Bismillahirrahmanirrahim...
Salah
satu dari tanda-tanda akan berakhirnya dunia ialah penzaliman yang
berlaku berleluasa, tidak kira golongan atasan atau bawahan, lebih-lebih
lagi mereka yang berkuasa. Berlaku penzaliman dan penganiayaan terhadap
sesama manusia seakan-akan tidak ada sedikitpun perasaan belas kasihan.
Sedih juga mengenangkan mereka yang tidak berhati perut ini. Apakah
mereka anggap ALLAH SWT boleh melupakan penganiayaan yang mereka lakukan
di dunia begitu sahaja?
Dipaparkan
sebuah kisah teladan zaman silam untuk sama-sama merenung hukuman ALLAH
SWT terhadap mereka yang suka menzalimi orang lain. Kisah ini berlaku
kepada seorang wanita Bani Israel yang tinggal di sebuah rumah yang
berhampiran dengan istana raja. Oleh kerana rumahnya telah usang, maka
apabila ada tetamu yang datang ke istana, pasti bertanya kepada raja
tentang rumah usang tersebut. Maka terasa jatuh maruah raja tersebut
hanya kerana rumah usang itu.
Maka
untuk mengatasi masalah tu, raja bercadang untuk membeli rumah tersebut
daripada wanita Israiliyah itu tetapi wanita itu enggan menjualkannya
kepada raja kerana itulah satu-satunya harta yang dimilikinya.
Pada
suatu hari, semasa wanita itu tiada di rumah, raja telah memerintahkan
pengawal-pengawalnya untuk merobohkan rumah yang dianggap mencemarkan
pemandangan istananya. Apabila wanita itu pulang, dia amat terkejut
melihat rumahnya yang telah pun dirobohkan. Bertambah hancur hatinya
apabila mengetahui bahawa orang yang mengarahkan supaya rumah itu
dirobohkan ialah raja sendiri.
Wanita
itu lantas menuju ke istana dan berdoa dihadapan pintu istana: “ Ya
Allah, jika aku pergi, Engkau tetap hadir untuk membantu orang yang
lemah dan menolong orang yang dianiaya” Kemudian ia duduk di situ
sehinggalah keluar rombongan raja berserta dengan pengawal-pengawalnya
merasa hairan melihat wanita itu duduk di pintu istana.
“Apakah yang kamu buat di sini?” gertak raja dengan angkuhnya.
“Aku
sedang menunggu hancurnya gedung istanamu” jawab wanita itu dengan
beraninya. Apabila didengar oleh raja dan pengawal-pengawalnya jawapan
wanita itu, mereka hanya mentertawakannya.
Tidaklah
mereka ketahui bahawa doa orang yang dizalimi sangat cepat ALLAH SWT
perkenankan. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya,
lebih-lebih lagi terhadap mereka yang dizalimi. Maka berlakulah
keretakan demi keretakan pada dinding-dinding istana raja dengan
tiba-tiba sehingga akhirnya robohlah keseluruhan istana raja itu.
Malangnya kesemua penghuni istana tidak sedar dan mereka tidak sempat
menyelamatkan diri. Maka tamatlah riwayat raja serta
pengawal-pengawalnya bersama dengan kemusnahan istana yang mereka
banggakan itu.
Yang paling
menakjubkan dari kejadian itu, pada salah satu runtuhan dinding istana
itu terdapat tulisan yang berbunyi : “Apakah kamu mengejek dan
meremehkan doa, sedangkan kamu tidak mengetahui bagaimana saktinya doa
itu. Panah pada waktu malam tidak pernah luput, dan ada saat dan
masanya,dan masa itu juga terbatas. Dan ALLAH SWT telah berkehendak
sebagaimana yang kamu lihat, maka kerajaan dan kekuasaanmu tiada sisa
lagi…”
Begitulah besar ertinya
doa orang yang teraniaya. ALLAH SWT terus memakbulkan doa orang yang
teraniaya tanpa tangguh-tangguh lagi, sebagai balasan ALLAH SWT terhadap
orang-orang yang zalim. Adakalanya ALLAH SWT tangguhkan pembalasannya
di dunia bukan kerana ALLAH SWT lupa, tetapi untuk memberi masa orang
yang zalim itu insaf dan bertaubat.
Firman ALLAH SWT:
Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka ALLAH lalai akan apa yang
dilakukan oleh orang-orang yang zalim, sesungguhnya Ia hanya melambatkan
balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku
pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang
berlaku). (Surah Ibrahim: 42)
Saiyidina
Ali berkata: “ Awaslah dari doa orang yang teraniaya sebab ia minta
haknya dari ALLAH dan ALLAH tiada akan menolak hak seseorang.”
Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Anas ra. Maksudnya :
“Zalim
ada 3 jenis, iaitu zalim yang tidak diampunkan oleh ALLAH, zalim yang
mudah diampunkan oleh ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh
ALLAH SWT. Adapun zalim yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT iaitu
mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain. Manakala zalim yang
mudah diampunkan oleh ALLAH SWT ialah perbuatan maksiat antara manusia
dengan ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh ALLAH SWT iaitu
menganiayai sesama manusia maka pasti akan dituntut oleh orang yang
teraniaya di hadapan ALLAH SWT”
No comments:
Post a Comment