Sunday, 13 March 2016

TANYA PADA DIRI... DI MANAKAH USAHA?

Fitrah manusia suka akan kebaikan.Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat. Buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba! Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha?
Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!.
Kita tidak akan pernah boleh mengubah masa lalu, tetapi kita masih boleh bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Belajar erti redha dengan ketentuan Allah. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh. Selalu ingatkan diri kita tentang mati. andai kata nyawa kita dicabut ketika kita sedang nyenyak tidur sebelum sempat bertaubat, apa akan jadi dengan nasib kita di akhirat kelak? Sudah tentu kita taknak masuk neraka jahannam. NAUZUBILLAH.
Bila kita cuba untuk berubah jadi lebih baik, Allah akan permudahkan.. Allah akan hantar orang-orang yang baik kepada kita untuk memudahkan proses perubahan kita itu. Andainya manusia tahu akan kemanisan iman, pastinya kemanisan dunia akan terhapus. Daripada Rasulullah S.A.W : “Jika kita mengejar dunia, dunia akan lari meninggalkan kita. Tetapi jika kita kejar akhirat, dunia akan sujud pada kita.” Sama-samalah kita renungkan…

No comments:

Post a Comment