Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak
bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada
ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar
dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai
maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.
Jika kita merenung tentang kejadian alam ciptaan Allah s.w.t nyatalah
terdapat pelbagai keanehan dan perkara-perkara pelik yang dapat kita
saksikan yang mana itu semua sebagai tanda tentang keagungan dan
keesaaan Allah s.w.t.
Di antara keanehan keanehan itulah kita temui lidah. Ia adalah daging
berbentuk kecil dan lembut yang terlindung di dalam mulut. Lidah juga
termasuk daripada anugerah Allah Yang Maha Besar yang amat mustahak
sebagai penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahu pun
untuk mencapai keredaan Tuhan.
Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke dalam api neraka.
Berhati-hati
Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka
kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan
lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap
boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang
membawa kesusahan dan kerugian.
Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang
tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata tidak bercakap
dalam perkara yang sia - sia dan tidak baik.
Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud.
"Manusia itu ada tiga macam (jenis).
Pertama: Yang mendapat pahala.
Kedua: Yang selamat daripada dosa.
Ketiga: Yang binasa.
Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati Allah,
berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka
yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa
melakukan perkara-perkara maksiat."
Orang yang beriman dan bijaksana selalunya tidak berkata atau bercakap
sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka seperti ini menjaga setiap tutur
kata dan percakapan. Mereka mengelakkan daripada berkata sesuatu yang
tidak berfaedah atau sia-sia apatah lagi mengumpat keji atau mencaci
sesama manusia. Sesuai dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan
diri, maka dekatilah dia, kerana dia akan mengajarkan kau ilmu hikmah."
Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya
untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan
difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah
dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang
daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin
banyaklah kesilapan. Orang-orang munafiq pula akan bercakap apa sahaja
tanpa memikirkannya terlebih dahulu.
Di dalam sebuah Hadis lain yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ibnu Najah
dan Abu Hurairah, disebutkan Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebab
terbesar yang membawa masuk syurga. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:
Taqwa kepada allah dan akhlaq yang baik." Apabila ditanya pula sebab
terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah s.a.w.
menjawab: "Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan."
Daripada hadis di atas jelaslah penyalahgunaan lidah iaitu kerana tutur
kata dan percakapan dan juga penggunaan kemaluan yang bertentangan
dengan hukum-hukum boleh membawa manusia ke neraka.
Seorang ahli sufi yang terkenal, al-Hassan al-Basri pula pernah
menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak
memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga
lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak
berfaedah seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.
Bertentangan
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Berbahagialah orang yang menahan kelebihan lidahnya dan membelanjakan kelebihan hartanya."
Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kira
mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah
masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih
mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara
satu sama lain.
Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah falsafah hidupmu?" Beliau
menjawab: "Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku
tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku."
Tidak syak lagi penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja
menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah malah kesannya amat
buruk kepada masyarakat. Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh
menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah
masyarakat huru hara dan porak peranda.
Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila
bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika
tersilap kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: Terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dengan apa yang dipaparkan ini, semoga mendapat di menfaatkan bersama dan juga untuk rakan-rakan yang lain.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment