Assalamualaikum...
7/3/2016 3.20pm...
Biasanya golongan pelampau agama
dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa
mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain
dengan sewenang-wenangnya dengan penuh nada keangkuhan.
Dalam Islam, pelampau agama
disebut sebagai Al-Ghuluw . Ghuluw bererti pelampau. Al-Tashaddud pula
membawa maksud sesorang yang berpegang pada prinsip agama secara amat
tegar dengan bertindak melebihi nilai yang dianjurkan agama. Orang ini
mempunyai sifat khushun iaitu sifat kasar dan tidak beradab.
Seorang yang radikal dipanggil
Al-mutatarrif iaitu orang yang berada disudut melampau, dengan
pemikiran dan haluan hidup yang melampau. Sheikh Abu Al-Hassan Al-Nadwi
(1914-1999) pernah berkata ” tidak dapat diragukan bahawa radikalisme,
ekstrimisme, kesempitan dan ketegaran memang wujud. Ini adalah realiti”
Dalam hal ini Allah SWT telah
memberi peringatan melalui firmannya yang bermaksud ” Janganlah kamu
berlebih-lebihan (melampau batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu.
Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat.
Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat
dahulu dan mereka menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka tersesat
dari jalan yang lurus ” ( Surah Al-Maidah, ayat 77)
Rasulullah SAW ada bersabda yang
bermaksud ” Sesungguhnya agama itu mudah.Tiada sesiapa yang memberatkan
didalam agama melainkan ia mengatasinya. Maka carilah jalan lurus,
dekatinya dan bergembiralah dan minta bantuanlah pada berpagi-pagi dan
pada waktu petang serta sebahagian waktu malam ” ( Riwayat Bukhari)
Dari Anas R.A ada menceritakan ”
Tiga kelompok manusia datang ke rumah isteri-isteri Nabi SAW secara
diam-diam menanyakan tentang ibadah Nabi SAW. Setelah diberitahu lantas
mereka memperkatakan dan berkata ” Di mana letaknya kita jika
dibandingkan dengan Nabi SAW, padahal baginda sudah dijamin mendapat
keampunan dari Allah atas segala kekeliruan baginda, baik yang terdahulu
mahupun yang akan datang ? ”
Salah seorang dari mereka
berkata ” saya akan melakukan solat malam secara terus-menerus ” Yang
lain lagi berkata ” saya akan berpuasa terus-menerus ” Dan yang lain
lagi berkata ” saya akan menjauhi wanita dan tidak akan kahwin
selama-lamanya”.
Kemudian Rasulullah SAW datang
kepada mereka, lalu bersabda ” Kalian yang telah berkata begitu dan
begini ? Ketahuilah ! Demi Allah, sesungguhnya aku adalah oarng yang
paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada Nya. Tetapi aku
juga berbuka, solat dan tidur dan aku juga kahwin dengan wanita. Maka
barangsiapa yang membenci sunnah Ku bukanlah dia dari golongan Ku ! ”
(Muttafaq’alaih)
Rasulullah SAW juga berpesan
melalui sabdanya yang bermaksud ” telah binasalah al-mutanattiun, telah
binasalah al-mutanattiun, telah binasalah al-mutanattiun ” ( Riwayat
Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Dalam
hal ini, Imam Al-Nawawi menjelaskan bahawa al-mutanattiun bererti
seseorang yang sentiasa meneliti secara mendalam akan sesuatu, bersikap
ekstrem dan melampaui kadar dan adab didalam percakapan dan
perbuatannya.
Dr. Abdul Rahman Ibn Mualaa
al-Luwaihiq didalam kitabnya ” Al-Ghuluw Fi al-Din ” memetik kata-kata
daripada As-Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, pakar rujuk Islam yang
terkemuka, yang menjelaskan bahawa radikalisme dan ekstrimisme dengan
beberapa sifat, iaitu :
• Berpegang teguh hanya pada pandangan dirinya sendiri dan tidak memberi peluang untuk mendengar pandangan orang lain.
• Menyuruh manusia melakukan sesuatu yang tidak dianjurkan syariah
• Ketegasan tidak kena pada tempatnya
• Kasar dan tidak beradab
• Sentiasa berfikiran buruk terhadap pandangan orang lain
( su’u dhzan )
• Menghukum orang lain sebagai kafir
Kumpulan Ghuluw yang pertama
muncul dalam sejarah politik Islam, iaitu kaum Khawarij yang bermaksud
keluar dari kepimpinan Ali bin Abi Thalib ra berikutan krisis kepimpinan
Ali Abi Thalib dan Mu'awiya bin Abi Sufyan. Saidina Ali mengutus Ibn
Abbas untuk berdialog dan meninjau kumpulan ini dan Ibn Abbas
melaporkan sepertimana yang diceritakan dalam Hadis itu akan
ciri-cirinya.
Contohnya puak Khawarij yang
terkenal kerana radikalnya dan menjadi terlalu berani. Puak ini telah "
menghalalkan" cara ganas demi mencapai matlamatnya. Mereka menuduh
menantu Rasulullah SAW sebagai "kafir" dan mendakwa cara mereka sahaja
yang benar. Mereka mencabar untuk berhujah dengan sesiapa sahaja yang
menentang pegangan mereka. Golongan merekalah yang memulakan pendekatan
takfir ( mengkafirkan mana-mana puak yang menentang kumpulan mereka) dan
cara perjuangan mereka begitu radikal dan ekstrimis.
Adalah diyakini bahawa gerakan
puak Khawarij ini tidak berkubur di zaman Khalifah Ali bahkan putaran
golongan ini dan Neo-Khawarij ini akan berterusan sehingga 20 kali lagi
sebelum Kiamat. Maksudnya golongan keras dan melampau ini akan muncul
dari masa ke semasa.
Sebenarnya Islam menentang keras
terhadap pemikiran yang ekstrim. Sikap melampau dalam agama sebenarnya
berpunca daripada kefahaman salah terhadap doktrin Islam dan
hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang menyumbang ke arah
pembinaan doktrin serta hukum tersebut. Kaedah dan cara mereka
mentafsirkan nas-nas sandarannya bergantung kepada pengambilan ayat dan
hadis tertentu. Mereka hanya berpegang semata-mata kepada makna
zahirnya, tanpa melihat objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan
syariah.
Mereka tidak menekan tentang
amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan
kelompok. Bahkan tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun
mengenali asas pencarian dalil daripada aspek bahasa dan hukum fiqh, dan
juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian
berdasarkan kepada sebabnya dengan puncanya.
Dari segi prinsipnya mereka
memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan
ajaran agama Islam sebenar. Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka
telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama.
Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini
menggambarkan sikap ekstrim dalam pemahaman terhadap agama. Secara tidak
langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam. ( catatan : sifat
samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni)
Realitinya, sepanjang sejarah
dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan
pelampau agama. Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa
setiap agama akan bertembung dengan
ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan.
Agama tidak akan aman sama
sekali daripada gangguan pelampau yang keras dalam hujahnya dan enggan
mengalah. Mereka mahu berstatus pemenang dalam berhujah dan mengecil dan
merendahkan martabat lawan mereka dengan penuh penghinaan yang
mengaibkan.
Apa yang menghairankan golongan
ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu
yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada
bertepatan atau bersalahan dengan agama.
Namun golongan ini tidak menemui
pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu
atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan
pendapatnya. Dengan gaya keterampilan yang keras, pandangan orang lain
diremehkan.
Pelbagai gelaran dan tomohan
yang berupa menghina dilabelkan. Sebab itu ada kalangan mereka yang
memberi gelaran kepada ilmuan yang tidak sependapat dengan mereka
menggunakan pelbagai imej berupa penghinaan seperti ulamak haid dan
nifas, ulamak terompah, ulamak akad nikah dan lain-lain gelaran yang
tidak beradab dan bersopan. Gelaran yang dianggap menghina ini tidak
sepatutnya keluar daripada mulut dan lidah-lidah mereka yang bergelar
ulamak kerana ianya menggambarkan sikap sombong, angkuh dan takabbur.
Ada sesetengah golongan pelampau
agama ini lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan
terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah SWT
memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat
yang baik bukan dengan kekasaran.
As-Sheikh
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Asohwatul Islamiyah Baina al-Juhud
Wa Tatarruf turut memperincikan sifat kelompok yang menyerupai golongan
khawarij yang digambarkan Rasulullah. Menurut beliau, dalam realiti
hari ini, wujud kelompok Khawarij Moden yang berkecenderungan melampau
hingga bertindak mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.
Sudah menjadi tabiat golongan
pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap
orang lain serta memandang mereka dengan pandangan negatif. Berburuk
sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama
membesar-besarkan keburukan orang.
Dalam hal ini Allah SWT telah
mengingatkan orang yang beriman dalam firmannya yang bermaksud "Hai
orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka,
sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca
sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan
daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Surah Al-Hujurat, ayat 12)
Hak sebuah masyarakat dalam
menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah
tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan
dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem
yang diikuti dan diterima oleh mereka.
Perlakuan amar makruf dan nahi
mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta
penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang
jelas akan mendorong mereka yang melakukan 'amar makruf' ini menceroboh
hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta
kebebasan mereka.
Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu menjauhkan diri
daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah
dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama." (Riwayat Ahmad,
Nasa’e, Ibn Majah dan Al-Hakim).
Apabila timbul puak-puak
khawarij yang menjadi pelampau, melihat diri mereka sahaja yang benar,
mereka terjebak dalam sikap keras dan melampau serta lari daripada
pemikiran Islam wasatiyyah. Ia sudah terjatuh dalam larangan Rasulullah
SAW agar jangan melampau. Larangan Rasulullah SAW tidak dipedulikan
dengan hujah-hujah yang membenarkan perlakuan dan tindakan mereka yang
bersumberkan agama.
Demikian juga puak muktazilah
yang muncul selepas itu dengan pegangan agama yang terlampau longgar.
Mereka menjadi begitu taksub kepada akal sehingga melihat nas agama
sebagai tertolak apabila bertembung dengan akal takwilan mereka. Mereka
menjadi keterbalikan daripada khawarij dimana mereka menjadi pelonggar
agama yang disebut nabi jangan jadi pelonggar agama.
Nyata sekali bahawa Islam tidak
membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya.
Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi
dalam akidah, ibadah, keruhanian dan berbagai. Umat Islam diperintahkan
agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud ” Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama ” ( Riwayat
Ahmad)
Justeru, adalah menjadi tugas
dan tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengawasi agar jangan ada
mana-mana pihak yang cuba membawa elemen "melampau" sama ada dalam
bentuk pemikiran mahu pun amalan. Jika mahu di lakukan secara peribadi,
terserahlah kepada mereka. Tetapi menyebar luaskan fahaman melampau ini
kepada umum, akan menjejaskan perpaduan umat dan masa depan umat di
Nusantara ini.
Demikianlah Islam tidak
membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya.
Ghuluw boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi
dalam akidah, ibadah, kerohanian dan sebagainya. Umat Islam
diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama.
No comments:
Post a Comment