Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran anda.
1. Tarik Nafas.
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di
waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan
senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik
ini untuk mula mengosongkan fikiran anda.
2. Ambil Wudhuk.
Jika anda seorang yang beragama Islam,
mengambil wudhuk boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah
manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh
mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi
tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.
3. Tulis.
Ada banyak perkara yang bermain di dalam
fikiran anda. Anda perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang anda
fikirkan untuk membolehkan minda mengurus perkara-perkara ini. Cara yang
paling mudah adalah dengan menulis satu-persatu apa yang anda sedang
fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori perkara-perkara ini
dahulu, teruskan sahaja menulis.
4. Kenal pasti Yang Utama.
Setelah anda rasa puas dengan apa yang
anda tulis, anda kini perlu kenalpasti yang mana yang paling utama.
Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk
membantu anda dalam proses ini. Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan
perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup anda dan apa yang paling
penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya? cinta?
5. Buang Yang Tidak Penting.
Pangkah atau padamkan perkara-perkara
yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan
boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?”
atau “Osama hidup lagi kah?”.
Anda akan dapat lihat yang kebanyakan
perkara yang bermain di fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara
yang tidak relevan dan hanya membuatkan anda kurang produktif dalam
menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting.
Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak.
6. Cukup Rehat & Tidur.
Dengan memejamkan mata, atau memandang
jauh ke arah kehijauan alam akan dapat memberi anda perasaan yang
tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat
yang secukupnya. Sebab itu minda anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk
seketika di waktu rehat anda, atau keluar ambil angin dalam keadaan
yang selesa dan positif.
7. Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi.
Akhbar harian kita saban hari penuh
dengan berita-berita yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana
dan lain-lain boleh memberi tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda
mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini di waktu anda bersarapan,
anda akan bermula hari anda dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi
sahaja fikiran anda sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk
membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan
membuatkan fikiran anda menerawang jauh tentang perkara-perkara yang
cuba disampaikan dalam rancangan yang anda tonton. Fokus anda kepada
perkara yang lebih penting akan terjejas kerana anda mengizinkan
info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda anda. Kurangkan
menonton TV.
8. Kembali Kepada Alam.
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan
sesak, kita semua bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan
kehidupan harian semakin laju. Mengembalikan diri kepada alam
semulajadi akan dapat melambatkan waktu dan membolehkan anda hidup dalam
waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu atau waktu hadapan, di mana
anda terkejar-kejar dengan impian demi impian dan dilambatkan pula
dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa yang sudah
pun berlaku.
Bawa keluarga anda mandi air terjun atau
pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi
anda. Bila waktu bergerak perlahan, anda akan dapat memberi fokus.
9. Lepaskan.
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa
tidak puas tentang apa yang telah anda lakukan? Rasa marah? Berdendam?
Tertekan? Cara yang paling mudah untuk mengosongkan fikiran yang
berserabut adalah dengan mengalah dan melepaskan. Kita perlu menjadi
seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam mengawal perasaan untuk
membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun perasaan-perasaan ini adalah
semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak menguntungkan.
Fikirkanlah.
10. Kemas Ruang Anda.
Tempat kerja atau kediaman anda perlu
sentiasa berada dalam keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat,
dan melihat keadaan yang tidak kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi
minda anda. Kita cuma tidak sedar akan hakikat ini. Ambillah tindakan
dan inisiatif untuk mengemas dan anda pasti akan mendapat tenaga yang
baru.
11. Berkongsi Masalah.
Jangan simpan permasalahan anda. Jika
anda mempunyai kekasih atau seseorang yang penting dalam hidup anda,
berkongsilah masalah anda dengan mereka. Mendengar masalah orang lain
juga dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda sendiri.
Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu yang lebih baik sebagai
jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah dengan hati dan minda
yang terbuka.
12. Sedikit Lagi.
Ingat lagi perkara-perkara yang anda
tuliskan dalam langkah ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari
perkara-perkara ini.
13. Buat.
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus
berfikir. Buat perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang
lama terlebih dahulu. Jangan bertangguh!
No comments:
Post a Comment