Dalam al-Quran disebutkan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Ulama tafsir menyebutkan, perkataan fitnah itu sendiri ada paling kurang 17 buah makna. Salah satunya ialah membuat tuduhan palsu.
Sudah tentu, menuduh orang dengan tuduhan yang tidak baik ialah
perbuatan yang tidak beretika. Apatah lagi tuduhan yang dibuat-buat ini
bertujuan untuk menjatuhkan air muka dan mendatangkan mudharat kepada
pihak yang dituduh dan orang di sekelilingnya.
Kerana itulah di dalam salah satu cabang hukum hudud, ada hukuman yang
diperuntukkan kepada orang yang menuduh orang baik melakukan zina.
Sekiranya pihak yang menuduh itu tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi
yang adil, maka dia telah dikira bersalah melakukan tuduhan palsu dan
wajar dihukum.
Tujuan islam melaksanakan hukuman ini adalah supaya orang ramai tidak
sesuka hati mahu menuduh orang lain dengan berita palsu. Setiap
pertuduhan yang buruk, sekalipun tidak benar, tetap memberi kesan buruk
kepada orang yang dituduh.
Antaranya, tuduhan buruk itu akan mendatangkan aib dan trauma kepadanya.
Bayangkan jika ahli keluarga kita dituduh sebagai pelacur. Masyarakat
akan terlebih dahulu menghukumnya dengan hukuman sosial sekalipun
setelah namanya dibersihkan daripada pertuduhan.
Diceritakan kisah seorang ulama di zaman dahulu, yang menaiki kapal laut
bersama bekal wang sebanyak 300 dinar yang dihadiakan oleh orang kaya
kerana kealimannya. Salah seorang penumpang di dalam kapal itu ialah
orang munafik yang tahu bahawa ulama itu membawa sejumlah wang yang
besar.
Lalu dia pun menuduh ulama itu mencuri wang kononnya wang itu miliknya
dan milik orang ramai. Apabila dituduh, maka ulama itu pun segera
mencampakkan beg berisi wang itu ke dalam laut. Orang ramai yang
menyaksikan itupun terkejut. Lelaki yang menuduhnya bertambah-tambah
lagi terkejut dengan tindakan ulama itu.
Dia tidak menyangka ulama itu akan melakukan hal sedemikian. Lalu ulama
itu berkata, "Sesungguhnya maruahku adalah lebih mahal daripada wang 300
dinar itu".
Tuduhan yang buruk ibarat pedang yang tidak bersarung. Semua orang boleh
terkena bilahnya dan luka dengannya. Imam Syafie pun pernah difitnah
oleh kelompok manusia yang tidak menyukainya. Dia pernah dituduh sebagai
Syiah lalu dipenjara oleh kerananya.
Tapi hikmahnya, lihatlah bagaimana dia mendepani pertuduhan itu. Ketika
disoal siasat oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, dengan tenang dia membaca
ayat daripada surah al-Hujurat. Khalifah tahu, dia ialah mangsa fitnah.
Lalu Imam Syafie disucikan dengan sendirinya.
Hari ini, semua orang berisiko untuk menjadi sama ada orang yang
melakukan fitnah, menyebarkan berita fitnah, mendengar lalu mengiyakan,
atau juga menjadi mangsa pebuatan fitnah.
Untuk kelompok pencetus berita yang dibuat-buat, wajarlah diingatkan
bahawa dosa melakukan berita palsu adalah amat besar dan dahsyat. Tiada
satu keadaan pun kita dibenarkan untuk membuat tuduhan palsu kepada
suatu pihak, sekalipun kepada pihak musuh di dalam peperangan.
Bagi yang mendengar tuduhan, disiplinkan diri untuk mencari kebenaran.
Jangan menjadi golongan 'nasi tambah'. Biarlah kita menjadi kapak yang
akan memutuskan rantai fitnah. Biar sampai kepada kita, cerita itu pun
tamat.
Kepada yang difitnah, usah membalasnya secara melampau atas. Umpama
pedang yang tidak bersarung, ia bukan sekadar melukakan orang lain tapi
juga akan melukakan diri sendiri jika kita tidak berhati-hati mengawal
arah hayunanya. Silap haribulan, tertikam anak sendiri.
Dalam banyak keadaan, berdiam diri lebih mulia. 'Cooling period' itu
seringkali menjadi perisai bagi orang soleh dalam mendepani tuduhan yang
berat-berat. Kerana akhirnya, benda yang palsu tidak akan bertahan
lama. Sebaliknya kebenaran, sekalipun cuba disorokkan, pasti akan
terserlah juga.
Begitulah agaknya gambaran peristiwa Rasulullah S.A.W yang dituduh dan
dimaki dengan tuduhan yang berat daripada wanita yahudi buta dan tua
yang disuapkan makanan. Boleh sahaja Rasulullah menjelaskan dan menjawab
tuduhan itu satu per satu tapi untuk apa kemenangan jika tidak
menguntungkan agama.
Jadilah orang yang menang, dengan bertenang,
No comments:
Post a Comment