Semasa zaman kanak-kanak dan remaja dulu kita sering dimarahi oleh
mereka yang lebih berusia, mungkin guru, makcik, pakcik atau jiran-jiran
yang jaki dengan perangai nakal kita yang serba advancer, sesuai dengan
jenis buku pengembaraan yang kita baca ketika itu.
“Kamu ni tak ada otak! Nakal! Dajal! Mana otak kamu?”
Kita terima sahaja seranah itu biasa-biasa tanpa ada rasa kecil hati
atau dendam pada orang yang memarahi. Apa sahaja yang kita fikirkan kala
itu hanya mahu rasa lepas bebas boleh buat apa sahaja dan ke mana suka.
Zaman menginjak dewasa dan kita sedang melalui peringkat usia emas,
kata-kata itu menjadi luar biasa konotasinya. Tak ada otak berbeza
dengan tidak ada akal. Binatang ada otak tapi tidak ada akal. Manusia
ada otak dan ada akal. Ini logik.
Fakta angka menunjukkan otak manusia adalah struktur pusat pengaturan
yang memiliki volume sekitar 1.350cc dan terdiri daripada 100 juta sel
saraf atau neuron. Otak mengatur sebahagian besar gerakan, perilaku dan
fungsi tubuh seperti detak jantung, tekanan darah, keseimbangan cairan
dan suhu tubuh.
Paling penting otak disertai dengan akal. Orang berakal lain dengan
orang yang berotak. Akal bekerja secara teknik, melalui pengajaran,
pendengaran, penglihatan dan perasaan. Menidakkan akal kerana bongkak,
ego dan sombong akan menjadikan seseorang itu seolah-olah hanya ada otak
sahaja.
Benar seperti kata cikgu sains moden, sebenarnya otak dan akal tidak
sama. Otak bukan akal dan akal bukan otak. Di tengah antara dua zat
hebat ciptaan ALLAH SWT ini adalah hati. Hati penting. Sangat penting.
Hati tidak boleh terkunci. Buka hati seluasnya dengan didampingi iman.
Otak dan akal harus dibantu oleh hati yang beriman terutama apabila
dalam dilema. Maka mana yang terlebih penting?
Semuanya! Segalanya memiliki hubungan yang saling bolak-balik. Tidak
boleh salah satu di antaranya mati. Kalau semuanya tiada, roh kita juga
pergi dari dunia ini. Kalau salah satunya yang mati? Bagi saya kita akan
menjadi manusia hampa, ada yang kurang dalam hidupnya. Atau mungkin
berubah menjadi mayat berjalan!
Tidak lama dulu saya mendengar ceramah online, membuatkan akal dan otak
saya berfikir tentang perkara logik. Persoalan ceramah itu ialah
mengapa Islam menyuruh disebat 100 kali orang belum berkahwin yang
berzina dan merejam sehingga mati orang yang sudah berkahwin yang
berzina?
Katanya, badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau
antibiotik yang dapat melawan penyakit, dan sel-sel ini terdapat di
daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia.
Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel
ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10
unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah sel-sel lain akan
hilang kerana perhubungan suami isteri.
Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina
hendaklah disebat 100 kali. Ini adalah kerana apabila dia disebat di
belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan
penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia
ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu.
Namun jika lelaki itu sudah berkahwin, walaupun disebat 100 kali dia
akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu
hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapat merebakkan virus HIV
itu. Wallahuaklam…
Mengapakah saya membuatkan jiwa pembaca meronta-ronta dengan persoalan
tentang akal, otak, hati dan logik ini? Selain mengembalikan nostalgia
nakal masa kecil sehingga mencuri telur ayam habis satu reban… saya kini
sedang membaca Antologi JIWA KACAU terbitan Alaf 21.
Otak saya sedang menerawang antara rasa riak, bongkak, ego, dendam,
muslihat dan komplot. Antologi ini bagus kerana menjadikan jiwa saya
penuh berontak, rasa ingin melompat walau saya tahu lompatan tidak
setinggi mana!
No comments:
Post a Comment