Dulu, akak pernah mencaci Linda. Akak
pernah carutkan Linda. Akak hampir melempang Linda bila mendapat tahu
yang Abang Man bermain kayu tiga.
Bila akak dapat tahu hubungan Linda dengan Abang, Abang terus terang
berhajat ingin mengahwini Linda dan hampir bersedia untuk bersemuka
dengan akak pada masa itu.
Luluh hati, rasa dipijak-pijak. Akak tak boleh menerima kenyataan Abang
mencintai orang lain selain akak. Akak pasrah, marah, geram dan naik
gila pada masa itu. Akak hampir cuba membunuh diri dan pernah rasa diri
akak sudah tidak berguna di sisi suami.
Akak nekad untuk putuskan hubungan Linda dengan Abang walau apa caranya
sekali pun. Akak ugut Linda, akak ugut Abang, akak gunakan anak-anak
tanpa belas kasihan pada Abang yang akak mencaci maki dia. Setiap hari
akak beri tekanan kepada Abang tanpa memikirkan dosa akak di kemudian
hari pada Abang. Ke mana saja Abang pergi, akak akan telefon dan sSMS
supaya hubungan Linda dengan Abang benar-benar putus.
Akak berjaya memutuskan perhubungan Linda dengan Abang dan ternyata pada
masa itu Linda memang menjauhkan diri dari Abang. Abang nampak insaf
dan akak berdoa hari-hari agar Abang dapat melupakan Linda.
Bermacam-macam perkara yang akak lakukan agar Abang mencintai akak
sepenuhnya.
Hari demi hari, walaupun Abang bersama akak setiap hari, akak nampak ke
dalam matanya betapa murungnya dia, sayunya dia, kosongnya dia. Terasa
yang akak hanya ada satu tanggungjawab sahaja bagi dia.
Amat terasa hanya diri akak ini orang yang pernah melukakan hati dia
yang hanya mampu menelan kepahitan. Akak berdoa agar Allah tunjukkan
jalan sebaik-baiknya untuk keluarga akak dan sejak itu, pintu seperti
sudah terbuka.
Akak terasa sangat-sangat bersalah pada abang bila diingatkan kembali kelakuan akak padannya. Terasa sangat jahilnya diri ini.
Memang mana-mana perempuan pun tidak mahu dimadukan atau ada orang
selain dari dirinya. Akak juga terfikir rasa bersalah pada Allah yang
mana kuasa lelaki itu tidak boleh dinafikan lagi berhak mencintai wanita
lain jika mampu.
Terbuka minda akak untuk membuka pintu hati ini tiba-tiba. Kalau benar
itulah jodohnya, akak tak boleh halang. Akak tahu Abang, bukan senang
nak jatuh cinta. Ramai perempuan di luar sana sebelum ini pernah memikat
dia tetapi tidak dilayan langsung.
Hampir dua tahun Abang meninggalkan Linda, tiba-tiba akak kembali bertanya semula pada Abang.
"Berapa lama hubungan abang dengan Linda terjalin sebelum saya mengetahuinya?" soal akak dengan baik padanya.
Mendengar soalan itu, abang menjadi marah kerana menyangkakan yang akak
sengaja mengungkit kembali cerita lama yang dia sudah lupakan. Namun,
akak cuba bertenang dan bertanya sekali lagi sambil menyuruh abang
bertenang sama.
Abang berkata, hampir dua tahun mereka menjalinkan hubungan. Ketika itu,
air matanya menitis, ternyata abang benar-benar menyayangi Linda.
Dengan tenang, akak berterus terang dan bertanya lagi, "Abang nak nikah dengan dia?"
Abang terpaku tetapi menggelengkan kepala.
"Kenapa?" akak tanya.
"Sejak kes itu, Linda dah bencikan abang dan telah hilang membawa diri entah ke mana," katanya.
Dipendekkan cerita, akak pernah mencari Linda, ingat tak? Akak berterus
terang pada Linda dan Linda pada masa itu jual mahal pula. Akhirnya
sekali, Linda selamat diijabkabulkan dengan Abang.
Memang pilu melihat suami sendiri di atas pelamin dengan perempuan lain.
Tetapi akak redha dengan apa yang ditentukanNya. Akak berfikiran
positif, taklah teruk sangat dugaan dan ujian dariNya. Daripada akak
ditinggalkan sebab Abang masih sayangkan akak lagi pada masa itu, cuma
dia agak gatal sikit saja.
Sejak Linda menjadi madu akak, baru akak tahu smeuanya tidak benar sama
sekali. Tidak benar bahawa bermadu itu pahit. Kita menjalani kehidupan
yang sihat sekali.
Abang bertambah ceria, ekonomi kita bersama kita bina, anak-anak akan
sangat mesra dengan Linda. Linda pun sama-sama membantu menjaga dan
menyayangi anak-anak akak sampaikan setiap minggu anak-anak akak nak
tidur di rumah Mami Linda.
Kadang-kadang seronok juga bila Abang buat perangai, kita bersama-sama
boleh menghentam Abang. Kalau dulu, akak tak ada backup, Abang terpaksa
akur kalau isteri-isteri dia bergabung menasihatkan dia.
Itu jelas sekali bilamana Abang dilanda musibah kerja. Selama 4 bulan
Linda menanggung kami semua termasuk Abang. Akak benar-benar terharu
pada masa itu. Bayangkanlah jika ketika itu tiada Linda dalam kehidupan
kami?
Linda sangat menghormati akak, menghormati abang, menyayangi anak-anak kita. Jasa Linda sudah akak nak lupakan.
Kini, akak dan abang kembali keseorangan. Linda telah pergi meninggalkan
kami. Linda menyembunyikan penyakit Linda selama ini untuk tidak
menganggu Abang dan akak. Linda takut Abang akan tumpukan sepenuh
masanya pada Linda kan?
Tidak sama sekali Linda, kita sama-sama senang, sama-sama susah. Akak
sayangkan Linda dengan penuh kasih sayang. Kami benar-benar sunyi
sekarang tanpa Linda. Kami merindui gelak ketawa, telatah, gurau senda
Linda. Linda penyeri rumahtangga akak dan abang serta anak-anak.
Kenapalah Linda tinggalkan akak dikala akak memerlukan Linda? Akak
sentiasa mendoakan madu akak bernama Linda ditempatkan bersama
orang-orang yang beriman dan ditempatkan di syurga. Linda, dengarlah
semua ini Linda. Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment