Thursday, 31 December 2015

9 Penyakit Hati Penyebab Jiwa Tidak Bahagia - Mcm Nor

“Ahh, asyik-asyik aku je yang kena!” “Aduh, malangnya nasib aku hari ne..” “Geram betul aku bila tengok dia tu..” Sedar atau tidak, kata-kata atau...
“Ahh, asyik-asyik aku je yang kena!”
“Aduh, malangnya nasib aku hari ne..”“Geram betul aku bila tengok dia tu..”
Sedar atau tidak, kata-kata atau rungutan sebegini seringkali diungkapkan oleh insan yang hatinya tidak bahagia. Mungkin ada atau mungkin langsung tiada kebahagiaan dalam hatinya. Tiap hari dan tiap ketika, pasti ada sahaja yang tidak kena pada sudut pandangnya. Nah, itu tanda hatinya tidak bahagia!
Penyakit Hati
Hanya diri sendiri mampu mengetahui penyakit jiwa yang dialami.
Pasti ada dalam kalangan kita yang biasa berdepan dengan insan sebegini. Pernah tak kita lihat macam mana kehidupan sehariannya? Hidupnya sering dalam keadaan resah, bimbang, sakit hati atau iri hati dengan orang lain dan banyak lagi sifat mazmumah yang lain.
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati.” Riwayat Imam al-Bukhari

Penyakit #1 – Pemarah

Sifat ini paling mudah untuk kita lihat dan jumpa. Hampir di mana-mana saja pasti ada si pemarah. Kebiasaannya, orang yang mudah dan kerap marah sukar untuk mendapat kawan. Orang seperti ini hatinya tentu tidak tenang dan sentiasa dalam keadaan resah gelisah.
Oleh sebab besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani.
“Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” Riwayat Al-Tirmizi

Penyakit #2 – Pendendam

Selagi tidak dibalas, selagi itulah dia akan mencari peluang. Inilah sifat seorang pendendam. Mungkin ada kekecewaan lama atau kesilapan yang pernah dilakukan terhadapnya yang membuatkannya berdendam. Sekecil-kecil peluang yang ada sekalipun, dia pasti akan tetap membalasnya kembali.
Sebagai seorang Muslim, tidak wajar untuk kita menyimpan dendam atau benci terhadap seseorang lebih-lebih lagi terhadap saudara seagama. Maafkan dan lupakan sahaja kesilapan atau keburukan seseorang.
Tidak berbaloi untuk kita mendendami hamba Allah yang juga lemah seperti kita. Setiap orang pasti ada silapnya. Ingatlah bahawa bisikan syaitan itu sangat dahsyat. Ingatlah Allah dan banyakkan berzikir tatkala bisikan itu datang.

Surah ar-Ra'd Ayat 28
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah ar-Ra’d: 28)

“Ketahuilah, hanya dengan mengingat Allah (zikrullah) hati menjadi tenang”. (Surah Ar-Ra’d ayat 28)

Penyakit #3 – Hasad Dengki

Sifat ini adalah antara sifat yang sangat berbahaya. Hasad dengki akan membuatkan amalan seseorang itu hangus sama sekali.
“Jauhilah oleh kamu sekalian sikap hasad (dengki), kerana sesungguhnya sikap hasad itu memakan (menghabiskan) kebaikan-kebaikan sebagaimana api memakan (menghabiskan) kayu bakar.” Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah
Orang yang ada dalam dirinya sifat hasad dengki akan sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain. Akhirnya ia menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

Penyakit #4 – Bakhil

Kedekut tidak bertempat. Sukar untuk berbagi harta miliknya. Itulah antara ciri si bakhil. Tiap kali ada yang datang mendekati untuk meminta sesuatu, contohnya orang miskin atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan, pasti dia orang pertama yang akan mengelakkan diri. Dia sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, pangkat, kesenangan dan apa saja miliknya.
Ego
Orang yang bakhil akan risau takut-takut hartanya akan berkurang. [CareerPioneer]
Seseorang yang benar-benar beriman akan menjauhkan diri daripada sifat tercela ini. Hal ini kerana orang yang beriman akan mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Jika ada saudaranya yang dalam kesusahan, dia akan turut sama berkongsi penderitaan mereka dan akan cuba membantu sedaya mungkin.

Penyakit #5 – Tamak

“Ibarat meminum air lautan, walau sebanyak mana sekalipun diminum, pasti tidak habis jua”
Mungkin itu perumpamaan tepat untuk menggambarkan betapa banyak nikmat dan rezeki yang ada di muka bumi ini. Jiwa yang yakin akan rezeki itu sudah ditetapkan untuk setiap insan pasti akan bersyukur dengan apa yang ada.
Namun, untuk yang ada dalam jiwanya tamak haloba, sudah semestinya keadaan sebaliknya berlaku. Selagi ada daya, selagi ada masa, si tamak akan terus rakus merangkul dan menyelongkar apa sahaja yang ada di bumi ini tanpa rasa bersyukur sekelumit pun.

Penyakit #6 – Tidak Sabar

“Sabar. Sabar. Sabar.”
Mudah untuk disebut, namun sukar untuk diturut. Cuba lihat hidup seharian kita. Sudah pasti ada liku atau ujian yang menanti di hadapan. Benar?
Di saat ujian itu datang, semak dan audit diri kita. Adakah kita sabar dan tenang pada ketika itu? Atau sudah tidak tentu arah, tidak sabar dan gopoh-gapah? Bersabarlah dan berbaik sangkalah kepada Allah. Ingatlah bahawa seseorang tidak akan diuji dengan sesuatu perkara yang di luar kemampuannya.

Penyakit #7 – Ego

Ego dan lelaki. Hampir pasti sukar dipisahkan. Itu kata kebanyakan. Namun sebenarnya ego tetap ada dalam diri setiap daripada kita, hatta wanita sekalipun. Yang membezakan hanyalah sejauh mana kita mengawal ego kita. Adakah kita membiarkan ego menguasai atau sanggup merendah diri mengaku kesilapan diri?
Bakhil
Apabila ego menguasai diri, kita sukar menerima pendapat orang lain. [Tubasa]
Ego jika tidak dikawal, akan memakan diri dan mengundang kemurkaan Allah. Sifat ini seolah-olah membuktikan dirinya sentiasa betul dan menganggap yang lain salah.

Penyakit #8 – Riak

“Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil. Lalu ditanya oleh sahabat, apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda, iaitu riak.” Riwayat Ahmad dan Baihaqi
Tidak kecil. Ianya besar sekali dosanya. Saat diri dipuji, ia akan menambahkan amalan. Namun, saat dikeji, ia akan mengurangkan amalannya. Itulah riak. Segala perbuatannya hanyalah sekadar untuk dipertontonkan kepada manusia, bukan semata-mata kerana Allah, Tuhan Yang Esa.

Penyakit #9 – Cintakan Dunia, Bencikan Kematian

“Hampir tiba di mana umat saling memanggil untuk melawan kalian sebagaimana orang-orang saling memanggil untuk menyantap hidangannya.
Salah seorang bertanya: Apakah kerana sedikitnya kami ketika itu?
Rasul menjawab: Bahkan kalian pada hari itu banyak akan tetapi kalian laksana buih di lautan dan sungguh Allah mencabut ketakutan dan kegentaran terhadap kalian dari dada musuh kalian dan Allah tanamkan di hati kalian al-wahn.
Salah seorang bertanya: Apakah al-wahn itu ya Rasulullah?
Baginda menjawab: Cinta dunia dan membenci kematian.”
Riwayat Abu Dawud dan Ahmad
Hadis ini cukup jelas sekali menerangkan kepada kita bahawa kesenangan dan keindahan dunia boleh membuatkan kita terleka. Kita mengejar kesenangan dan kebahagiaan di dunia, sedangkan kebahagiaan sebenar dan hakiki hanyalah di akhirat nanti. Kejarlah kebahagiaan akhirat, pasti kebahagiaan dunia akan turut sekali.

Rumusan

Seringkali kita menjadikan hasil luaran yang kita dapat atau miliki sebagai tanda aras kebahagiaan. Jika seseorang itu miskin, kita menganggap hidupnya tidak bahagia. Sedangkan di luar sana ada sahaja si miskin hidupnya lebih bahagia daripada si kaya.
Sedarlah bahawa dunia dalaman kita sebenarnya yang menentukan dunia luaran kita. Jika hidup kita penuh dengan sifat mazmumah seperti pemarah, ego, tamak dan sebagainya, mana mungkin akan ada bahagia di hati kita. Kerna pemilik sebenar bahagia adalah Dia. Saat si Dia murka, bahagia itu sudah pasti tiada untuk kita.

No comments:

Post a Comment