Bait demi bait ayat dalam naskhah
‘Pemilik Cintaku Setelah Allah Dan Rasul’ karya Ustazah Fatimah Syarha
saya hadam. Minggu ini saja, sudah 5 kali saya membacanya. Rasa tidak
puas baca sekali. Kadang kurang faham, saya ulang dari mula walau sudah
sampai di pertengahan. Nyata, setiap jalan ceritanya, menusuk ke lubuk
hati yang paling dalam. Terasa betapa banyak masa yang telah saya
bazirkan selama ini.
Betapa
banyak masa saya guna untuk menanti, untuk menunggu, untuk mengharap dan
mengejar bayang-bayang. Akhirnya, saya jualah yang bermakan hati, dan
menjadi mangsa cinta manusia yang tiada berkesudahan. Saya tahu, cinta
manusia itu sementara, saya tahu cinta Allah maha hebat dari segalanya.
Saya tahu. Tapi saya rebah dalam angan-angan yang saya cipta sendiri.
Usia 24 tahun, sudah dikira usia matang
bagi seorang wanita. Apatah lagi, saya kini telah selesai menamatkan
ijazah pertama dan sedang menyudahkan Latihan Dalam Kamar di sebuah
firma guaman. Lantas bersendiri tanpa ‘teman’ di usia sebegini menjadi
buah mulut dan modal cerita orang. Sekali lagi, andaian dan kata orang
yang kita risaukan. Begitu rata-rata kita lebih runsing dengan kata
orang lebih berganda dari apa yang Allah kata.
Benar ia lumrah. Selagi bernyawa dan
duduk di bumi, maka itu adalah lumrah. Saya pernah terdengar satu ayat
sinis, ‘kalau nak bergurau pun tak boleh, pegi buat rumah dalam hutan.
Kawan dengan monyet.’ Lalu sudah berapa ramai manusia yang masuk hutan,
bina rumah di sana dan berkawan dengan monyet? Seingat saya, kecuali
dongeng ‘Tarzan dan Jane’, tiada manusia dari bandar yang sukarela ke
dalam hutan, tinggal di sana dan berkawan dengan haiwan. Maka, lumrah
akan kekal lumrah.
Saya terhanyut dek arus dari segi
pemikiran saya. Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan
berikan dalam hidup saya. Hanyalah kegagalan. Cintalah punca angan-angan.
Saya mula dilanda keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma
berlegar di sudut hati, bukan secara zahir. Dan saya juga tidak pernah
menterjemahkannya. Lantas hati menjadi raja, memberi arahan kepada
seluruh anggota badan.
Nyata, cinta Allah jualah yang tidak
pernah mengecewakan. CintaNya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati,
perasaan dan kehidupan. Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini saya ada
Allah untuk lebih dicintai. Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta
terhadap hambaNya, Cuma saya yang lalai dan tidak menghargai segala
nikmat yang sekian lama ada di depan mata. Dan yakinlah bahawa pintu
taubatNya sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi.
Saya mula bertekad untuk kembali meraih
cinta agung itu. Saya cuba bersihkan hati dengan mengamalkan banyak
amalan sunat dan zikir. Tika itu, sukar juga untuk istiqamah terutamanya
tahajjud. Namun saya sedar dan yakin bahawa ada rahsia Allah di sebalik
amalan-amalan itu, maka saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi
sebahagian daripada kehidupan saya, darah daging saya. Saya cemburu
dengan kawan-kawan yang dipermudahkan urusan jodoh mereka, berbahagia dan tidak diuji dengan lelaki.
Saya terfikir bahawa alangkah indahnya
kalau cinta Allah ini tidak pernah dicemari oleh cinta dusta manusia.
Airmata mengalir dengan laju apabila mengenangkan kesilapan saya
bertahun-tahun menjadi lalai kerana cinta manusia. Saya genggam azam
baru. Saya ketepikan lelaki daripada fikiran saya. Hati saya yakin
bahawa cinta allah mampu membawa kebahagian yang hakiki. Bukan sekadar
kerjaya, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagian hakiki. Dialah sumber inspirasi dan pemberi motivasi yang maha mengetahui.
Saya yakin bahawa tarbiah inilah yang
mampu menyemarakkan lagi cinta saya padaNya. Siang malam saya berdoa
agar Allah menganugerahkan rasa cinta dan rindu kepadaNya dalam jiwa
saya yang kosong ini. Saya ingin jatuh cinta pada Allah.
Saya
ingin merasakan indahnya menemui cinta kerana Allah. Saya dapat rasakan
hebatnya ketenangan jiwa yang lebih bermakna. Saya ingin terus memburu
cintaNya. Hanya apabila tersemai semangat mencari cinta Allah dalam
jiwa, barulah saya kenal nikmat cinta sebenarnya. Sesungguhnya, cinta
Allah itu tidak boleh dikongsi dengan sesiapa.
No comments:
Post a Comment