Tuesday, 29 December 2015

Bahaya Percakapan Yang Buruk

ikh29.jpg
Percakapan yang buruk merupakan salah satu daripada dosa-dosa lisan. Mereka yang melakukannya boleh binasa akibat perbuatan itu jika tidak berhati-hati dan bertaqwa kepada Allah dalam percakapan. Lebih teruk akan menimbulkan perselisihan antara satu sama lain.
Percakapan yang buruk bermaksud semua percakapan yang bertujuan untuk menyakiti orang lain, atau menyebarkan berita-berita tentang peribadi seseorang tanpa keizinannya dan mendedahkan maruah mereka sambil menyingkap segala urusan hidupnya. Selalunya semua ini berpunca daripada hasad dengki dan cemburu kepada orang lain.
Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan Ahmad dan Abu Daud berbunyi: “Sesungguhnya darah, harta dan kehormatan kamu adalah haram (terpelihara)”.
Rasulullah saw juga bersabda dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim: “Wahai sekalian yang beriman dengan lisannya sedangkan iman langsung tidak memasuki ke dalam hatinya; Jangan mengumpat sesama muslimin, jangan mencari-cari aurat (keaiban) mereka. Barangsiapa yang mencari-cari aurat (keaiban) saudaranya, maka Allah swt akan mencari-cari auratnya (keaiban), barangsiapa yang Allah swt mencari-cari auratnya (keaiban), maka Allah akan mendedahkan aibnya walaupun dia sedang berada di dalam rumahnya sendiri”
Inilah beberapa peringatan oleh Kekasih kita khusus untuk umatnya yang kini sedang terperangkap di dalam kepungan musuh Allah. Golongan penentang Islam mahukan kita semua berpecah daripada kesatuan kita. Mereka akan gelisah dan tidak senang duduk jika melihat kita bersatu ibarat lidi-lidi yang terikat kemas. Segala macam usaha dan strategi akan diguna bagi mengoyak rabakkan ikatan iman ini. Kadang kala kita sendiri tidak sedar bahawa kita telah termasuk ke dalam jerangkap samar yang dipasang. Kini ramai yang tidak menjaga adab percakapan sesama muslimin. Perasaan saling menghormati sudah semakin pudar dalam jiwa. Semua kata-kata yang keluar dari mulut tidak lagi ditapis terlebih dahulu samada akan menyakiti orang lain ataupun tidak. Asalkan hati puas, maka kita akan cakap jua apa yang terbuku. Langsung tidak mengendahkan jiwa dan perasaan manusia lain.
Sesetengah pula lebih gemar menyebarkan perkara-perkara buruk tentang orang lain ke dalam masyarakat. Setiap kali berjumpa dengan seseorang, sudah ada senarai nama yang mahu diaibkan. Seolah-olah dirinya sahaja yang betul dan perlu diikuti. Semua pihak yang berlainan dengan pendapatnya adalah golongan yang salah. Mereka akan bongkarkan segala keaiban dan kesalahan sesiapa sahaja yang berbeza pandangan dengan mereka atas nama menegakkan kebenaran. Bukan itu sahaja, mereka sanggup menggunakan tekonologi terkini untuk mendedahkan keaiban manusia lain. Khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah antara senjata utama mereka untuk mencemarkan kesatuan ummah yang ditegakkan atas dasar yang paling kukuh iaitu aqidah tauhid. Mungkin mereka terlalu ghairah untuk mencapai matlamat tertentu dan seterusnya menghalalkan apa sahaja cara untuk menghalang pihak yang disangka sebagai musuh. Antara fitnah akhir zaman, muslimin sudah tidak mampu membezakan antara musuh dan sahabat. Selalunya muncung senapang dihalakan ke arah saudara sesama Islam dek kerana berselisih beberapa perkara yang masih di dalam ruang lingkup ijtihad.

No comments:

Post a Comment