Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallah r.a bermaksud :
"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?"
Baginda menjawab : "Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya".
Kemudian aku bertanya lagi : "Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?"
Baginda menjawab : "Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud :
"Sekiranya
aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain
nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)
Kita
jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk
merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya
mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.
Antara
sebabnya ialah mudahnya si wanita bergelar isteri melakukan kederhakaan
kepada suaminya. Mungkin tak sedar, tetapi begitulah manusia, sering
terbabas ke kancah khilaf akibat nafsu dan hasutan. Wahai isteri,
sesungguhnya kedudukan si isteri adalah bersama suaminya. Betapa buruk
dan teruk pun suami itu, adalah tanggungjawab isteri untuk menghormati
dan memperbetulkan kesilapan si suami. Ingatlah syurga bagi isteri adalah terletak pada suaminya sendiri...
Jika
ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami
dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu
hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian
itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Apakah
ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui
semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar
daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri
derhaka.
Terdapat 7 tanda-tanda awal isteri derhaka kepada suami.
1 - Menghina atau mengumpat suami
Bersifat
amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga
maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah
tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu
segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau
menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat
keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap
isteri. Jika membuka rahsia suami dianggap menjejaskan kewibawaan suami,
apatah lagi menghina atau mengumpat suami.
2 - Mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain
Sifat
ini terlalu berat dan buruk untuk ditanggung oleh seorang suami. Si
isteri tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun mengherdik dan
menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain. Adalah
sepatutnya kita sebagai isterisentiasa bersedia untuk menggembirakan
hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang
menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.
Rasulullah saw bersabda :
Tiada
faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman)
selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah.
3 - Isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami
"Apabila
perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat
oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain
daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)
4 - Isteri mendoakan kecelakaan buat suami
Isteri
yang solehah adalah isteri yang sentiasa mendoakan kebaikan,
kesejahteraan dan rahmat Allah swt bagi suaminya dan bukannya
sebaliknnya.
5 - Membenci kegemaran suami
Mengakui
dan menerima kenyataan bahawa suami adalah ketua di dalam kepimpinan
keluarga sesebuah rumah tangga. Tiada siapapun yang menyangkal bahawa
suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Satu
kurniaan Allaw swt yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta
mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di
dunia dan akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan
anak-anaknya. Sememangnya ada ketika dan masa kita rasa kehendak kita
sebagai isteri tidak dipenuhi sewajarnya. Namun yang demikian itu tidak
bermakna kita dengan sewenang-wenangnya berhak menafikan kesukaan atau
kegemaran si suami.
Firman Allah :
Kaum
lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain
(wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian
daripada harta mereka. (An-Nisa : 34)
6 - Menjadi tekanan kepada suami
Tidak
dinafikan keadaan ekonomi hari ini adakalanya mampu memberi impak besar
kepada sesebuah institusi kekeluargaan. Namun begitu, si isteri perlu
bersikap bijaksana dan rasional dalam mentadbir harta benda suami tanpa
membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana
hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam
kehidupan suami. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika si isteri
sama-sama membantu menguruskan rumahtangga agar ini dapat mengurangkan
tekanan kepada si suami.
Apabila
suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia
menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi
sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia
menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda
suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya.
(Riwayat Ibnu Majah)
7 - Mengungkit-ungkit janji suami
Redha dan bersyukurklah dengan setiap pemberian suami. Sesungguhnya itulah nikmat dan rezeki yang terbaik bagi isteri.
Sabda Rasulullah saw :
"Aku
lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana
ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan
ahli neraka ialah wanita. Rasullullah saw ditanya: "Mengapa demikian ya
Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan
mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa
banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda dan bermaksud :
"Kebanyakan
ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah
mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi
demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?"
Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan
lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang
disediakan oleh suaminya."
(Riwayat Muslim)
InsyaAllah mudah2an pembacaan ini ada manfaatnya dan sungguh berhikmah.
No comments:
Post a Comment