Tuesday, 15 December 2015

Jangan sakiti hati orang beriman


alifahting
Tindakan setengah orang Islam dan bukan Islam menuduh Saudari Alifah Ting Abdullah dengan berbagai-bagai tuduhan yang tidak masuk akal dan menjatuhkan maruah seorang wanita menggambarkan akhlak jahiliyah dan sikap yang tidak bermoral.
Ke mana perginya nilai agama yang ditanam oleh ustaz dan ustazah sewaktu di sekolah rendah dan menengah. Ke mana hilangnya nilai sivik yang diasuh oleh guru-guru di sekolah. Bahasa yang digunakan untuk melemparkan serangan peribadi seolah-olah tidak mempunyai empunya diri. Semua tersembunyi dalam nama samara dan jolokan yang berbagai-bagai.
Kita mungkin terlepas dari hukum dunia dan pengetahuan dunia tetapi kita tetap boleh lari dari hukuman dan hisab Allah SWT. Semua perkataan dan lafaz yang keluar sama ada dalam keadaan terang mahu pun samaran akan dihisab oleh Malaikat Raqib dan Atid yang berada disebelah kiri dan kanan kita.
Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saya yakin dan percaya kita semua akan mengadap Allah SWT. Semua perbuatan baik dan jahat kita akan ditimbang termasuk semua caci maki dan kata nesta yang diucap di alam maya. Pada waktu itu kaki dan tangan menjadi saksi di atas segala perbuatan yang dilakukan.
Menjawab insiden yang berlaku kepada Saudari Alifah Ting Abdullah, saya suka membacakan sepotong ayat al-Quran al-Karim dalam surah al-Ahzab ayat 58;
وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا ٥٨
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.”
Ayat di atas diturunkan kerana menempelak sikap golongan munafikin yang banyak menyakiti hati dan mencela Saidina Ali KW.  Ada ulama yang menyatakan ayat ini diturunkan kerana peristiwa Ummu Mukminin Saidatina Aisyah yang disakiti dan difitnah oleh golongan munafikin. Malah ada setengah ulama mengaitkan penurunan ayat ini ekoran aduan para sahabat terhadap sikap pemuda Madinah yang suka mengusik isteri-isteri mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Apapun sebab penurunan ayat ini, jelas menunjukkan amaran keras Allah SWT kepada mereka yang suka dan sengaja menyakiti hati orang-orang beriman sama ada mereka lelaki atau perempuan.
Perbuatan menyakiti yang dimaksudkan dalam ayat di atas termasuklah perbuatan dan kata-kata yang keji dan nesta seperti menghina, memperolok-olok, mengeji, mengutuk dan lain-lain perbuatan dan perkataan yang berbentuk jahat.

No comments:

Post a Comment