Manusia busuk hati ada
dimana-mana, kalau boleh kita langsung tidak mahu mendekati mereka,
bimbang dan takut kalau-kalau kita pula bakal menjadi mangsa kebusukan
hatinya. Namun ada juga yang suka mendampingi mereka, tidak diketahui
sama'ada akalnya pendek dan terlalu naif atau ada agenda tersembunyi,
hanya Allah yang tahu.
Ada orang cakap, "Bau busuk bangkai
binatang kita boleh hidu, bau busuk hati manusia, susah kita nak hidu."
dari penyataan tersebut boleh kita simpulkan, untuk mengenal manusia
berhati busuk adalah amat sukar, namun dengan pengalaman hidup, ianya
tidak mustahil.
Tahukah kalian, betapa bahayanya manusia busuk
hati? Ada pendapat mengaitkan busuk hati dengan perasaan cemburu dan
hasad dengki, ya memang benar, manusia busuk hati memang mudah berasa
cemburu, cemburu dalam aspek negatif, ada cemburu yang positif di mana
ia membuatkan seseorang itu berusaha lebih gigih untuk menjadi lebih
baik daripada insan yang dicemburuinya.
Cemburu manusia busuk
hati menjurus kepada sifat hasad dengki dan seterusnya membawa kepada
perbuatan khianat, perbuatan khianat pula ada pelbagai jenis, dari
fitnah, sabotaj, mengadu domba, melaga-lagakan orang dan banyak lagi
cabang perbuatan khianat. Sebutkan saja apa jenisnya, manusia-manusia
yang busuk hatinya sanggup lakukan apa sahaja asal hatinya puas melihat
orang lain susah, diaibkan, kerugian, ditimpa kecelakaan atau
kemalangan.
Mengenal manusia busuk hati tidaklah sesukar mana,
berdasarkan sedikit pengalaman hidup dan sedikit kajian kita boleh
mengenali atau mengesan adakah seseorang itu berhati busuk atau tidak.
Antara cara paling senang nak kenal manusia busuk hati adalah dari cara
pergaulan dan komunikasi mereka, kalau berbicara mereka lebih gemar
berbicara tentang orang lain, si fulan itu, si anu ini, bicara tentang
keburukan, kelemahan dan keaiban si fulan dan mempersendakan orang lain.
Pantang nampak orang yang didengkinya, mula keluar cerita dari A sampai
Z. Senang bahasa kita cakap MENGUMPAT dan MENGATA.
Orang lain
rajin bekerja, kita kata mereka nak menunjuk-nunjuk, nak bodek bos,
kalau nampak orang lain beli kereta baru, rumah baru, kita tidak akan
dengar mereka cakap "Untung si fulan, Allah bagi rezeki kat dia, bila la
turn aku pulak nak dapat rezeki macam dia..." tapi yang akan kita
dengar mungkin "Si fulan tu baru tukar kereta, Honda pulak tu, pangkat
sama dengan aku je tapi mampu pakai Honda, tu tak de lain, kalo tak jual
tanah pusaka, menang nombor ekor entah-entah jual dadah...."
Sekiranya anda mengenali mana-mana individu sebegini, eloklah
berhati-hati berkawan dengan mereka, cuba pikir, hari ini mereka mengata
orang lain, esok lusa apa yang akan menghalang mereka dari mengata dan
mengeji diri anda pula? Kalau anda sendiri memiliki sikap suka MENGUMPAT
dan MENGATA orang dalam proses komunikasi harian, eloklah cari penawar
hati dengan segera, cuba ubah sikap sedikit demi sedikit, banyak lagi
topik perbualan yang boleh kita borakkan bersama rakan-rakan selain dari
bercakap tentang orang lain.
Manusia busuk hati lebih percaya
kepada perkara-perkara syirik, tahyul dan khurafat dari percaya kepada
Allah. Percaya kepada bomoh atau popular masa kini ramai orang panggil
'mandrum'. Berani saya katakan, mereka amat memerlukan bomoh dalam hidup
mereka, dalam keluarga mesti ada bomoh yang bertangungjawab dalam
melindungi diri mereka dan keluarga mereka dan juga untuk tujuan membuat
khianat atau membalas dendam. Ya memang ada bomoh hebat yang boleh
santau orang, buat orang kena penyakit ganjil dan macam-macam lagi, nak
tau kenapa mereka hebat? Sebab syaitan tolong jayakan usaha khianat
mereka. Sejarah telah mengatakan yang syaitan akan berusaha sedaya upaya
untuk menyesatkan mereka dan salah satu salurannya ialah melalui
kepecayaan manusia terhadap perkara-perkara syirik, tahyul dan khurafat
seperti ini.
Andai kata manusia-manusia busuk hati ini ditimpa
sakit atau bencana, dalam pemikiran mereka tidak ada benda lain, "Ni
mesti si anu yang buat khianat..." nak tahu kenapa, kerena manusia busuk
hati meletakkan imej mereka sendiri pada diri orang lain, selain dari
percaya sesuatu yang berlaku itu dugaan dari Allah, mereka lebih suka
memikirkan ia adalah perbuatan khianat orang lain sebab itu yang akan
mereka lakukan kepada orang lain. Dah tentulah, sudah pasti
manusia-manusia busuk hati ini akan melakukan perbuatan khianat terhadap
orang yang didengkinya dan sekiranya mereka pula menimpa musibah,
mereka akan menyangka ada orang berdendam dengan mereka walhal ia adalah
dugaan dari Allah.
Ingatlah, doa insan teraniaya itu mudah
dimakbulkan Allah. Kita buat khianat terhadap seseorang, kita sabotaj
mereka, dan bilamana mereka menimpa musibah dari apa yang kita lakukan,
maka mereka dikategorikan sebagai insan yang teraniaya. Andai terdetik
di hatinya yang merasakan mungkin ada orang membuat khianat terhadapnya,
lalu mereka mengerjakan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberi
petunjuk dan doanya dimakbulkan. Apa yang anda tahu bakal menimpa diri
anda? Manusia busuk hati tidak akan terfikirkan akan kemungkinan ini,
mereka hanya fikir "Ini mesti kerja dia sebab nak balas dendam dengan
aku..."
Manusia busuk hati selalu takut dan tertipu dengan
bayang-bayang sendiri, lebih-lebih lagi kalau mereka banyak buat khianat
kepada orang lain. Contoh ringkas, kereta anda calar dan ia dicalarkan
oleh manusia yang busuk hati kepada anda, paling teruk pun anda merungut
" Tak guna betul, ni mesti budak-budak nakal calarkan keta aku, teruk
betul la diorang ni...." dan dengan izin Allah 2-3 hari lepas tu kereta
orang yang busuk hati kepada anda pula dicalarkan, cuma kali ni
keretanya betul-betul dicalarkan oleh budak-budak nakal, apa yang akan
keluar dari mulut mereka " Ini mesti kerja si fulan ni sebab hari tu aku
calarkan kereta dia....". Nah, sekarang anda nampak tak maksud saya
yang manusia busuk hati ni selalu takut dan tertipu dengan bayang
sendiri. Bila hati dah busuk, fikiran dan mental pun akan rosak dan
gagal berfikiran positif, hidup siang malam tak tenang, takut ada orang
nak balas dendam, sebab tu saya katakan, manusia busuk hati amat-amat
memerlukan bomoh untuk melindungi diri mereka, ahli keluarga dan harta
benda tanpa mereka sedar yang mereka syaitan sedang mentertawakan
mereka.
Manusia busuk hati mempunyai banyak idea untuk membuat
khianat, kadang-kadang secara spontan mereka boleh fikirkan cara tak
perlu perancangan teliti. Peralatan untuk membuat khianat sentiasa
dibawa kemana-mana dan ada di mana-mana, paling ringkas mereka boleh isi
batu kecil ke dalam penutup tiub tayar motor/kereta untuk buat khianat.
Maka bila mangsa perbuatan khianat mereka dalam perjalan pulang,
motor/kereta akan pancit dan berjayalah misi manusia busuk hati itu. Nak
buat macam mana lagi, dalam kepala asyik nak dengki dengan orang saja.
Tak boleh tengok orang senang sikit, tak boleh tengok orang lebih sikit.
Kalau kita buat banyak pemerhatian dan kajian, tambahan pula ada
pengalaman menjadi mangsa atau mungkin anda sendiri pernah menjadi
manusia busuk hati, mungkin banyak lagi ciri-ciri yang boleh kita nampak
pada manusia-manusia busuk hati ini. Tak kira dari pelbagai bangsa dan
agama. Tak kira di mana-mana, di rumah atau di tempat kerja, mereka ini
wujud, cuma kita sedar atau tidak sahaja, AWAS, mereka boleh menikam
dari belakang dan pandai bermuka-muka, perhatikan di sekeliling anda
dari jiran tetangga hingga rakan sekerja, jika ada ciri-ciri manusia
busuk hati pada mereka, cubalah bantu mereka merawat hatinya, tapi anda
perlu banyak bersabar dan bersedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan
kerana seperti sedia maklum, manusia busuk hati suka membuat khianat.
Perlu diingat juga, mereka pandai bersoaljawab walaupun terhadap
perkara-perkara kebaikan, mereka juga suka memandang rendah, memperlekeh
pandangan dan nasihat orang lain, mungkin anda pernah terbaca artikel
"Kalau Allah itu Maha Baik, Mengapa buat Neraka?"Kalau anda tidak
bersedia untuk membantu mereka, jauhkan diri dari mereka, tapi dengan
cara yang sopan dan lembut. Kalau anda sendiri adalah manusia busuk
hati, carilah penawarnya, rawatlah hati anda. Banyakkan berdoa kepada
Allah, banyakkan mendengar ceramah agama dan muhasabahlah diri anda.
No comments:
Post a Comment