Wednesday, 23 March 2016

SENTIASA BERLAPANG HATI DENGAN UJIANNYA


Makin kuat Allah uji, makin Allah nak jadikan kita lebih baik. Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak etentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.
Justeru..apabila kita menghadapi ujian dari Allah.. belajarlah menerimanya dengan lapang hati.. belajarlah untuk menjadi hambaNya yang ikhlas menerima takdirNya.. belajarlah menjadi hambaNya yang sentiasa positif dan bersangka baik. Jauhilah putus asa..kerana ia tanda kita jauh dari rahmatNya..Allah Maha Adil..segala yang diberi adalah yang terbaik buat kita sebagai hambaNya..tiada musibah bagi hamba yang bila diuji, hatinya kembali semula kepada Allah..

No comments:

Post a Comment